Perut berkeroncong, mulut menguap, mata sesekali terlelap, anak-anak di belakang terus memberontak ke­rana kebosanan. Tubuh terlalu letih dan secara tiba-tiba ada pula manusia yang ‘mencucuk’ dari laluan kecemasan dan belakang. Hati makin panas, ‘tawaran’ itu disahut. Masing-masing pakat menunjukkan kejaguhan.

Satu fakta mengenai pemandu negara ini, apabila di­sentuh sahaja stereng kenderaan semuanya bakal bertukar watak daripada manusia biasa menjadi raksasa!

Dimensi kali ini bukan ingin membicarakan mengenai tabiat pemandu tetapi tentang senario bakal dihadapi mereka pada hujung bulan ini. Masalah yang bukan main-main tetapi bakal berlaku dan terpaksa ditempuhi. Kecuali jika semua perantau memilih untuk tidak menyambut Aidilfitri di kampung halaman, maka masalah itu tidak akan berlaku.

Aidilfitri dijangka jatuh pada 25 Jun ini (Ahad) dan Kementerian Pendidikan dalam surat pekeliling - sekolah kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu bakal mula bercuti pada 23 Jun (Jumaat). Bagi sekolah Kumpulan B (selain Kumpulan A) lewat sehari iaitu pada 24 Jun (Sabtu).

Kita fokuskan kepada Lembah Klang, bermakna perantau mempunyai anak-anak yang bersekolah termasuk guru hanya dibolehkan untuk mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing pada tengah hari Jumaat atau lewat petang (persekolahan sesi petang) kerana mereka tidak boleh ponteng sekolah.

Itu sahaja pilihan yang ada, maka jangan bertangguh-tangguh kerana Aidilfitri kurang-lebih 24 jam sahaja daripada masa bertolak yang disebutkan itu. Jika lewat terpaksa beraya atas kereta. Jarak masanya terlalu suntuk - hanya sehari sahaja - pasti bakal menimbulkan kesesakan luar biasa di atas jalan raya.

Semua tahu balik kampung semasa musim perayaan ialah satu perkara yang memenatkan. Sering terjadi kesesakan jalan yang teruk, kemalangan termasuk kehilangan nyawa, kos tinggi dari segi pengangkutan. Jadi, mengapa perlu juga balik kampung dan tidak menyambut Aidilfitri di kota sahaja? Sila jawab sendiri!

Untuk rekod, tahun lepas terdapat kira-kira 1.6 juta kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang keluar dari Lembah Klang pada cuti Aidilfitri. Kali ini rasanya jumlah itu tidak berkurangan. Apabila jumlahnya meningkat, kebarangkalian berlakunya tragedi juga turut bertambah.

Jumlah kemalangan jalan raya pada 2015 meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 tahun sebelum­nya iaitu 2014. Jumlah kematian juga meningkat bagi 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun sebelum­nya. Bagi tempoh Aidilfitri 2015, sebanyak 20,458 kemalangan melibatkan 330 kematian direkodkan oleh polis.

PLUS mengatur pelbagai strategi termasuk menyediakan Jadual Cadangan Waktu Puncak Perjalanan (TTA). Ini bagus jika pengguna lebuh raya mempunyai jangka waktu cuti yang agak tenang. Namun jika hanya sehari masa yang ada, bagaimana untuk merancangnya? Semua pihak akan berpusu-pusu pada Jumaat atau Sabtu kerana kemun­caknya pada Ahad.

Bagaimanapun, rasanya belum terlambat untuk me­lakukan sesuatu. Kementerian Pendidikan wajar mempertimbangkan untuk memberi cuti bersyarat sekurang-kurangnya sehari lebih awal. Namun cuti itu perlu diganti mungkin pada Sabtu berikutnya. Mungkin ada yang akan membantah, tetapi sanggupkah meredah kesesakan luar biasa sebelum Aidilfitri, termasuk terpaksa mengadap perkara-perkara berbangkit lain?

Jika sanggup, dipersilakan dan bertabahlah semua. Penulis bercadang untuk memandu balik pada pagi Aidilfitri, diharapkan jangan ada sesiapa mengikut pilihan ini.

Tolonglah...