Baginda juga melahirkan kebimbangan berhubung kurangnya jati diri dan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat negara ini. Sehubungan itu pakar-pakar pendidikan mahukan Kementerian Pendidikan memberi penekanan terhadap aspek sejarah, kenegaraaan dan Perlembagaan kepada pelajar-pelajar sekolah.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BA KAR , KAMIL MASLIH dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto, ZAKI AMIRU DDIN mendapat pandangan Menteri Pendidikan, DA TUK SERI MAHDZIR KHALID.

Dalam pertemuan hampir sejam itu Mahdzir bercakap secara terbuka dan telus usaha yang dlakukan oleh kementeriannya dan apakah kekangan yang dihadapi apabila kita membicarakan soal pendidikan Perlembagaan di sekolah-sekolah.
 

Sejarah dan Kenegaraan

MINGGUAN: Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada minggu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menekankan bahawa masyarakat kurang memahami sejarah secara mendalam kerana tiada pendidikan Perlembagaan yang lebih meluas di peringkat sekolah. Apakah komen Datuk Seri?

MAHDZIR: Sebagai menteri, apa-apa yang berkait dengan sejarah negara atau kenegaraan, saya bersetuju untuk diperkemaskan. Sebabnya, sejarah bagaimana kita boleh sampai ke sini, adalah sangat penting untuk rakyat Malaysia.

Saya fikir kita generasi yang ada dalam negara ini sekarang adalah generasi keempat. Oleh itu kena faham latar belakang dari mana kita datang. Sebab semua masyarakat yang ada dalam negara ini sama ada Melayu, Cina, India dan rakan-rakan bumiputera di Sabah dan Sarawak, mesti tahu dari mana mereka datang. Kita datang daripada sebuah negara yang asasnya adalah pertanian tradisional dengan masyarakat rata-ratanya adalah petani atau terlibat dalam pertanian.

Dalam tempoh 60 tahun kita membina negara bangsa, kita dapat lihat kemajuan pada setiap bangsa. Tiap-tiap etnik itu ada peningkatan kualiti hidup masing-masing. Tidak dapat dinafikan pendidikan adalah satu keutamaan yang diletakkan oleh kerajaan. Sebab itu ada kejayaan besar dalam kehidupan.

Untuk lihat kejayaan dalam 60 tahun itu mudah sahaja. Nenek masih seorang petani, tetapi anaknya telah menjadi seorang profesional yang tinggal di Kuala Lumpur dan cucu kepada nenek itu berada di sebuah universiti luar negara. Sebab sistem pendidikan yang betul yang kita letakkan dari awal merdeka, jadi kejayaan besar ditunjukkan dalam pendidikan mengubah nasib dan landskap sosiobudaya kehidupan masyarakat.

Mereka kena faham hal yang berkaitan dengan sejarah negara ini. Kebanyakannya mungkin tidak berapa ambil peduli tentang sejarah kerana mereka datang (lahir) ke dunia 40 tahun atau 50 tahun selepas merdeka. Sebab benda yang ada di depan mereka adalah benda lain. Sebab itu kena ambil penting sejarah dan kenegaraan.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini?

MAHDZIR: Kita sudah ada subjek yang berkait dengan sejarah dan kenegaraan. Dari sekolah rendah lagi, kita sudah ada subjek sejarah. Cuma apa yang dituntut oleh Tuanku Sultan Selangor dan sesetengah ahli akademik, supaya tambah baik sukatan sedia ada.

Cuma kita kena sesuaikan kehendak masyarakat. Sebab sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak boleh straight forward (secara terus). Mungkin pakar-pakar dalam pendidikan boleh memberikan pandangan mengenai kaedah PdP terbaik untuk pelajar mendapatkan maklumat berkaitan sejarah.

Kita ada buat pembetulan dalam buku sejarah. Misalnya, negara dibentuk daripada tiga wilayah iaitu Malaya, Sarawak dan Sabah. Tiga wilayah ini membentuk negara Malaysia. Kita tidak kata dua wilayah iaitu Malaya dan wilayah Sabah serta Sarawak. Dahulunya empat wilayah termasuk Singapura yang telah membentuk Malaysia.

