Tidak perlu mana-mana pihak ‘melompat’ dan bercakap yang bukan-bukan ketika siasatan. Elok diulangi skrip yang biasa diulang-ulang apabila pelbagai pihak mengulas kes seumpama ini, iaitu tidak wajar menghukum mereka sebelum terbukti bersalah.

Cuma, bagaimana pula apabila ada pihak dengan pantas mempertahankan atau membela pihak yang belum terbukti bersalah? Kenapa tidak dibiarkan sahaja, SPRM atau pihak berkuasa melakukan siasatan? Bersabarlah. Tunggu dan lihat. Merujuk kes di Penanti, kenapa ketika ini timbul pelbagai kenyataan sedangkan isu ini sudah lama dibangkitkan?

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin pernah membangkitkan perkara yang sama di Dewan Undangan Negeri (DUN). ADUN itu pernah menangis ketika membangkitkan isu itu pada tahun 2015. Wakil rakyat itu sekadar me­nyampaikan aduan penduduk Kampung Sungai Lembu yang sudah cukup menderita. Baginya, biarlah isu ini ditangani secara baik dan adil tanpa ada pihak yang dizalimi. Dr. Norlela juga pernah mendakwa, pihak berkuasa mengambil masa tiga tahun untuk merobohkan kilang haram di Ta­nah Liat. Kenapa mengambil masa yang lama? Lebih-lebih lagi di Pulau Pinang, negeri pimpinan DAP yang kononnya mentadbir secara bersih berasaskan pendekatan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Menyelak kembali perutusan Tahun Baharu Cina Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada 2015 berkaitan CAT, beliau berkata, dengan harapan tahun baharu yang bebas dari bencana sama ada secara semulajadi atau buatan manusia, pihaknya telah menyediakan model alternatif ke arah tadbir urus baik dengan kebergantungan kepada kesederhanaan, kedaulatan undang-undang, integriti serta usaha mencapai kecemerlangan.

“Tadbir urus negeri yang berasaskan kecekapan, akuntabiliti dan ketelusan (CAT) adalah satu anjakan paradigma baru berbanding model kapitalisme kroni BN,” begitulah kenyataannya.

Dalam isu yang sedang panas sekarang, di manakah CAT? Kelmarin, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan ne­geri mengarahkan penangguhan tindakan ke atas kilang pempro­sesan habuk kayu haram yang beroperasi selama 10 tahun itu. Langkah itu adalah sebahagian daripada dasar diperkenalkan kerajaan negeri bahawa aktiviti penguatkuasaan perlu ditangguhkan ke atas sebarang struktur atau premis haram yang dibina sebelum 2008. Maksud 2008 itu sudah tentu merujuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Tambah beliau lagi: Kita mengambil kira pelbagai aspek untuk merobohkan sebarang struktur haram di negeri ini, termasuk sama ada ia memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar atau sebaliknya.

Persoalan sekarang, siapakah yang sebenar-benarnya dipertanggungjawabkan untuk bertindak secara telus dan cekap apabila mendapat maklumat berkaitan sesuatu binaan atau operasi yang dilakukan secara haram? Janganlah ada mana-mana pihak yang ‘mencuci tangan’ dengan berkata, perkara itu di luar bidang kuasa mereka. Pada masa yang sama dalam soal penguatkuasaan, ja­ngan cuba menuding jari mencari kesalahan orang lain atau berlin­dung di sebalik kepentingan politik. Jika kilang itu dibina semasa kerajaan BN, adakah kerajaan berikutnya tidak bo­leh bertindak se­gera berdasarkan pende­katan CAT?

Usahlah ‘menya­nyikan lagu lama’ de­ngan seni kata: Apabila kami berjaya memerintah, kami akan lakukan...., siasat hingga ke lubang cacing. Malang sekali apabila sudah mendapat apa yang dihajati, janji tinggal janji. Bukan sahaja tidak mencari sehingga ke lubang cacing tetapi cacing sudah naik ke mata! Ketika kuasa di tangan, mereka seperti kera mendapat bunga.

Tanpa merujuk kepada mana-mana kerajaan atau agensi, ada yang bertindak selepas menerima aduan. Ada pula yang mengambil masa terlalu lama untuk bertindak atau tidak peduli sama sekali. Hakikatnya, perkara berkenaan ada di dalam pengetahuan mereka tetapi tidak diberi perhatian sewajarnya. Ada juga yang bersedia turun padang tanpa perlu menunggu laporan. Ini tindakan yang baik. Tidak perlu menunggu masalah datang di depan mata. Selak sebelum ini pernah menulis mengenai isu sungai yang tercemar bertajuk Air: Ujian atau pembalasan angkara perbuatan manusia (10 Oktober 2016). Ia berkaitan kewujudan kilang haram yang menjadi punca pencemaran air. Malang­nya pihak berkuasa gagal bertindak segera. Apabila masyarakat mengemukakan masalah, wajarlah pihak berkuasa turun padang. Janganlah terlepas pandang.

Bagi kes di Penanti, aduan sudah dibuat, penduduk buat bantahan dan rintihan dibangkitkan di DUN. Syukurlah, tindakan SPRM sekurang-kurangnya membuka mata semua pihak. PBT di Pulau Pinang jangan sekadar memberi perhatian terhadap gerai/kedai yang dikatakan tidak berlesen, kononnya mengganggu lalu lintas sedangkan di lokasi tertentu keadaan lebih teruk. Buanglah sikap pilih kasih. Jangan terlalu cepat bertindak ke atas peniaga dan penjaja gerai yang sekadar mencari rezeki. Ada yang mahu berniaga kecil-kecilan di dalam rumah pun mahu diganggu de­ngan menyenaraikan pelbagai peraturan. Kenapa isu-isu kecil begini begitu cepat mendapat perhatian? Kerja mudah, bawa lori, angkut kerusi meja atau tolak gerai de­ngan jentera, kemudian balik. Pemilik premis ditinggalkan mena­ngis kehilangan mata pencarian. Apakah itu sahaja yang mampu dilakukan dengan kadar segera? Kenapa tidak diroboh kilang yang sudah sah haram sehingga menjejaskan kesihatan orang awam?

Kenapa gerai ‘Mak Limah’ juga jadi sasaran PBT? Mungkin gerai itu haram tetapi tidak adakah ciri-ciri kemanusiaan? Selak ingin me­rujuk tulisan Menawarkan per­khidmatan bukan rakus bertindak (15 Februari 2016). Ia berkaitan kilang haram dan gerai yang diroboh di Pulau Pinang. Selak tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan tidak lama dulu supaya PBT memberi peluang untuk orang berniaga untuk menambah hasil pendapatan. Kepada PBT, bertindaklah ikut keutamaan. Jangan yang kecil seperti kuman dilihat terlalu serius sehingga terlupa perkara yang lebih besar. Kalut sangat roboh gerai, angkut kerusi meja di sana sini, kecoh orang tambah bumbung di depan atau belakang rumah tanpa pelan dan macam-macam lagi sedang­kan kilang haram seperti gajah bebas beroperasi.

Jangan ditangguh tindakan, takut nanti dikata orang, ada udang di sebalik batu. Eloklah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyahut cabaran Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang meminta kedua-dua PBT itu mengeluarkan senarai kilang yang beroperasi secara haram. Kita lihat sejauh mana keberanian PBT. Benarkah dakwaan PAP bahawa terdapat lebih 200 kilang haram di Pulau Pinang? Beranikah PBT menafikan atau menyenaraikan kilang berkenaan? Kita ingin lihat CAT bukan sekadar slogan yang enak didengar.