ABDUL HALIM MANSOR

Namun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melihat kadar itu belum memadai.
Presidennya, DATUK ABDUL HALIM MANSOR berpendapat kadar itu perlu ditingkatkan
berdasarkan kos sara hidup yang tinggi termasuk kenaikan harga barang pada ketika ini.


Wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR menemu bual beliau di pejabatnya di
Petaling Jaya, Selangor, petang Jumaat lalu. Ikuti wawancara tersebut.


MINGGUAN: Boleh Datuk komen isu gaji minimum RM1,050 yang mahu dilaksanakan kerajaan mulai 1 Januari 2019?

ABDUL HALIM MANSOR: Apabila bercakap tentang gaji minimum ada beberapa perkara yang harus kita amati iaitu pada tahun 2011 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara telah diluluskan dalam Kabinet. Antaranya kadar gaji minimum itu akan dikaji dan dirundingkan setiap dua tahun sekali oleh Jawatankuasa Teknikal Perunding Gaji Minimum yang kemudiannya akan memberi nasihat berdasarkan kadar ekonomi semasa negara.

Sebelum itu, ia berjalan dengan baik dan setiap dua tahun pihak kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja akan berunding mengenai gaji minimum pekerja. Apa yang berlaku adalah sebelum gaji minimum dirundingkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah diadakan.

Sebelum itu, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ketika itu telah menyokong pelaksanaan gaji minimum kerana ia akan menjadi pemangkin ekonomi negara. Ketika itu purata gaji rakyat Malaysia RM400 sebulan. Dalam satu rundingan yang diadakan oleh ketiga-tiga pihak itu telah dipersetujui gaji minimum pada 2013 sebanyak RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM820 di Sabah dan Sarawak.

Selepas lima tahun dan melalui perundingan kali kedua pada Jun 2018 yang mana ketika itu ia hanya lebih dilihat kepada mesyuarat semata-mata. Sebelum itu kajian juga telah dibuat oleh kerajaan dan kesatuan-kesatuan sekerja dan majikan.

Manifesto Pakatan Harapan pada kempen PRU-14 ketika itu pula mahu meletakkan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan. Sayangnya, selepas kerajaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan maka pelbagai isu timbul antaranya berkaitan hutang negara yang dikatakan sangat tinggi sehingga memberi kesan ke atas usaha itu.

Berapakah kadar gaji minimum yang dilihat relevan oleh MTUC?

ABDUL HALIM MANSOR: Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah memanggil kami yang terbabit dalam isu ini bagi bermesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada Jun dan Julai lalu serta mengambil data-data yang diperlukan. MTUC memohon gaji minimum RM1,500 berdasarkan persidangan yang diadakan oleh kesatuan sebelum ini.

Ia juga sejajar dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan. Jadi apabila kerajaan ini mahu menurunkan kadar gaji minimum yang MTUC mohon ia susah untuk diterima kerana kadar itu sudah menjadi pengetahuan yang meluas dalam kalangan pekerja. Ia juga janji mereka dalam manifesto pada PRU-14.

Jawatankuasa Teknikal Perunding Gaji Minimum yang dilantik oleh MPGN telah meletakkan kadar RM1,250 di Semenanjung Malaysia dan RM1,170 di Sabah dan Sarawak. Tetapi atas dasar sama rata maka jawatankuasa itu telah mencadangan RM1,170 di seluruh negara.

Yang hairannya pihak majikan di Sabah dan Sarawak telah mencadangkan kadar baharu di sana adalah RM1,000 daripada RM920. Beza RM80. Tetapi kerajaan pula selepas itu mahu kadar RM1,050 sebagai gaji minimum yang mana ia lebih rendah daripada apa yang dicadangkan.

Saya hairan, di manakah letaknya kedudukan perundingan itu? Kita sebenarnya tidak berunding tetapi hanya mencadangkan kadar tersebut.

Saya juga pelik kerana daripada mana mereka dapat angka RM1,050 itu sebagai gaji minimum? Seolah-olah jawatankuasa yang ada itu telah dibelakangkan. Mengapakah gaji minimum akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019? Ini akan menjadi suatu ‘ruang’ besar dalam masa tiga bulan.

Pelbagai perkara boleh berlaku dan adakah kadar itu relevan pada 2019. Perundingan akan datang dijadual pada Januari 2021. Di sini apa yang boleh saya katakan telah berlakunya pelanggaran dalam konteks akta itu sendiri iaitu perundingan kadar gaji minimum mesti dibuat setiap dua kali setahun. Sedangkan yang berlaku sekarang hampir dua tahun ia tidak diperbaharui.

Kalau pihak Kabinet tidak setuju dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh MPGN, maka ia harus dirundingkan semula. Jika tiada kata putus, maka barulah Kabinet boleh membuat keputusan sendiri. Di sini kita kecewa kerana tidak dapat mengukur atau memikirkan bagaimana kadar RM1,050 itu bersesuaian untuk rakyat Malaysia atau daripada rujukan mana dibuat?

