JOHARI ABDUL

Penduduk di negeri Jelapang Padi itu disogokkan dengan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang berminat untuk memimpin Kedah - dalam bahasa mudah menjadi Menteri Besar (MB) bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Percaturannya ialah Johari bersedia memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani yang akan dikosongkan oleh beliau.

Kata Johari: “Saya akan berasa bangga jika beliau (Anwar) menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani kerana saya adalah ADUN Gurun, bayangkan apa yang akan jadi dengan Kedah.’’

Persoalannya, wajarkah ketika Mukhriz yang buat kali kedua menjadi MB Kedah ‘disingkirkan secara terhormat’? Apa dosa dan kesalahan beliau? Sedangkan beliau baru memegang jawatan tidak sampai empat bulan. Kalau Johari mahu memberi laluan kepada Anwar di Parlimen Sungai Petani, itu soal percaturan politik beliau. Johari tidak wajar mengheret jawatan MB ke dalam percaturan tersebut.

Kalau kata-kata, “bayangkan apa yang akan jadi de­ngan Kedah’’ diambil kira, secara logiknya gabungan anak sebagai MB dan bapa sebagai Perdana Menteri (PM) jauh lebih hebat berbanding gandingan dua pemimpin kanan dari sebuah parti.

Sebagai orang Kedah, penulis bukanlah memperkecilkan kewibawaan Johari apatah lagi Anwar. Cuma rasa­nya cukup-cukuplah rakyat Kedah diheret untuk terlibat dalam pergolakan politik. Jika Johari benar-benar berhasrat mahu membangunkan Kedah yang kini kata beliau berada dalam kedudukan kedua tercorot di negara ini, beliau sepatutnya berjiwa besar untuk bersama-sama dengan Mukhriz.

Penulis yakin dengan kedudukan PKR yang mempunyai lebih banyak kerusi berbanding dengan PPBM yang diwakili oleh Mukhriz sudah pastilah suara Johari akan diambil kira dalam usaha membangunkan Kedah dalam pelbagai aspek. Memang betul analogi yang digunakan oleh Johari bahawa Kedah ibarat sebuah restoran yang mempunyai bahan mentah lengkap dan bersedia untuk dibangunkan.

MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ MAHATHIR

Tetapi untuk memajukan sebuah restoran bukanlah bermakna seseorang itu perlu menjadi pemilik atau chef di restoran tersebut, sebagai ‘pemilik bersama restoran’ beliau juga berupaya melakukan demikian. Dalam konteks politik, kalaupun Johari berpendapat ‘tidak layak’ untuk menjadi Exco memandangkan sudah lama menjadi pemimpin dan mempunyai misi membangunkan Kedah, sebagai ADUN dan Ahli Parlimen serta ditambah pula Kedah kini di bawah Pakatan Harapan, rasanya beliau boleh memainkan peranan berkesan untuk memajukan negeri tersebut tanpa perlu menjadi MB.

Soal komitmen daripada Kerajaan Pusat tidak harus dipertikaikan. Dr. Mahathir sudah tentu akan memastikan Kedah maju di bawah pentadbiran anaknya. Ketika Mukhriz kali pertama menjadi MB mungkin ada halangan tertentu untuk beliau membantu memandangkan beliau bukan Perdana Menteri, tetapi kini Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri.

Buat permulaan, perkara itu sudah dibuktikan apabila baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan bayaran sumbangan khas kepada Kedah sebanyak RM10 juta mulai tahun ini. Sudah pasti banyak lagi yang akan dinikmati oleh Kedah di bawah gandingan anak sebagai MB dan bapa sebagai PM. Oleh itu, Johari tidak perlu terlalu teruja untuk menggantikan Mukhriz.

Lagipun selain kesepakatan sudah dicapai antara parti-parti dalam Pakatan Harapan, penulis melihat setakat ini tidak ada apa-apa ‘kecacatan’ atau tindak tanduk Mukhriz yang melayakkan beliau untuk ‘disingkirkan secara terhormat’. Hujah yang ada sekadar untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di Parlimen Sungai Petani.

Jika itu hujahnya, ia adalah soal percaturan politik Johari bukannya kemahuan rakyat Kedah. Buat masa ini, mereka selesa di bawah kepemimpinan Mukhriz dan memberi peluang kedua kepada anak Dr. Mahathir itu membangunkan Kedah.

Justeru tidak payahlah melakukan gerakan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman politik. Izinkanlah Mukhriz memimpin negeri itu biarpun tanpa majoriti dua pertiga. Rakyat Kedah sudah letih dengan politik. Sebelum pilihan raya mereka melihat Mukhriz diturunkan ketika dalam Barisan Nasional (BN) dan selepas pilihan raya mereka menyaksikan Mukhriz dilantik kembali di kedudukan tersebut. Oleh itu, takkanlah rakyat Kedah mahu menempuh sekali lagi penggantian jawatan MB?

Penggantian boleh dilakukan dengan syarat, ia mempunyai hujah dan sebab musabab yang betul, tetapi kalau sekadar mahu memenuhi impian politik seseorang, adalah lebih baik Mukhriz dibiarkan terus memimpin. Lagi pula ketika berbual-bual dengan beberapa penduduk Kedah di Langkawi baru-baru ini, mereka berasa bangga Mukhriz kembali menjadi MB manakala Dr. Mahathir menjadi PM. Jadi kata mereka, “tu dah elok dah, jadi tok sah dok cari pasai nak ubah-ubah.’’