Menurut seorang ejen yang enggan dikenali, salah satu faktor adalah kerana persaingan dalam industri itu tidak beberapa sengit malah mereka saling bekerjasama untuk memasarkan nombor-nombor plat tersebut.

Jelasnya, ini memandangkan sesiapa sahaja yang dapat menjualkannya akan menerima komisen dan keuntungan berikutan nombor plat semua tidak sama.

“Dulu saya kerja sebagai penghantar surat, disebabkan selalu berurusan dengan penjual kereta dan sering ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya sedikit sebanyak mempelajari selok belok jual beli nombor plat ini.

“Ketika itu, saya mula dengan nombor semasa dengan harga RM300 dan berjaya menjualnya dengan RM1,200. Melihat pada ‘lubuk’ ini, saya terus membeli dan menjual nombor plat sehingga pernah meraih puluhan ribu ringgit bagi satu urusan jual beli,” katanya S2 di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pada tahun lalu, hanya dengan nombor pendaftaran dua digit yang dibida dengan harga RM3,000, dia menjualnya pada harga RM35,000.

“Sekarang memang saya fokus kepada perniagaan ini kerana keuntungannya yang luar biasa. Bayangkan hanya dengan satu jualan ia seperti gaji setahun sebagai penghantar surat.

Tambah ejen berusia 37 tahun itu, kerjanya menjadi lebih mudah dan efisien apabila dia bekerjasama dengan penjual kereta bagi memasarkan nombor dalam pegangannya.