Sedangkan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri mengatakan kadar gaji bawah RM2,000 adalah dalam kategori miskin bandar seperti di Kuala Lumpur. Kalau di Sabah dan Sarawak kadar gaji minimum RM1,050 yang dipersetujui itu mungkin sesuai di sana tetapi adakah ia sesuai juga di Semenanjung Malaysia?

Berapa kadar kenaikan sesuai untuk kenaikan setiap dua tahun sekali itu?

ABDUL HALIM MANSOR: Kalau mengikut kadar yang telah ada ia sepatutnya kenaikan sebanyak 100 peratus. Sedangkan kenaikan sebelum ini hanya berlaku sekitar RM100 sahaja atau 10 peratus. Tetapi dalam konteks hari ini dengan kos sara hidup dan harga barangan tinggi ia tidak memadai.

Ini kerana, dalam isu gaji minimum kita mahu memartabatkan golongan pekerja. Apabila golongan pekerja memasuki alam pekerjaan kita mahu meletakkan mereka dalam suatu tahap gaji minimum tetapi apabila kadar gaji minimum ditawarkan tidak mampu menangani kenaikan kos yang ada, masalah dijangka akan berlaku.

 

Cadangan MTUC tangani isu ini?

ABDUL HALIM MANSOR: Sepatutnya, sebelum gaji minimum dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019, kerajaan ada tempoh tiga bulan daripada sekarang bagi memantau sama ada kadar itu relevan ataupun tidak. Pelbagai perkara telah berlaku termasuk pertukaran cukai daripada GST kepada SST selain kos sara hidup, maka kajian perlu dibuat. MPGN perlu dipanggil semula bagi memantau keadaan tersebut.

Perundingan kadar baharu perlu dibuat kerana kenaikan terus berlaku walaupun dalam tempoh tiga bulan daripada sekarang sebelum kadar baharu dikuatkuasakan. Sedangkan di Indonesia kadar gaji minimum pekerja di sana sedang mencapai gaji minimum sehingga 3,8 juta rupiah iaitu hampir RM800 sebulan dan ia menghampiri dengan apa yang dinikmati di negara kita.

MPGN pula tidak berunding betul-betul dan perkara itulah yang berlaku. Kementerian Sumber Manusia dan MPGN seharusnya ambil masa tiga bulan ini bagi mengkaji semula kadar gaji minimum RM1,050 yang akan dilaksanakan itu.

 

Ketetapan MTUC positif dalam isu ini?

ABDUL HALIM MANSOR: Kita tidak mahu gaji mendadak diwujudkan kerana ia boleh menyusahkan para majikan tetapi kajian mendalam perlu dilakukan terlebih dahulu. Sebenarnya penetapan kadar gaji minimum yang selayaknya boleh sedikit demi sedikit mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Pada masa sama kerajaan juga dapat menarik minat pekerja tempatan jika adanya kadar gaji minimum yang layak untuk mereka. Para pekerja tempatan perlu didaftarkan dalam Lapangan Pekerja Negara bagi mendapatkan testimoni sebagai pekerja terlatih. Kita misalnya, ada berpuluh-puluh kolej komuniti tetapi kita tidak tahu ke mana perginya mereka selepas habis belajar?

Mereka tidak diberi peluang, malah dikatakan memilih kerja. Sedangkan banyak beza antara pekerja tempatan dan pekerja asing. Contohnya, pekerja asing tiada caruman KWSP dan Perkeso berbanding pekerja tempatan. Jadi sebab itu ramai yang kata lebih baiklah ambil pekerja asing sebab boleh jimat.

Tetapi hakikatnya pekerja tempatan ada keluarga, perlu hidup bermasyarakat dan sebagainya, berbeza dengan pekerja asing yang semata-mata datang bekerja. Pekerja tempatan seolah-olah diketepikan, misalnya kita tiada sijil di tempat kerja yang mengiktiraf kebolehan dan sumbangan mereka.

Kalau juruterbang mempunyai kadar jumlah jam penerbangan bagi melayakkan mereka mendapat pengiktirafan tetapi pekerja kita dalam banyak lapangan lain tiada perkara seumpama itu. Dalam kontek MTUC kami cadang gaji minimum RM1,500 tetapi ia masih boleh dibincangkan.

Ini kerana, kenaikan gaji minimum itu ada aktanya sendiri. Ia perlu dirundingkan dan dikaji. Saya melihat kerajaan sekarang lebih memihak kepada majikan. Mereka bimbang tentang kesan cukai dan sebagainya. Dalam isu ini pula saya melihat ia situasi yang tidak harmoni terutama dalam membabitkan kepentingan para pekerja di negara ini.