Abang hensem setakat ini usah cakaplah. Masih tetap bergaya macam dulu-dulu zaman remaja. Stylo kena ada lah bang tapi hati dan jiwa mesti baik. Menjadi orang baik ni bukannya mudah. Perlu kekuatan dalaman. Itu azam abang hensem yang bukan baharu pun, tapi sentiasa diperbaharui setiap kali menginjak tahun baharu.

Sembang pasal nak jadi baik ni, abang hensem terpanggil nak ulas sedikit pasal orang perempuan. Abang hensem rasa dalam 80 peratus orang lelaki tak suka perempuan yang suka gosip dan kuat mengumpat.

Itu kalau gosip yang berkait dengan rakan-rakan seangkatan abang hensem, tapi hakikatnya dalam kalangan sesama orang perempuan pun, gelagat ini tidak disenangi langsung. Dan bukan setakat gosip, isu besarnya dalam kalangan sesama orang perempuan ini ialah tidak ada kejujuran dalam hubungan.

Abang hensem dikhabarkan sesama perempuan ni mudah terjebak untuk datang perasaan I’m better than you. Dalam hubungan biasa seperti shopping atau kopi-kopi okeylah, tapi bila sampai pada hubungan peribadi, itu ­lebih kepada penyakit hati. Itu isunya, maaf ya abang hensem dikhabarkan. Sebenarnya, kalau macam abang hensem ni, tak kisahlah perempuan ni suka membebel atau banyak cakap. Layan sajalah. Tapi kalau kaki gosip suka dedahkan keburukan orang lain, abang hensem angkat kaki sajalah.

Abang hensem nak petik juga kenyataan pelakon Ruhainies sebelum ini yang mendedahkan dia ada sebab tersendiri mengapa lebih selesa berdampingan dengan lelaki berbanding wanita sebagai teman baiknya.

Kata Ruhainies sejak dulu lagi dia kurang selesa berkawan rapat dengan perempuan kerana merasakan tidak boleh berkongsi kisah peribadi dan rahsia dengan mereka.

“Tahu sahajalah orang perempuan ni... kuat gosip! Kalau berkongsi masalah atau hal peribadi mesti tak boleh simpan rahsia.

“Saya sendiri pun kadang-kadang kuat juga bergosip, jadi saya tahu situasi itu dan membuatkan saya mengelak daripada berkawan rapat dengan perempuan,” katanya yang menyebabkan abang hensem angguk kepala sendirian.

Kadang-kala nak hindarkan dari dengar gosip dan mengumpat ni, abang hensem rela jadi batu saja. Nak letakkan dua telapak tangan ke kedua-dua telinga tak tergamak pula. Nanti kata tak sporting pula. Jadi batu sajalah, tak mencelah, tak menyampuk. Ya! Macam judul lagu Batu dendangan Sweet Charity tu, walaupun dalam maksud pengertian ketuhanannya tinggi, abang hensem cuma ambil makna positif peringkat ‘permukaannya’ saja - batu:

Sudah menjadi resmi manusia

Ingin hidup seribu tahun lagi

Seperti batu-batu

Setulus putih hati

Melihat kurniaan Tuhan

Lihat batu-batu di iringan jalan

Telanjang disinari dan dibasahi hujan

Terbiar detik pagi

Tangisan mengiringi

Lihat anak kecil hadiri

Sampai akhir nanti

Batu sayang kau tak boleh berkata

Semuanya kau lihat

Walau kau tak bermata

Terhiburlah dunia engkau dicipta

Hingga akhir dunia engkau kekal jua.

Apapun, untuk avoid kurang bergaduh pasal hal-hal gosip, mengumpat ni (Ya! Kalau too direct nak tegur pun tak boleh), mungkin abang hensem fikir boleh guna cara halus.

Antaranya, bila dengar sahaja, buat-buatlah bersin ke, tersedak ke, terbatuk ke. So, bila conversation tu tiba-tiba interrupted, for sure perempuan tu malu nak ulang balik cakap dia tadi dan lebih concern tanya “You okay tak ni? Gatal lagi hidung? Nak tissue lap hingus tak?” So, settle, terlupa topic nak gosip/mengumpat.

Satu lagi, kalau pandai buat lawak, buatlah. Not to say heavy joke lah. Cuma, buat-buat kau tak kenal siapa yang digosipkan tu atau kau make fun of the topic. Nanti masing-masing dah ketawa, langsung tak jadi gosip.

Atau satu lagi jika dia sudah naik syehh bergosip sebab lama sangat lepak dengan dia, cepat-cepat ubah suasana dengan ajak pergi makan ke. Cuma, poket bocorlah sikitlah.

Gosip dan mengumpat ni biasanya abang hensem tak layan. Bukan apa, untuk elak sampai melarat jadi benda fitnah.Abang hensem nak petik jugalah apa yang disebut dalam Kitab Mufrodat, yakni fitnah berasal daripada kata Fatana-Yaftunu yang memiliki erti meletakkan emas di tempat yang panas hingga terpisah emas murni dengan logam lain. Proses fitnah dalam kehidupan nyata pun begitu jugalah. Keadaan begitu panas sehingga memisahkan orang yang berpegang teguh dengan kebenaran dan orang yang hanyut dalam fitnah itu. Fitnah, sesuatu yang panas, masih samar dan kabur. Sulit mengenali hakikat aslinya. Dan Allah SWT menyebut kata fitnah dengan segala bentuknya sebanyak 56 kali dalam al-Quran.

Minggu lepas, akak cun, rakan abang hensem dari kejauhan tu asyik ‘rembat’ isu hormon lelaki yang tak stabil. Agaknya sudah sampai masanya akak cun ‘tala’ juga orang perempuan ni yang asyik mengumpat, kaki gosip ni.

Apa pun, abang hensem suka jadi ‘batu’ tadi - (iklan sebentar) yang sebenarnya abang hensem terkagum dengan suara rock Ramli Sarip. Apa lagi kalau lagu Kamelia.