Saya ingin membawa anda ­menyingkap perjalanan usaha rang undang-undang ini yang pada awalnya nampak mustahil tetapi kini menjadi kenyataan dari kaca mata sebagai menteri yang mengawal selia hal ehwal undang-undang. Saya memulakan kerjaya sebagai peguam di sebuah firma kecil yang menguruskan kes-kes jenayah dan sivil. Ada satu kes saya mewakili seorang lelaki yang menceraikan ­isterinya yang berebut mendapatkan hak penjagaan anak ­perempuan mereka berusia 5 tahun.

Satu hari saya mendapat panggilan daripada ibu klien saya, bahawa klien saya telah ditangkap kerana melakukan ­penderaan seksual terhadap anak ­perempuannya dan anak itu mendapat penyakit sifilis. Situasi itu memberi kesan mendalam ke atas diri saya. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman semasa Sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2016 bahawa satu pasukan petugas khas (task force) akan dibentuk untuk mencari jalan memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak, saya merasakan masa­nya sudah tiba untuk membuat ­perubahan terhadap legislatif kita.

Mesyuarat pertama task force diadakan pada September 2016. Antara yang hadir terdiri dari­pada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, National Council of Women’s Organisation (NCWO), United Nations Children’s Fund (UNICEF), International Women’s Rights Action Watch Asia Pacific (IWRAW-AP), Women Center for Change (WCC), PS. The Children, ahli-ahli akademik dan individu-individu yang tidak jemu ­bekerja keras dan terlibat aktif mempertahankan kanak-kanak daripada jenayah seksual di negara ini.

Mesyuarat ini membuka ma­ta kita terhadap realiti dan ­kerumitan yang dialami di luar sana. Akta sedia ada tidak mencakupi isu-isu berkaitan jenayah seksual terhadap ka­nak-kanak. Selepas mesyuarat ditangguh­kan terdapat kebimbangan sama ada keputusan ini akan berjaya sepenuhnya atau hanya sembang kedai kopi?

­Akhirnya pada Oktober 2016, pada mesyuarat task force kerangka perundang­an jenayah seksual kanak-kanak 2017 dibentangkan kepada semua ahlinya. Ramai yang berpandangan kerangka per­undangan itu meliputi pelbagai masalah jenayah seksual kanak-kanak yang telah lama melanda negara ini. Wakil media dari pasukan R.age yang dijemput untuk menayangkan laporan video ­penyamaran mereka terhadap aktiviti penyantunan kanak-kanak turut teruja de­ngan kerangka per­undangan ini.

Matlamat utama kerangka per­undangan ini adalah untuk menyediakan perlindungan yang lebih baik bagi kanak-kanak daripada kesalahan-kesalahan seksual dan memelihara kebajikan mereka. Secara prinsipnya semua ahli task force bersetuju dengan kerangka perundangan yang dibentangkan itu. Bagaimanapun, saya mengingatkan semua ahli agar mendekati ahli-ahli Parlimen masing-masing untuk menyokong rang undang-undang ini. Saya berpandangan bahawa bukan Parlimen yang mengarahkan rakyat apa yang perlu dibuat sebaliknya rakyat yang mengarahkan Parlimen.

Susulan mesyuarat tersebut, saya mengaturkan satu majlis makan tengah hari dalam kala­ngan Kaukus Parlimen Wanita yang terdiri daripada ahli Parlimen wanita daripada kedua-dua pihak dan duta-duta wanita negara asing ke Malaysia. Mereka yang hadir memberi komen positif dalam usaha menghentikan jenayah seksual kanak-kanak. Kerangka perundangan mengenai pertimbangan dasar dalam undang-undang ini telah dibentangkan ke Kabinet, se­terusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan undang-undang dibuat. Walaupun dalam masa suntuk, pasukan Jabatan Peguam Negara melaksanakan tugas itu tanpa membuang masa

Namun kewujudan undang-undang baharu ini, tidak mampu untuk menyelesaikan semua permasalahan. Oleh itu, terlintas di fikiran siapa yang boleh menjadi penggerak utama dalam kempen kesedaran jenayah seksual kanak-kanak ini, dan kami berpandangan bahawa Permata adalah organisasi terbaik ­kerana ber­peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Pe­naung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan satu Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-kanak perlu diadakan pada 13 dan 14 Mac 2017 untuk mewujudkan pemahaman awam.

Seminar ini yang berlangsung selama dua hari menjadi perbualan ramai. Kemuncak persidangan itu adalah apabila Najib mengumumkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 akan dibentang pada sidang Parlimen Mac. Beliau turut mengumumkan pe­nubuhan Mahkamah Jenayah Khas bagi mengendalikan kes-kes jenayah seksual kanak-kanak. Kempen ini tidak berakhir di situ kerana Permata akan menerajui kempen kesedaran ini di seluruh negara dan saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan terhadap usaha ini.

Semasa saya menulis artikel ini, Rang Undang-Undang Kesalah­an-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 me­nunggu untuk dibentang di Dewan Negara. Sebaik sahaja diluluskan, rang undang-undang ini akan diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong dan akta ini akan dapat dikuatkuasakan menje­lang Jun ini. Perjuangan ini belum ber­akhir, kerana pada awal minggu ini saya telah bertemu dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif untuk berbincang mengenai penubuhan Mahkamah Jenayah Khas. Secara prinsip beliau telah bersetuju dengan penubuhan mahkamah itu dengan hakim-hakim dan pengamal undang-undang diberi latihan khusus dalam mengendalikan kes-kes jenayah seksual kanak-kanak.

Meskipun ini ke arah langkah yang baik, namun perubahan legi­slatif sahaja tidak men­cukupi untuk memerangi masalah ini. Tanggungjawab mencegah masalah ini harus dipikul bersama oleh segenap masyarakat. Ibu bapa, guru dan penjaga perlu menerangkan kepada kanak-kanak tentang anggota tubuh mereka - apa yang boleh dan tidak boleh disentuh.

Dalam kita mengajar anak-anak tentang nilai moral seperti menghormati orang yang lebih tua, kita juga perlu mengajar mereka untuk menjerit meminta tolong sekiranya mereka rasa tidak selamat atau disentuh oleh seseorang.

Saya memberi amaran kepada penjenayah seksual kanak-kanak di luar sana, berhenti melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak. Hentikan! Ingat anda boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi. Kami akan cari anda!

DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.