Posmen tidak lagi sibuk ke hulu ke hilir masuk sampai ke ceruk-ceruk kampung serta belukar menghantar kad ucapan seboleh-bolehnya sebelum raya tiba. Tugas posmen kini sudah diambil alih oleh telefon pintar.

Maka, hendak cari kedai menjual kad ucapan Selamat Hari Raya pun tidak ada lagi. Buatlah secanggih mana pun kad hari raya, orang guna telefon pintar hantar ucapan kepada sesiapa sahaja yang diingini, lengkap dengan gambarnya sekali.

Inilah antara kecanggihan teknologi yang boleh diambil kesempatan dalam menghubungkan silaturahim sesama kita. Semuanya menjadi mudah, cepat dan ramai yang menganggap ia menjimatkan.

Maka tidak hairanlah anak-anak kita pun tidak perlu ke kedai dan ke pejabat pos untuk urusan kad hari raya beberapa tahun belakangan ini.

Lalu, dalam perjalanan pulang ke kampung pun, dengan adanya sebuah telefon pintar di tangan masing-masing, anak-anak sudah boleh menghubungi rakan-rakan di mana-mana sahaja untuk memberitahu apa-apa dan menyampaikan apa-apa ucapan.

Maka rasa bosan dapat dielakkan sedangkan si ayah yang memandu di depan terpaksa mengharungi kesesakan lalu-lintas di beberapa lokasi sebelum sampai ke destinasi.

Dalam kereta, kebosanan bertambah kerana telefon pintar berperanan sebagai penghibur diri masing-masing dan sebagai alat perhubungan dengan individu yang berada di luar.

Selain itu, telefon inilah juga yang menjadi penghalang kemesraan antara keluarga oleh sebab keasyikan menghadapnya sehingga lupa apa yang ada di sekeliling.

Yang muda-muda, apabila berjumpa suku-sakat semuanya menghadap telefon, mata tertancap pada skrin sehingga siapa yang datang dan masuk ke rumah pun tidak tahu.

Di masjid pun, semasa khutbah berlangsung, apa yang khatib kata pun tak didengar kerana asyik dengan telefon. Oleh itu, jelaslah bahawa kadang-kadang kemudahan yang ada itu disalahgunakan dan modalnya pula menjadi banyak kerana ada sesetengah benda yang dihadap dalam telefon memerlukan duit.

Bagaimanapun, raya tetap raya. Warga kota bersesak-sesak pulang ke kampung halaman untuk beraya dengan ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan taulan dan jiran-jiran meskipun dari semasa ke semasa, makna raya semakin hambar.

Hambar atau tidaknya raya itu bergantung kepada kita sendiri. Jika pengisiannya tidak lari daripada matlamat asal, raya akan jadi bermakna. Biarlah ia berbaloi dengan rasa penat sepanjang perjalanan ke tempat asal.

Oleh hal demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak supaya mengisi raya dengan perkara-perkara wajib dan amalan-amalan tradisi yang tidak bercanggah dengan agama. Amalan menziarah, bersua muka, bermaaf-maafan adalah sesuatu yang dituntut dalam agama.

Janganlah pula dengan adanya kecanggihan teknologi, ucapan hari raya hanya dilakukan melalui telefon pintar sahaja sampai tidak perlu bersusah-susah pulang ke kampung atau ke tempat asal.

Apa yang perlu dilakukan ialah berusaha merapatkan hubungan sesama keluarga, rakan-rakan dan jiran dengan amalan-amalan yang mendatangkan manfaat sehingga mampu membentuk nostalgia kepada generasi muda kini apabila mereka tua seperti kita sekarang.