Ada yang sudah bertongkat, ada yang agak uzur dan ada yang seperti Shaik Sulaiman, masih gagah.

Mereka disusun di bangku hadapan menghadap pentas utama. Dipakaikan jubah universiti sebagai penghormatan di atas kehadiran mereka. Shaik adalah kumpulan pelajar pertama memasuki ke Dewan Latehan Rida di Jalan Othman, PJ pada tahun 1961 - lima puluh empat tahun lalu!

“Pada mana itu kumpulan saya cuma sekitar 60 orang. Hanya ada tiga kursus iaitu perakaunan, kesetiausahaan dan stenografi. Saya tiada pilihan diberi kursus stenografi.”

“Saya diberi belajar trengkas, menaip dan simpan kira,” katanya mengimbau kembali masa itu.

Kumpulan itu diberikan salutasi khas oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub di dalam ucapannya. Rata-rata adalah anak murid Arshad sendiri semasa beliau menerajui Maktab Mara sekitar tahun 60-an itu.

Arshad diberi tanggungjawab sebagai Pengetua Maktab Mara pada 1965. Pada tahun 1967 Arshad dilantik sebagai Pengarah ITM apabila Allahyarham Tun Razak membuat pecah tanah kampus induk itu di Shah Alam.

“Selagi hayat dikandung badan kami akan datang. Jika kami sudah tiada doakan kami semua,” kata Shaik yang kemudian melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat.

Mereka mahu generasi UiTM hari ini mensyukuri bahawa institusi itu hari ini adalah diasaskan oleh orang terdahulu. Orang dahulu mahu melihat anak bangsa mereka “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan yang lain.

Atas semangat itu pada 20, 21 dan 22 November ini majlis homecoming atau majlis sirih pulang ke gagang akan diadakan di UiTM Shah Alam. Penyertaan dibuka kepada semua alumni sepanjang zaman. Dianggarkan sekitar 1,000 ke 1,500 alumni akan hadir. Yang berminat sila hubungi Urusetia Homecoming: Rose 016-3804895, Kamarool 016-2037027 dan Afiza 019-2171910.

Ia dianjurkan oleh Yayasan Budiman UiTM bersama-sama Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) UiTM dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM). Pelbagai atur cara istimewa disusun antaranya: Tahlil Perdana, Makan Malam Nostalgia Perdana, Jalan Kaki 1,000 Langkah, Bicara Alumni @ School, Perlawanan Bola Sepak, Sukaneka, Pidato Awam dan lain-lain.

Bagi mengembalikan nostalgia alumni, mereka akan menginap di Asrama Perindu dan Asrama Seroja -- asrama yang sinonim dengan pelbagai kenangan pahit manis bagi pelajar lelaki dan pe­rempuan.

Shaik Sulaiman dan kumpulan 60nya, walaupun tidak pernah tinggal di situ, juga berkobar-kobar akan hadir.

“Saya akan hadir. Kerana mengenangkan tanpa institusi ini the Malays will be at lost!” katanya.

Benar kata beliau. Tanpa institusi itu adakah akan wujud kapten-kapten industri Melayu Bumiputera kelahirannya, dan mereka yang berjaya yang ada pada hari ini?

Seperti yang lain-lain, Shaik yang selepas tamat pengajiannya pernah berkhidmat di sektor kerajaan, pegawai kanan hal ehwal korporat Shell dan kini masih berkhidmat sebagai pengarah dalam beberapa syarikat.

Difahamkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga alumni semasa mengikuti kursus MBA, akan hadir dan tidur bersama-sama di majlis homecoming itu!

Ayuh! Hell’s Engines, Budak Masscomm, Budak Hotcats, Budak Law, Budak Business, Budak Architecture, Budak Library Sience, Budak SS, Budak Applied Science, Budak Computer Science, Budak Sportrec dan budak-budak alumni lain, daftar sekarang!

Ambillah semangat angkatan alumni 60an itu yang akan hadir “selagi hayat dikandung badan...”

Sempena Homecoming Alumni budak-budak UiTM 20, 21, 22 Nov. ini