Macam mana pula jika anda diberikan minuman tenaga Red Bull sebagai ganti mata wang, apakah yang anda lakukan?

Itulah cabaran yang bakal dilalui tiga anak muda mewakili Malaysia iaitu Syed Abdul Kabir Syed Ahmad, Aiman Ansai Mohd Hamizan dan Batrisyia Ismail. Kesemua pelajar berusia 22 tahun itu terpilih selepas memenangi peraduan ‘Can You Make It Challenge Red Bull 2018’ baru-baru ini.

Memilih nama pasukan sebagai Team K.A.T iaitu ringkasan perkataan ‘Knowledge, Attitude & Teamwork’, ketiga-tiga elemen itu merupakan kekuatan yang dimiliki mereka dalam menempuh cabaran berada di negara yang bakal dijejaki.

Seramai 200 pasukan dari 65 negara mengambil bahagian dalam pertandingan yang akan bermula pada 10 April ini di lima lokasi check point berbeza yang telah ditentukan iaitu di Stockholm (Sweden), Madrid (Sepanyol), Budapest (Hungary), Manchester (United Kingdom) dan Rome (Itali).

Sebelum pertandingan bermula, setiap ahli pasukan perlu menyerahkan wang tunai, kad kredit dan telefon bimbit masing-masing.

Sebagai ganti, mereka akan dibekalkan sebanyak 24 tin Red Bull dan sebuah telefon pintar dengan pelan data terhad. Pertambahan sebanyak 24 tin Red Bull akan dilakukan bagi setiap check point yang dikunjungi.

Dalam tempoh tujuh hari mereka diberi kebebasan mengikut laluan sendiri dengan mengunjungi lokasi check point di pelbagai negara di Eropah, namun mereka perlu menamatkan perjalanan di check point terakhir di Amsterdam, Belanda pada 17 April.

Semua pasukan akan diberi mata terkumpul berdasarkan persinggahan di setiap check point beserta dengan paparan aktiviti yang dilakukan menerusi gambar dan video.

Mata terkumpul juga diberikan sekiranya pasukan berjaya melakukan aktiviti dalam Adventure List, di samping mengumpul mata berdasarkan jumlah ‘like’ dan ‘share’ yang diperolehi di laman sosial seperti di Facebook atau Twitter.

Pasukan yang memiliki mata terkumpul tertinggi akan dipilih sebagai pemenang dan akan menerima hadiah percutian percuma selama setahun ke mana sahaja destinasi yang dipersetujui di bawah tajaan Red Bull.

Bagi pasukan Malaysia, cabaran mereka akan bermula di Stockholm.

Menurut Syed Abdul Kabir, segala persiapan telah dilakukan dari segi fizikal dan mental dalam usaha memastikan pasukan mereka dapat menyesuaikan diri ketika berada di negara asing.

“Bagi meningkatkan stamina, kami kerap melakukan senaman di gim, selain terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan.

“Kami juga membuat kajian mengenai sesebuah negara termasuk dari segi budaya, sistem pengangkutan, lokasi stesen dan lain-lain berkaitan, di samping mengatur plan strategi yang perlu dibuat kelak. Kami juga ada melihat video peserta dalam pertandingan tahun sebelumnya bagi mengenal pasti cabaran yang bakal dihadapi.

“Dari segi persiapan komunikasi, kami mempelajari asas bahasa negara-negara yang akan dikunjungi kerana tidak semua penduduk di sesebuah negara tahu berbahasa Inggeris,” katanya yang merupakan pelajar kursus kejuruteraan kapal terbang di APR-Aviation Training Centre.

Dalam pada itu, menurut Aiman, dia dan rakannya akan melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan setiap apa yang bakal dilalui dapat ditempuh sepenuhnya.

“Matlamat kami sudah tentu nak menang, namun perkara paling utama adalah kami mahu menimba seberapa banyak pengalaman di negara asing. Mewakili negara dalam pertandingan ini pun sudah menjadi satu kemenangan buat kami.

“Apa yang penting kami dapat mempelajari sesuatu yang baru seperti budaya asing dan bagaimana berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di negara lain. Lagipun kami tidak pernah pergi ke sesuatu tempat tanpa membawa wang dan telefon bimbit, lebih-lebih lagi di luar negara,” katanya.

Tambah pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Pemasaran (Kepujian), di KDU University College itu, memandangkan setiap negara mempunyai cabaran yang berlainan, pasukannya turut menyediakan back up plan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Menggunakan minuman Red Bull sebagai mata wang untuk mendapatkan keperluan makanan dan kemudahan seperti pengangkutan dan penginapan adalah sesuatu yang mencabar.

“Jadi, kami perlu memikirkan cara bagaimana melakukan sistem barter untuk ‘survive’ di negara orang dan apa yang perlu dilakukan sekiranya usaha kami tidak berhasil,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan pasukan K.A.T berentap dalam pertandingan itu boleh layari laman web www.redbull.tv/event