Ia pada pengamatan Tum­pang lalu semakin kritikal ibarat Gunung Agung di Bali yang dikatakan hanya tunggu masa memuntahkan laharnya.

Ini kisah kahwin di seberang sana, Thailand atau ‘kahwin di Siam’.

Semasa Tumpang lalu singgah di sebuah negeri di Pantai Timur Jumaat lalu, sempatlah bersembang dengan seseorang yang dipercayai cari makan sebagai ejen kahwin di Siam.

Begini kata ejen itu: “Saya ni cari makan bantu permudahkan urusan bernikah rakyat kita di Thailand atau sekiranya untuk mendaftarkan perkahwinan mereka selepas itu di negara ini, sekali gus menyenangkan mereka pula untuk berurusan dengan mahkamah syariah.

“Bukan apa, kerana kesian­ melihat mereka ini yang terpaksa membayar kos yang me­­lampau kepada peguam di sini (Malaysia) setelah sesuatu perkahwinan itu hadapi masalah. Bayangkan buka fail sahaja (mengesah atau membubarkan perkahwinan), sudah kena bayar antara RM200 hingga RM300...ini untuk satu pakej urusan itu sebanyak RM5,000.

“Dengan saya, urusan itu cuma sekitar bawah RM1,000, itupun kalau tak ada rezeki saya, ada yang cabut (lari) tak bayar pun. Tapi memandangkan ramai orang di sini (tidak disebutkan nama sebuah jajahan di negeri berkenaan) ya­kin dengan kemampuan saya yang kenal rapat dengan pihak berkuasa di sana (pejabat agama dan mahkamah di Thailand), maka mereka tetap akan cari saya untuk urusan ini,” katanya.

Dalam bersembang bagai nak rak itu, dia yang tidak mahu dikenali dengan apa-apa panggilan atau gelaran pun mendedahkan satu bab ini sehinggakan Tumpang lalu tersedak ketika asyik menghirup teh O dan biskut kering.

“Ramai yang berkahwin di Siam ini tak tahu hukum-hakamnya. Mereka main redah sahaja sehinggakan saya pasti walaupun sah perkahwinan itu setelah didaftarkan di sini, masalah akan timbul di kemudian hari. Ini terbongkar dari segi halal haramnya apabila memasuki fasa bercerai,” katanya.

Menurut ejen berkenaan, antara jelas tertera syarat jatuh taklik yang terkandung dalam surat nikah pejabat agama yang dikeluarkan di sana berbunyi (ditunjukkan kepada Tumpang lalu dan dicatatkan berikut):

“Aku bertaklik: Jika tidak bersekedudukan dengan isteriku (nama disebutkan…) seperti suami isteri mengikut shara’ atau tidak memberi nafkah terhadapnya lebih daripada empat bulan atau menyakitinya dan mendakwa kepada Qadi atau Ahli Jawatankuasa Islam Wilayah serta mendatangkan dua orang saksi atas dakwaannya dan apabila disabitkan dakwaannya, maka tertalak ia dengan satu talak, dan setiap kali aku rujuk akan dia dengan tidak redanya, maka tertalaklah ia dengan satu satu talak pula.”

Tanya ejen terbabit kepada Tumpang lalu: “Yang disebut di bahagian akhir itu bagaimana? Kalau bekas isteri tadi tidak reda untuk dirujuk untuk kali ke­dua, bukanlah sudah jatuh talak tiga?”

Tumpang lalu sekadar lalu menjenguk isu ini. Tak terkata apa sambil serta-merta fikiran tertuju kepada tanggungjawab dan penguatkuasaan pejabat agama Islam negeri.

Kalau akses google pun, terus terpapar macam-macam pakej nikah di Thailand untuk 2017 ini (di Masjid Agama Islam di Songkhla). Ada pakej 1 hari dan 2 hari 1 malam dengan harga cuma di bawah RM2,000. Bukan itu sahaja, siap boleh pilih tanpa pengesahan dokumen atau sekali pengesahannya di pejabat konsul.

Tumpang lalu bagaimanapun cukup yakin walaupun peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk seseorang berkahwin merumitkan, namun perca­yalah ia sebenarnya dibuat untuk memudahkan.

Kisah sensasi perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun, 33, dengan Siti Arifah Amin atau Joy Revfa, 30, disebabkan kegagalan usahawan produk kecantikan itu dan bekas suaminya Datuk Mohd. Rayos Abdul Rahim, 46, atau Ray Imran mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia setelah me­langsungkan perkahwinan di Songkhla.

Mah­kamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada 28 September lalu mengesahkan pernikahan usahawan produk kecantikan, Joy Revfa dengan Mohd. Rayos empat tahun lalu di Thailand itu sah mengikut hukum syarak.

Hakim Syarie, Sa­lehan Yatim memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan semua dokumen, keterangan lisan dan hujahan bertulis yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Pada 2013, statistik Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla merekodkan lebih 1,000 acara pernikahan dilakukan di selatan Thailand setiap bulan kerana keterbukaan negara itu dalam hal perkahwinan.

Malah, jumlah tersebut tidak termasuk pernikahan yang dilakukan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah. Pernikahan itu diadakan di kedai makanan, dalam kenderaan dan tepi jalan.

Mengakhiri sembang tiga jam, sempat ejen terbabit meminta Tumpang lalu membawa satu isu ini ke pihak atasan (berkuasa):

“Ramai yang bercerai di ne­geri ini dalam lingkungan umur 20-an, kebanyakannya kerana si suami malas bekerja dan pe­nangan pil kuda...pihak masjid dah buat macam-macam program agama, tolonglah pejabat agama dan pihak berkuasa Islam negeri tengok-tengokkan.”