Bagaimanapun, ia hanya satu pertanyaan sedangkan perintiannya tidak berubah. Dalam penulisan Abdullah Munshi, sebutan Inggeris dipakainya di sana sini ketika beliau bertugas di bawah Stamford Raffles, pembuka Singapura. Bukan itu sahaja, dalam persuratan Indonesia, English juga disebut Inggeris secara meluas.

Bekas kuasa kolonialis Malaya ini berketurunan Anglo-Saxon dari benua Eropah. Di zaman penjajahan, Melayu menyebut Inggeris dan British sebagai sinonim. Sebenarnya British mencakup Inggeris, Scot, Irish, Wales dan satu dua lagi.

Di Malaya, rujukan Orang Putih bermaksud Inggeris dan semua mereka yang menjadi pegawai dalam kerajaan, perladangan, perlombongan dan sebagainya. Orang Belanda dipanggil Belanda, begitu juga Amerika, Jerman dan lain-lain.

Suka atau tidak, sukar bagi kita menafikan kehebatan Inggeris menjajah lebih 50 buah negara. Bagaimana dengan 10 juta penduduk 300 tahun dahulu ia mampu berbuat begitu, termasuk India, 20 kali ganda jumlah penduduknya.

Di awal adventur penjajahannya, Inggeris menggalakkan keluarga mempunyai anak seramai mungkin. Dalam buku teks sastera di Form 2 (Tingkatan 2), terdapat sebuah buku bertajuk The Vicar of Wakefield (Tok Guru Wakefield) yang bertemakan penggalakan begitu. Vicar itu sendiri mempunyai anak 10 orang.

Maka dengan galakan begitu, penduduk England bertambah mendadak selaras dengan pembesaran empayarnya. Jika dihalusi, jelas keberkesanan Inggeris melaksana langkah dan tujuannya melalui propaganda, satu campuran persuratan dan media elektronik.

Umpamanya, di sekolah rendah Melayu, kami digalakkan British menyanyi lagu ‘Kami Orang Tani’. Liriknya lantang memuji kebahagiaan hidup mencangkul ubi dan keladi sebagai sumber rezeki dan makanan setiap hari.

Waktu itu Inggeris mahu memisahkan Melayu di kampung, tanpa pekerjaan bergaji bulanan, dengan bukan Melayu di kota yang berniaga dan bekerja dengan penggajian tetap. Justeru tidaklah kelihatan pengangguran dalam kalangan orang Melayu.

Di sekolah Inggeris, kita diajar menyanyi lagu kebangsaan Inggeris God Save The King (Tuhan Selamatkan King) sebelum versi The Queen apabila King meninggal dan Queen menaiki takhta.

Lirik yang memuji King atau Queen di bawah restu Tuhan merupakan suntikan besar ke arah penanaman taat setia rakyat kepada takhta.

Antara buku-buku bacaan terdapat kisah Robin Hood. Ia adalah satu legenda jejaka liar yang berhati baik, membela orang miskin dan mengutuk orang kaya, sedangkan segala perlakuan baiknya didedikasikan kepada King.

Sajak kanak-kanak Pussy Cat dikenakan hafal bertalu-talu, berbunyi ‘Pussy cat, pussy cat, where have you been? I have been to London to see the Queen’ (Si tompok ku sayang, ke mana kau dah pergi? Aku ke London bertemu Queen).

Seorang bernama Alex Josey telah dinyahkan keluar dari Singapura (ketika dalam Malaysia) kerana melampau dalam aktiviti propagandanya. Beliau seorang British keturunan Yahudi pakar propaganda apabila Palestin digantikan Israel pada 1948.

Di Singapura, beliau juga berperanan penting dalam propaganda anti-komunis Malaya di zaman darurat. Namun penerusan beliau menanam duri dalam daging melalui kata-kata propaganda setelah Malaysia terbentuk tidak boleh diterima lagi.

Bagaimanapun, apabila Singapura berpisah dari Malaysia, beliau dialu-alukan balik ke Singapura.

Tradisi propaganda yang sama digunakan oleh AS yang Anglo-Saxon, mewajarkan tragedi Afghanistan, Iraq, Syria dan kini mungkin Iran.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas ialah Ahli Kabinet dan Presiden Senat.