Kemudian, di Semenanjung ada sembilan Raja-Raja Melayu dan ia terkandung dalam buku sejarah. Cuma penekanannya macam mana hendak buat supaya ada lebih sedikit (maklumat). Kemudian dikaitkan pula dengan Perlembagaan Persekutuan. Itu satu lagi elemen yang dimasukkan.

Mungkin mata pelajaran Sejarah tidak diambil berat oleh ibu bapa sebab tidak dilihat sebagai mata pelajaran wajib di sekolah?

MAHDZIR: Sekarang sejarah sudah menjadi mata pelajaran teras. Wajib lulus subjek Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan sijil SPM.

Mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu wajib lulus dalam peperiksaan tapi sekadar untuk lulus periksa sahaja. Tapi bagaimana dengan penerapannya?

MAHDZIR: Itu yang memerlukan pemantapan. Ada budak dapat A dalam Bahasa Inggeris, tapi dia tidak boleh bercakap bahasa Inggeris. Bahasa Melayu pun sama. Kalau dapat A dalam Bahasa Melayu tetapi kemampuan berkomunikasi tidak mencapai standard sebab dia hendak lulus peperiksaan.

Sepatutnya bukan setakat untuk lulus . Sebab itulah dalam konteks Bahasa Melayu dan Sejarah ini, kita hendak sekarang ini ke arah berfikir ke tahap tinggi. Tidak boleh hendak buat sistem lama yang jenis objektif tapi kena pergi kepada pemikiran dan perbincangan yang ada kreativiti dan inovasi.

Justeru cara duduk dalam bilik darjah pun kena berubah. Dahulu cara sistem teater. Duduk ramai-ramai, dengar cikgu cakap, tulis dan ingat. Ingatan (hafal) itu hanya untuk menjawab dalam peperiksaan tapi bukan dalam bentuk konteks sebuah kisah sejarah.

Jadi, kualiti PdP dan penghayatan pelajar kepada guru kena ada. Akhirnya yang kita hendak daripada pelajar, bukan sahaja mereka faham sejarah tetapi mereka lebih patriotik iaitu sayang dan bangga dengan negara mereka.

Pendidikan Perlembagaan

Pengajaran sejarah dan kenegaraan dalam mata pelajaran Sejarah sahaja mungkin tidak memadai untuk memberi pemahaman kepada pelajar. Mungkin perlu diwujudkan mata pelajaran khas berkaitan Perlembagaan?

MAHDZIR: Mungkin tak payah ada subjek Perlembagaan tapi tajuk Perlembagaan dalam mata pelajaran Sejarah. Sebab Rukun Negara sudah ada dalam mata pelajaran Sejarah. Mungkin dalam konteks sejarah juga, cuma kita huraikan Perlembagaan.

Pelajar di sekolah dididik tentang Perlembagaan termasuk rukun negara dan hak keistimewaan orang Melayu. Tapi bila orang melihat gelagat ahli-ahli politik yang sebahagiannya bercanggah dengan Perlembagaan, apakah itu akan memberikan impak kepada para pelajar?

MAHDZIR: Perlembagaan sudah jelas. Itu adalah soal tentang tidak menghormati Perlembagaan. Contohnya, dalam Perlembagaan menyatakan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan. Cuma kadang-kadang bila sistem pembelajaran sampai satu peringkat, ia tidak tahu atau tidak perasan Islam adalah agama rasmi persekutuan.

Kemudian, dalam Perlembagaan disebut mengenai Raja-Raja Melayu. Yang inipun, pelajar perlu diberikan pemahaman yang kuat di mana kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan dalam masyarakat.

Dalam Perlembagaan dinyatakan tentang hak keistimewaan bumiputera. Ada orang dalam negara ini hendak bawa konsep kesamarataan atau “Malaysian Malaysia”. Jadi, mereka tidak hormat hak keistimewaan bumiputera.

