Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Jurang kemiskinan dan pemanasan global

PEMBEBASAN karbon dioksida secara berlebihan menyebabkan sebahagian
PEMBEBASAN karbon dioksida secara berlebihan menyebabkan sebahagian gas itu diserap air laut dan menjadikannya lebih berasid dan panas. GAMBAR HIASAN/AP

FENOMENA pemanasan global ataupun perubahan iklim tidak asing lagi disebut dalam media utama di dunia. Fenomena ini merujuk kepada pemanasan suhu bumi disebabkan pembebasan gas rumah hijau serta karbon ke udara persekitaran.

Pembebasan gas ini seterusnya menyebabkan radiasi haba dari bumi yang sepatutnya dibebaskan semula ke angkasa, namun sebaliknya terkumpul di bahagian bawah atmosfera bumi. Ini menyebabkan kuantiti haba tersebut bertambah lalu memberi kesan kepada ekosistem bumi.

Sebagai contoh, pembebasan karbon dioksida berlebihan menyebabkan sebahagiannya di­serap oleh air laut, menjadikannya lebih berasid dan panas. Ini kemudiannya menyebabkan kematian dan migrasi hidupan laut yang sebelum ini tidak dilihat serta tidak dapat dijangka.

Jika ini berlarutan, sudah ­pastinya sumber makanan manusia dari laut akan terancam. Selain itu, disebabkan kesan pemanasan ini, lapisan atas ais yang terdapat di kutub utara dan selatan yang pada asal kebanyakannya berwarna putih, mencair dan berubah warna menjadi lebih gelap. Warna yang lebih gelap akan menyerap lebih banyak haba, lalu memanaskan lagi ais tersebut sehingga lama-kelamaan akan mencair sepenuhnya.

Ais yang luas dan berketebalan tinggi ini pula akan menyebabkan paras air laut meningkat lalu mengancam kebolehhidupan manusia di muka bumi.

Ekoran ekosistem bumi yang luas dan saling berkait, kesan buruk perubahan iklim ini amat sukar diramal, namun yang pastinya akan menimpa semua umat manusia tanpa mengira warna kulit, agama dan juga status kehidupan.

Disebabkan oleh kesan pemanasan global yang menyeluruh kepada manusia, sudah pastinya timbul isu ketidakadilan kerana tidak semua umat manusia yang sebenarnya menyumbang kepada isu pemanasan global ini.

Negara-negara yang kurang membangun sudah tentu menghasilkan kurang gas rumah hijau berbanding negara-negara maju. Individu yang berpendapatan tinggi pula, sudah pastinya membebaskan karbon serta gas rumah hijau dengan kuantiti yang lebih tinggi berbanding individu yang berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, kenderaan mereka yang berpendapatan tinggi akan membakar bahan api lalu membebaskan suatu kuantiti karbon ke udara.

Individu lain yang tidak mampu memiliki kenderaan, lalu menaiki bas maka pembebasan karbon dikongsi beramai-ramai antara penumpang bas, menjadikan kuantiti pembebasan karbon per individu sangat sedikit berbanding pemilik kenderaan tadi.

Begitu juga negara seperti Amerika Syarikat dan China yang berpendapatan tinggi dan menikmati kemewahan hasil bumi mereka, membebaskan gas-gas rumah hijau dalam kuantiti yang sangat tinggi bagi menampung perkembangan ekonomi mereka. Negara yang miskin pula, sungguhpun tidak mengeluarkan gas pencemaran, namun sudah pastinya akan turut sama mendapat kesan buruk yang sama akibat perubahan iklim ini.

Oleh itu, usaha bersama antara semua negara melalui Perjanjian Paris 2015 untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini telah dibuat bagi memastikan bumi selamat diduduki. Komuniti penyelidik di serata dunia juga giat berusaha untuk menyelesaikan masalah pergantungan kepada bahan api fosil seperti minyak dan arang batu. Antara penyelesaian utama menggantikan sumber tenaga daripada bahan api fosil ini kepada bahan api boleh diperbaharui seperti tenaga solar, ombak laut, serta angin.

Hal ini sebenarnya sangat sukar dilakukan kerana kuantiti bahan api fosil yang digunakan secara harian adalah sangat tinggi dan murah hasil skala ekonomi yang meluas.

Namun begitu, peralihan kepada sumber tenaga baharu ini semakin berkembang dari segi ekonomi, dan apabila boleh menyaingi bahan api fosil dari segi kuantiti dan kos, dijangka mampu menyelesaikan isu perubahan iklim. Apa yang paling penting, akan mampu merapatkan jurang kemiskinan antara individu.

Sebagai contoh, jaringan elektrik semasa memerlukan sistem pendawaian yang lengkap bermula dari stesen janakuasa sehingga ke rumah pengguna. Ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk di kawasan pedalaman, lalu menyebabkan mereka tidak dapat menikmati elektrik.

Dengan itu, mereka juga tidak dapat menikmati prasarana lain seperti kemudahan internet, televisyen dan sebagainya. Ini secara langsung menyukarkan mereka mendapat serta menyampaikan maklumat kepada pihak luar. Oleh itu pendidikan generasi muda mereka akan tergendala serta peluang untuk maju sebagai sebuah komuniti menjadi tipis.

Dengan usaha menggantikan sumber tenaga kepada tenaga solar contohnya, membolehkan masyarakat di kawasan pedalaman mempunyai akses kepada tenaga elektrik.

Tenaga ini boleh dibangunkan sendiri dan berasingan dengan jaringan elektrik sedia ada, maka tidak memerlukan sistem pendawaian terus dari stesen janakuasa.

Sebaik sahaja halangan kos ini dapat diatasi kelak, kaedah ini sudah tentu akan memberikan impak yang besar kepada komuniti pedalaman di serata dunia.

Dalam contoh tenaga solar ini, potensi yang ada untuk merapatkan jurang kemiskinan dengan kaedah penyelesaian masalah pemanasan global mempunyai harapan yang cerah.

Strategi ‘serampang dua mata’ ini harus diambil positif sungguhpun ia melibatkan belanja serta sumber masa dan intelek yang tinggi ketika ini. Peluang untuk menyelesaikan pemanasan global dan mengurangkan jurang kemiskinan secara serentak patut dijadikan agenda semua negara di dunia bagi memastikan kelestarian bumi serta keseimbangan penduduknya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain