Selaras dengan agenda nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020, sambutan ini disema­rakkan dengan pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan yang mana penglibatan pelbagai pihak merangkumi pelbagai peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun masyarakat ­keseluruhannya.

Sambutan ini banyak mendatangkan kebaikan kepada seluruh masyarakat yang mana ia dapat menerapkan amalan budaya hidup cergas. Seperti dilaporkan oleh media bahawa Malaysia antara negara yang mencatatkan pe­ningkatan obesiti yang amat membimbangkan, justeru, dengan terlaksananya program kesukanan seperti ini diharap dapat memupuk minat masyarakat terhadap aktiviti riadah. Ini ­seterusnya mengurangkan jurang pe­ningkatan penyakit pembunuh senyap ini.

Dalam dunia yang serba canggih, kekurangan aktiviti kecerdasan dapat meragut kesejahteraan seseorang individu. Maka, timbulnya satu penyakit yang dihidapi oleh generasi kini iaitu sindrom sedentary - cara hidup yang kekurangan aktiviti fizikal. Seseorang individu yang mengalami sindrom ini dikenalpasti apabila kehidupan seharian hanya menonton televisyen, melayari internet dan membaca selama berjam-jam tanpa sebarang aktiviti fizikal yang lasak. Justeru, melalui program Hari Sukan Negara yang disertai, sedikit sebanyak memberi manfaat tentang kepentingan hidup secara sihat dan aktif.

Penulis juga berpeluang menyertai program ini di Perumahan Embun Elite, Jalan Nuri di Pasir Gudang. Pelbagai acara yang dipertandingkan antaranya Fun Run, bola jaring, sukaneka dan tarik tali. Jelas sekali terpapar kegembiraan pada riak wajah peserta di sepanjang berlangsungnya program ini. Program ini bukan sahaja disertai oleh penduduk perumahan setempat malah pelajar sekolah di kawasan sekitar turut mengambil bahagian.

Bukan itu sahaja, program sebegini memberi ruang dan peluang kepada peniaga untuk terlibat sama. Hal ini dibuktikan dengan penglibatan peniaga-peniaga yang menjual minuman dan makanan di sepanjang program ini berlangsung. Secara tidak langsung, program ini dapat menambah pendapatan dan seterusnya meningkatkan lagi sosio ekonomi masyarakat setempat.

Yang pastinya, melahirkan seseorang atlet berkualiti tinggi bermula dengan program sebegini. Ia dapat memupuk minat kalangan anak kecil di bangku sekolah untuk bergiat lebih aktif di dalam sukan. Penganjuran program sebegini di pelbagai peringkat wajar diteruskan lagi di masa akan datang dengan pelbagai acara yang menarik. Seperti yang selalu disebut-sebut - “badan sihat otak cerdas”.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.