Mereka masih menggunakan istilah ketidakadilan dalam Perlembagaan kerana meletakkan hak keistimewaan bumiputera. Pada pandangan mereka, konsep meritokrasi sepatutnya diamalkan dalam sebuah negara demokrasi dan ekonomi bebas. Siapa yang laju pergilah ke depan dan siapa yang tak laju, duduklah di belakang.

Sistem keadilan yang dibawa dalam negara ini meletakkan hak keistimewaan bumiputera sebab walaupun Melayu dan bumiputera mempunyai bilangan penduduk teramai tetapi dari segi aktiviti ekonomi dan kehidupan, mereka masih tertinggal di belakang.

Tapi kalau tanya orang yang menolak hak keistimewaan bumiputera dalam Perlembagaan, mereka kata tidak boleh. Kamu kena beri sistem merit dalam negara ini. Kalau kami dapat 13A, kenapa kami tidak boleh pergi? Kamu dapat 8A, kamu duduklah di belakang. Itu dalam sistem merit.

Tapi kerana hendakkan keadilan dan kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu, bukan Melayu pun bersetuju, kamu masukkanlah hak keistimewaan bumiputera dalam Perlembagaan. Sebab itu pada awal 1970-an, kita tengok ramai anak Melayu masuk universiti. Tetapi sekarang, berpuluh-tahun tahun kemudian, sistem merit itu mula datang secara perlahan-lahan dalam masyarakat.

Pokok pangkalnya kena faham. Sebab itu saya bersetuju untuk memberikan penekanan kepada Perlembagaan dengan memasukkan satu topik khas yang berkaitan dengan Perlembagaan (dalam mata pelajaran Sejarah).

Kaedah pembelajaran perlu diubah

Hal-hal ini bukan mudah untuk diterangkan kepada pelajar. Bagaimana Datuk Seri melihat peranan guru?

MAHDZIR: Kalau hendak guru mengajar lebihan kepada Perlembagaan atau sejarah, masa dia buat kursus di Institut Pendidikan Guru (IPG), perlu ada tugasan khas daripada pensyarah kepada bakal guru ini. Kalau tidak murid tidak faham.

Konteks membina negara bangsa itu mesti ada. Kita hendak sejarah membina negara bangsa dan kandungan Perlembagaan itu ada. Tidak boleh mengajar secara straight forward tetapi perlu ada kaedah psikologi macam mana hendak mengajar pelajar pelbagai bangsa di dalam negara ini. Macam mana hendak adunkan apa yang diajarkan itu supaya pelajar-pelajar pelbagai bangsa dan etnik ini faham. Bukan kita cakap untuk orang Melayu sahaja tetapi kepada semua kaum.

Kadang-kadang apabila melibatkan bab kenegaraan seperti majlis perpaduan, hanya orang Melayu yang datang. Mereka (bukan Melayu) anggap hal-hal kenegaraan hanya untuk orang Melayu tetapi orang lain tidak terlibat. Itu tidak betul. Dahulu semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan inisiatif ‘Negaraku’ di Kuala Lumpur, yang datang cuma orang Melayu. Perdana Menteri tegur dan mengatakan “Takkan Negaraku ini hanya untuk orang Melayu?”. Ada stigma dalam kalangan bukan Melayu bahawa bila hal-hal berkaitan kenegaraan, ia hanya melibatkan orang Melayu.

Pada pandangan Datuk Seri, kenapa stigma itu sebegitu boleh ada?

MAHDZIR: Mungkin bukan Melayu beranggapan hal-hal kenegaraan ini, biarkan orang Melayu sahaja terlibat. Saya fikir, dalam persepsi mereka urusan negara ini adalah urusan Melayu. Sebab orang Melayu yang jadi pemimpin negara termasuk sultan dan raja pun orang Melayu, jadi urusan negara ini adalah urusan Melayulah.

Adakah ini juga menjadi faktor orang bukan Melayu kurang berminat menyertai pasukan keselamatan?

MADHZIR: Yalah, polis orang Melayu dan askar pun orang Melayu. Ini pembawaan dari merdeka. Tapi benda ini boleh dibetulkan. Bila sampai satu peringkat selepas remaja, dalam hendak memilih kerjaya kecenderungan mereka untuk pergi ke sektor swasta adalah tinggi sebab ramai rakan-rakan kita daripada kaum Cina berjaya dalam perniagaan. Jadi peluang untuk mereka bekerja dalam sektor swasta ini banyak. Bukan setakat bekerja tapi kemudiannya boleh menjadi ahli perniagaan.

