Bagi penjawat awam, Mohd. Nazri Mohd. Noh, 34, dia mengamalkan teknik simpan dan lupa iaitu menyimpan dan melupakan wang kertas berwarna yang telah disimpan di dalam botol air mineral kosong bersaiz lima liter.

Katanya, dia mula menabung menggunakan kaedah itu sejak awal tahun 2016 dan masih diamalkan sehingga kini.

“Untuk hujung tahun ini, saya masih belum mahu mengira jumlahnya. Tahun lalu, saya dapat kumpul lebih RM2,000 dan telah dimasukkan ke dalam akaun bank,” katanya kepada S2.

Teknik menabung Mohd. Nazri itu pernah menjadi tular di laman sosial Facebook yang dianggap netizen satu cara unik dan mudah untuk menabung.

Sementara seorang lagi penjawat awam, Maizatuazwani Abu Seman, 33, pula memperuntukkan sedikit simpanan dari gaji bulanan yang diterimanya ke dalam akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara dalam talian.

“Setiap bulan, sebaik sahaja menerima gaji, saya akan masukkan sedikit ke dalam akaun ASB secara dalam talian. Cara ini mudah kerana saya tidak perlu pergi ke bank dan beratur lama untuk memasukkan wang,” katanya.

Namun, sekiranya keadaan memerlukan, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan itu untuk kegunaannya.

“Menyimpan wang juga menjadi satu keperluan wajib untuk saya kerana jika ada apa-apa kecemasan, saya boleh menggunakannya,” katanya.

Bagi pegawai eksekutif, Haslinda Zainal, 36, dia menyimpan wang tunai sedikit demi sedikit dengan dengan cara yang tidak kurang uniknya.

Katanya, setiap minggu dia akan menyimpan wang dalam tabung mengikut nombor minggu berkenaan sejak Januari lalu.

“Pada minggu pertama Januari lalu, saya simpan RM1, minggu kedua RM2, minggu ketiga RM3 dan seterusnya sehingga kini sudah masuk minggu ke-49. Kesemua jumlah wang tabungan sudah melebih RM1,000,” katanya.

Tambahnya, wang tabungan itu akan digunakan setiap kali ada keperluan atau kecemasan seperti pada hujung bulan sebelum hari gaji.

“Sebelum gaji masuk, memang sesak juga. Jadi, wang tabungan inilah penyelamat saya. Selepas wang tabungan itu diambil, saya akan gantikan semula jumlah yang sama telah digunakan apabila gaji masuk,” katanya.