Waktu, hari, bulan dan tahun tetap berjalan dan ber­putar seperti biasa. Dan tukang sibuk berazam, hanya terkinja-kinja mema­sang azam semasa countdown tahun baharu. Lepas itu longlai dan lesu. Meneruskan tabiat biasa sampai peng­hujung tahun depan dan berazam lagi.

Saya ter­senyum men­dengarnya. Betullah. Kena­pa hendak kalut-kalut tentang tahun baharu. Selalunya deejay-deejay radio pasti akan menanyakan azam tahun baharu pen­dengar dan selebriti men­jelang 1 Januari. Media cetak pun begitu. Tetapi tak apalah memang itu pun topik ringan men­jelang tahun baharu. Ka­lau tak tanya, tak ikut perkembangan semasa pula agaknya.

Jadi apa azam tahun baharu? Ini soalan lazim mengorak langkah ke tahun baharu. Kalau tanya saya. Jangan hendak mereka-rekalah. Jujur saja. Memang tiada jawapan. Tak reti memasang azam pada tepat-tepat tahun baharu. Mungkin pada waktu-waktu lain ada.

Azam pada saya bukan acara tahunan. Yang perlu ada pada permulaan kalendar dan ada tarikh luput pada setiap akhir tahun. Jika mahu ditukar dan dinilai setiap hujung tahun, memang letihlah. Cukuplah dengan perkara lain yang meletihkan.

Sememangnya juga, azam tidak sama dengan harapan. Kalau tanya saya tentang harapan tahun 2019? Yang ini, saya boleh cepat sahaja memberi jawapan. Mengharapkan semua orang jadi baik! Itu saja cukup.

Sebabnya, kalau semua orang jadi baik, tak adalah kes jenayah seperti bunuh, buang bayi atau pergaduhan, perebutan kuasa dan pengaruh yang entah apa-apa, atau kata mengata kerana semuanya boleh diselesaikan dengan perbincangan yang baik.

Tetapi itulah. Kita selalu dikecewakan apabila mena­­­­ruh harapan tinggi pada sesua­­tu dan selalunya yang mengecewakan kita juga adalah harapan yang sebenarnya tidak boleh diharapkan. Pernah rasa begitu?

Dan kurang 48 jam dari sekarang, saya melihat macam-macam azam dimuat naik dalam akaun laman sosial. Dan dalam kurang 48 jam juga, saya rasa orang yang sering berazam setiap kali kehadiran tahun baharu, sepatutnya sudah tahu, azam hancur atau berjaya dicapai. Bagaimana pula rasanya jika gagal tunaikan azam? Adakah tidak rasa apa-apa? Kalau rasa biasa, jangan berazam. Antaranya azam yang sudah terlalu biasa kita, kalau orang perem­­puan tak habis-habis mahu menguruskan badan. Yang lelaki pula berhenti merokok. Tak ada azam lain atau agaknya lebih mahu ber­gurau. Gurauan tahun baharu ini macam sudah basi.

Menyambut 2019, saya lihat suasananya sama sahaja terujanya seperti menyambut tahun sebelum ini. Selalunya begitulah, semangat mem­bara, kemudian tinggal bara, selepas itu api yang kecil, terus padam dan kemudian sejuk membeku.

Menurut satu kajian di Australia pada 2015, hampir 80 peratus daripada orang yang membuat azam baharu, gagal menepatinya. Mungkin gagal kerana tiada kesungguhan atau ikut saja, orang lain berazam, dia pun mahu berazam.

Tetapi yang pastinya, azam itu sendiri adalah keazaman. Tidak salah berazam kerana ia adalah tekad yang semestinya membuatkan diri kita menjadi lebih baik. Bukan cakap-cakap kosong yang mudah saja meluncur daripada mulut tanpa ada usaha. Kata seorang lagi teman, hidup tanpa azam itu biasa. Hidup tanpa jiwa dan usaha, itu jangan sekali dibiasa-biasakan. Selamat tahun baharu 2019!