juwie

Paling utama juga, lirik Insan adalah terjemahan yang paling mudah tentang keperibadian Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Salleh. Juwie yang semua orang kenal ialah seorang wartawan hiburan dan penulis lirik tersohor dan berpengaruh, tetapi tiada istilah bermegah dengan nikmat dunia yang Allah pinjamkan kepada beliau itu.

“Apa yang Allah bagi pada kita adalah pinjaman. Jangan sombong dengan orang,” itulah yang sering dinasihatkan Juwie kepada wartawan hiburan generasi baharu. Tutur Juwie sentiasa santun. Senyuman pula tidak pernah lekang terukir di bibir. Dan yang paling diingati, tulisan-tulisan Juwie sepanjang lebih tiga dekad dalam dunia kewartawanan tidak pernah walau sekali mengguris hati mana-mana penggiat seni.

Dunia kewartawanan Malaysia harus mengakui Juwie ialah wartawan terbilang tanah air yang sentiasa menjadikan integriti berada di kedudukan paling teratas, berbanding mengejar glamor berikutan kehidupannya di kelilingi artis-artis masyhur dan berpengaruh.

Sepanjang menjadi wartawan hiburan, Juwie juga antara saksi yang melihat jatuh bangun anak seni yang sebilangan besarnya dirakamkan dalam tulisan-tulisannya.

Bukan sedikit kisah kejayaan artis yang dilaporkannya. Begitu juga rahsia-rahsia peribadi artis-artis popular digenggamnya tanpa pernah didedahkan.

Keperibadian Juwie itu akan terus dikenang oleh anak-anak seni yang pernah mengenalinya. Wartawan hiburan juga tidak terkecuali melihat beliau sebagai ikon memandangkan legasi tinggalan Juwie dalam bidang kewartawanan hiburan terlalu tinggi nilainya.

Namun, sudah tertulis hayat Juwie di dunia ini hanya sehingga usianya mencecah 62 tahun. Jumaat lalu di sekitar pukul 10.30 malam, Juwie menutup usia selepas bertarung dengan penyakit kanser prostat. Pemergian itu meninggalkan seluruh kebaikan dan jasa yang pernah ditaburkan kepada dunia hiburan.

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa sebak dan luluhnya perasaan sebilangan besar wartawan termasuk saya yang pernah membesar dengan tulisan-tulisannya serta lirik-lirik melankolik yang pernah dihasilkan sepanjang kerjayanya.

Hampir dua dekad mengenali Juwie, tidak pernah sekali saya mendengar mana-mana artis yang mengkritik atau tersinggung dengan tulisannya, sebaliknya, kerana kesederhanaan peribadinya itu menyebabkan dia disayangi dan dihormati.

“Yang paling saya terkesan dengan sikap Allahyarham tidak pernah sesekali menghakimi orang lain. Sejahat atau senakal mana sekalipun seseorang itu, Mama Juwie akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka. Saya belum pernah jumpa orang yang sebaik arwah Mama Juwie. Budi dan jasa beliau pada saya tidak akan saya lupa sampai bila-bila,” kata aktres Umie Aida.

Dalam kalangan artis ternama, Allahyarham juga digambarkan sebagai seorang yang tidak pernah lokek berkongsi kasih dan sayang. Hal ini diakui oleh penyanyi Fauziah Latiff yang memberitahu, Mama Juwie sentiasa menyayangi artis-artis seperti anaknya sendiri dan sering mengingatkan bahawa hanya kasih sayang yang akan mengikat sesebuah persahabatan.

“Mama Juwie adalah antara wartawan hiburan yang sangat dihormati sepanjang bergelar anak seni kerana sumbangan Allahyarham pada kerjaya seninya terlalu besar dan tidak dapat diukur dengan wang ringgit, ” kata Fauziah dalam nada sebak ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas menziarahi jenazah Mama Juwie, Jumaat lalu.

Sebagai ikon kewartawanan hiburan, Mama Juwie dilihat sebagai pencetus kepada revolusi penulisan gosip di Malaysia dengan memberi penekanan kepada laras bahasa bersifat santai dan bersahaja. Allahyarham memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984 dan kemudian menjadi Pengarang Majalah Mangga pada 1995 di syarikat yang sama sehinggalah bersara pada 8 Julai 2008.

Mangga adalah majalah yang menjadikan karakter unik Juwie sebagai inspirasi sehingga mencatat jualan luar biasa ketika dilancarkan oleh Kumpulan Utusan. Dalam kerjayanya sebagai penulis lirik pula, Juwie yang terkenal dengan kesantunannya itu sangat kaya dengan idea melankolik menyebabkan sebilangan besar lirik yang dihasilkan dekat dengan nilai-nilai cinta dan kemanusiaan.

Antara karya lirik yang hebat dan agung yang pernah dihasilkan beliau ialah Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ciptaan Datuk Ahmad Nawab dan dinyanyikan oleh penyanyi ternama, Ramlah Ram. Lirik-lirik tulisan Juwie juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan artis-artis lain seperti Jamal Abdillah, kumpulan Alleycats, Norsheila Amin, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.

Lebih sedekad lalu, selepas bersara daripada dunia akhbar, Allahyarham Juwie kerap berulang-alik ke Tanah Suci, Mekah sama ada untuk mengerjakan umrah dan haji. Bahkan, beliau sering menjadi rujukan sebilangan besar artis dan wartawan yang berhajat untuk berkunjung ke rumah Allah itu.

Dan semalam, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih melihat Mama Juwie dibawa ke tempat berehat yang abadi buat beliau iaitu di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baharu. Bersama-sama rakan artis dan wartawan hiburan yang lain, kami menyaksikan perjalanan terakhir maestro penulisan lirik itu dinoktahkan dalam keadaan penuh ketenangan.

Salam perpisahan yang sementara duhai teman, rakan dan sahabat yang bernama Abdul Jalil Salleh. Usai sudah urusan duniamu. Terima kasih di atas ilmu dan pengalaman yang pernah dikongsi dengan kami. Semoga Allah SWT merahmati kehidupan kamu di sana. Al-Fatihah.

Lirik lagu Insan

Kita adalah insan

Menumpang atas dunia

Aku dengan caraku

Yang sederhana

Kita adalah hamba

Berbakti pada Yang Esa

Aku mencari sinar

Keredaannya

Kita sama sahaja

Bezanya cuma amalan kita

Engkau dan juga aku

Saling perlukan

Oh cinta yang murni

Sebagai ikatan

Yang kukuh di hati

Demi masa depan

Jangan dihancurkan

Hidup yang indah ini

Akibatnya merana

Jangan hancurkan

Hidup yang indah

Kita adalah hamba 
Yang Esa