Kata pepatah Melayu, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Pemimpin yang berundur atau diundurkan (tidak dicalonkan) akan digantikan dengan orang lain. Ini lumrah hidup. Sudah pasti ada yang kecewa dan ada juga yang marah apabila nama tidak naik untuk bertanding semula dalam PRU-14. Namun yakin dan percayalah, kalau bukan rezeki kita, redalah.

Bagi mereka yang masih tidak boleh menerima hakikat tersebut, renung dan hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Dalam keghairahan kita mencari kurniaan hidup dari segi harta, pasangan, kegembiraan, kebahagiaan dan sebagainya kadang-kala manusia lupa sumber rezeki yang asal adalah Allah SWT. Sehingga seseorang seakan terasa dengan kemampuan dan kebijaksanaannya dia mampu menjadi wakil rakyat dan mengaut rezeki untuk dirinya.

Begitu juga tidak kurang pula ada yang apabila berpeluang memberi kelebihan yang dia miliki kepada orang lain menganggap dialah punca rezeki yang diperoleh oleh orang itu dengan kebijaksanaan dan kekuatan yang dia ada.

Golongan begini lupa kisah Qarun yang dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Qarun berkata: “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan kepandaian yang ada padaku”. Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelum­nya, umat-umat yang telah lalu, mereka itu yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).”

Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya Dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar”. (Al-Qasas: 78-80).

Perkataan al-Rizq atau rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan yang bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan, sama ada yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan, maka itu rezeki. (lihat: Abu al-Baqa al-Kafawi, al-Kulliyyat, 472. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Dengan kata lain, rezeki adalah segala yang kita miliki daripada perkara yang bermanfaat ataupun memberikan kebaikan kepada kita. Ia bukan sahaja harta, makanan, minuman, kenderaan dan segala bentuk kebendaan, rezeki juga ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan, kegembiraan dan seumpamanya.

Menjadi wakil rakyat membawa bersamanya amanah. Bukan sekadar mahu berseronok dijulang, disambut atau diraikan oleh masyarakat. Sebaliknya, pemimpin dituntut berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bagi mereka yang bertanding, ingat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepemimpinan kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Beratnya beban yang dipikul dan akan dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin sehingga Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang hamba diberikan kepemimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga.” (Riwayat Muslim)

Ironinya, hari ini kita dapati manusia berebut-rebut untuk memegang jawatan kepemimpinan. Apa yang di­sebutkan oleh Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu ternyata benar: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di hari kiamat ia menjadi penyesalan.” (Riwayat Bukhari).