Peluang itu banyak sebab ada rantaian sedia ada dalam sistem itu. Sebab itu, ramai antara mereka menceburi sektor swasta. Selain itu, mereka tidak bergantung kepada kerajaan. Mereka hanya pergi minta lesen. Yang lain mereka buat semua. Ini antara benda yang boleh beri kesan.

Di sebelah orang Melayu dan bumiputera pula, disebabkan sistem rantaian dalam aktiviti berkait ekonomi tidak besar, sebahagian daripada kita akan mencari peluang yang ada akses dengan kerajaan. Itulah dua bentuk keadaan yang berbeza.

Kaedah baharu PdP

Ada pakar pendidikan berpandangan cara PdP itu membosankan kerana masih bergantung pada buku teks sedangkan kita sekarang sepatutnya boleh mengaplikasikan teknologi dalam PdP. Apa pandangan Datuk Seri?

MAHDZIR: Inilah yang kita hendak bawa dalam sekolah menerusi kaedah Pembelajaran Abad Ke-21. Dahulu ada tiga kombinasi iaitu cikgu, murid dan papan hitam. Sekarang ada cikgu, murid dan teknologi. Hendak asimilasi teknologi ini, cikgu bukan sahaja kena cekap dalam mata pelajarannya, tapi kena cekap dalam teknologi.

Ini yang ada masalah. Sebab itu ramai cikgu yang sudah lama, mereka memilih bersara secara pilihan. Sebab mereka perlu faham subjek dan teknologi. Dua benda sekali hendak kena buat. Kalau generasi baharu, mereka sudah faham akan teknologi. Jadi, cikgu bawa teknologi dengan subjek itu sekali gus. Itu lebih mudah.

Contohnya, dengan penggunaan papan pintar (smartboard) boleh Google terus dan interaktif dengan murid yang ada alat di meja mereka dan cikgu menjadi pengantara. Kemudian, ada kumpulan perbincangan dan wakil kumpulan itu akan membuat pembentangan tentang subjek yang sedang dipelajari manakala cikgu bertindak sebagai pengantara. Ini proses yang sedang mengubah kaedah PdP di sekolah.

Disebabkan mempunyai akses kepada Internet, murid-murid ini juga terdedah kepada pemikiran-pemikiran negatif seperti usaha menubuhkan negara republik. Bagaimana hendak membendung perkara ini?

MAHDZIR: Inilah sebab kita perlu memberikan penekanan kepada sejarah dari mana asal usul kita. Asas itu kena ada. Sudah tentulah kita tidak dapat lari daripada pendedahan seperti itu tetapi kalau kita dapat bendung dari awal, peratusannya tidaklah tinggi.

Setiap tahun, kanak-kanak yang masuk ke tahun satu adalah lebih kurang 500,000 orang. Jadi dari darjah satu hingga tingkatan lima, secara puratanya ada lima juta orang pelajar sekolah.

Dari segi pendidikan prasekolah, penerapan di prasekolah kerajaan mungkin baik tapi bagaimana dengan di prasekolah swasta?

MAHDZIR: Lesen prasekolah adalah di bawah kerajaan dan kita yang tengok kurikulum mereka. Mereka perlu hantar kurikulum itu kepada kita. Mereka tidak boleh buat kurikulum sendiri. Cumanya hendak kawal 100 peratus itu tidak terdaya juga. Taman didikan kanak-kanak (Tadika) swasta ini lebih banyak daripada tadika kerajaan.

Tidak salah saya, bilangan tadika Kemas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah lebih banyak daripada tadika Kementerian Pendidikan. Tadika swasta lagi banyak. Bilangan murid di tadika Kemas ada lebih 100,000 orang setiap tahun, begitu juga dengan tadika kerajaan. Tetapi di tadika swasta ada lebih 200,000 orang murid setiap tahun.