Perkara ini menghangat kembali apabila keluar pelbagai kenyataan yang menggambarkan seolah-olah kerajaan yang baru dilantik, amat mesra dengan pengamal-pengamal LGBT. Apakah tohmahan-tohmahan ini benar belaka?

Mari kita fahami apa sebenarnya maksud LGBT ini, LGBT atau juga dikenali dengan nama lain GLBT adalah merujuk kepada sekelompok golongan yang mengamalkan cara hidup berteraskan gay, lesbian, biseksual, dan transeksual.

Singkatan ini telah diguna pakai sejak tahun 1990an lagi bagi melabel mereka yang menjalani hidup antifitrah kemanusiaaan. Singkatan ini juga diterima pakai oleh setengah negara di barat seperti Amerika Syarikat yang secara tidak langsung memberi kebenaran kepada golongan ini untuk menjalani cara hidup LGBT, sama seperti protokol yang diamalkan oleh negara mereka iaitu “American is a free country”.

Antara negara lain yang membenarkan cara hidup LGBT ini adalah Argentina, Perancis, Kanada dan jangan terkejut, terdapat juga beberapa buah negara yang dianggap sebagai didominasi oleh orang Islam tapi membenarkan aktiviti LGBT dijalankan atas dasar hak-hak kebebasan kemanusiaan.

Ironinya tiada peruntukan undang-undang atau mana-mana agama di Malaysia yang membenarkan hubungan dan perkahwinan sejenis atau seks bebas.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksimum 20 tahun, termasuk sebatan, jika sabit kesalahan."

Berdasarkan undang-undang Syariah pula terdapat Seksyen 25 (kesalahan liwat), Seksyen 26 (kesalahan musahaqah atau perhubungan sejenis sesama perempuan), Seksyen 28 (lelaki berlagak perempuan) dan Seksyen 29 (perbuatan tidak sopan di tempat awam) juga terdapat dalam akta berkenaan.

Kewujudan undang-undang ini, secara tidak langsung telah membuktikan penularan gejala LGBT di Malaysia sudah memakan masa yang begitu lama.

Di samping itu, pada 2012, hansard Parlimen menunjukkan menteri yang bertanggungjawab mengenai agama telah mengesahkan bahawa gejala songsang ini amat menular dan mengatakan kerajaan memandang serius aktiviti LGBT dalam kalangan masyarakat dan mengambil langkah berterusan melalui dua pendekatan, iaitu pencegahan dan penguatkuasaan
undang-undang. 

Namun usaha murni kerajaan terdahulu gagal membendung aktiviti-aktiviti haram ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Peliknya, mana mungkin dalam masa tiga bulan pertama pemerintahan Pakatan Harapan golongan ini tiba-tiba muncul seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Kerajaan yang baharu di bawah menteri agama yang baharu telah menggunakan pendekatan yang agak berbeza dengan metode sebelum ini. Dalam membasmi gejala ini, beliau cuba menggunakan konsep “rahmatan lil alamin”.

Konsep berdamai dan bermesra sebagai konsep berdakwah.

Malangnya, konsep ini juga dikecam oleh pelbagai pihak dengan mengatakan bahawa kerajaan semasa menyokong kewujudan mereka ini.

Penulis merasakan amat pelik dengan pengkritik-pengkritik yang ada. Adakah perlu untuk kita menghentam hanya disebabkan perbezaan fahaman politik atau sememangnya mengkritik kerana beliau berada di landasan yang tersasar?

Jika pun beliau telah tersasar, apakah mekanisme terbaik yang boleh kita kemukakan? Berikan formula baharu, jangan sekadar memberi komen tanpa solusi.

Hakikatnya, kita janganlah cepat melatah dengan menabur fitnah demi kepentingan peribadi. Bagi penulis, sebagai seorang muslim, sebaik-baiknya menyokong sesuatu agenda jika membawa kebaikan, dan menegur jika bertentangan dengan syariat Islam.

Teringat penulis akan konsep pendekatan yang digunakan oleh ikhwanul muslimin, di Mesir, yang keluar-masuk ke pusat-pusat hiburan dengan niat untuk menyampaikan dakwah Islamiyah. Tindakan mereka ini bukan bermakna mereka menyokong hiburan yang melampaui batas, jauh sekali ingin menyertai golongan tersebut. Namun apa yang mereka lakukan ialah untuk menjadi rakan supaya mudah membetulkan kepincangan yang ada pada golongan tersebut.

Menariknya pendekatan ini mendapat pujian ramai orang sehingga dijadikan salah satu kaedah terbaik penyampaian dakwah di zaman moden.

Maka, apa pula bezanya dengan konsep yang diamalkan oleh menteri sekarang? Bagi penulis, selagi langkah itu dilandaskan kepada niat untuk membawa kepada maaruf tidak salah mencuba. Kekerasan bukannya penyelesaian kepada semua masalah.

Dalam usaha mendidik anak mendirikan solat juga, beberapa pendekatan lembut digesa digunakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada ibu bapa sebelum kaedah penghukuman dijalankan.

Bagi penulis, keberanian golongan ini ialah kerana mereka diberi sokongan dan kefahaman yang salah. Hakikatnya, bukan semua yang terjebak dalam ilusi ini merupakan golongan “hard core”.

Pada masa sama, setiap pihak, tidak kira kerajaan mahupun individu-individu prihatin perlu berganding tangan dalam usaha mencegah penularan LGBT. Kita harus giat menyebarkan intipati Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam yang jelas sama sekali menentang kewujudan LGBT.

Mereka yang bukan beragama Islam juga harus mengikuti peraturan ini kerana bumi Malaysia sudah termaktub perlembagaannya dengan menggariskan Islam sebagai agama Persekutuan, maka secara jelas sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam wajib dijauhi.

Bagi penulis, barilah ruang dan peluang kepada menteri dalam mengadaptasi kaedah yang beliau percaya boleh mengatasi isu ini. Di sini, kaedah yang terbaik dalam menyelesaikan konflik ialah seumpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Adapun, jika kaedah yang diterapkan ini sudah ternyata gagal, kritiklah dengan berhemah, kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk tidak beradab.

Ingatlah, kadang-kadang sekeras-keras batu hanya boleh dipecahkan dengan titis-titisan air.