Ketiga-tiga minatnya itu berjalan serentak dalam hidupnya sewaktu beliau mula menceburkan diri dalam dunia penyiaran sekitar tahun 1959.

Namun begitu, beliau hanya sempat setahun menjadi pengulas sukan sehinggalah tahun 1960 apabila meneruskan pengajian peringkat ijazah pertamanya di Melbourne, Australia selama lima tahun. Semasa menuntut di Australia, Rahim sempat mengembangkan minatnya terhadap teater pula melalui Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group dan Australian Broadcasting Commission.

Pada tahun 1963, bersama Brighton Theatre Group beliau berlakon dalam teater Hamlet dan memegang watak utamanya sebagai Hamlet. Selepas tamat pengajian di Australia, Rahim kembali semula menjadi pengulas sukan pada tahun 1965 untuk televisyen yang baru dilancarkan ketika itu.

Pada masa yang sama, Rahim terus bergiat cergas dalam teater dan berlakon drama selain menjadi pengacara sukan di RTM. Waktu itu beliau bersama Usman Awang dan Syed Alwi meneruskan kegiatan berteater secara amatur dan sebagai hobi semata-mata.

“Kerana minat, saya aktif dalam berteater. Saya masih ingat diajak berlakon drama purbawara Jebat karya Aziz Wok. Saya berlakon sebagai Jebat bersama pelakon pembantu Bidin Subari dan Asiah Ariffin,” katanya.

Pada tahun 1978, bakat Rahim makin terserlah apabila diberi peluang berlakon dalam filem Dayang Suhana berpasangan dengan Rubiah Suparman. Sejak itulah, dunia filem menjadi kerjaya utamanya selain menjadi pengulas sukan tanah air dan berlakon teater.

Bakatnya dalam pengarahan dan penulisan skrip diiktiraf apabila filem pertama arahannya, Abang memenangi pelakon lelaki terbaik (Rahim Razali), anugerah skrip terbaik dan Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik (Ahmad Yatim) dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 (1981).

Beliau seterusnya aktif mengarahkan filem seterusnya Tsu Feh Sofiah (1981), Pemburu (1982), Matinya Seorang Patriot (1984) Puteri (1987), Anak Sarawak (1989), Rentak Desa (1990) dan Abang 1992 (1993).

Matinya Seorang Patriot merupakan kemuncak kerjaya Rahim Razali sebagai pengarah apabila filem tersebut memenangi lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) yang membawa tema ‘Filem Sebagai Media Komunikasi’.

Melalui festival ke-5 itu, Matinya Seorang Patriot berjaya mengondol tujuh anugerah iaitu filem terbaik, pengarah terbaik (Rahim Razali), Pelakon Terbaik (Eman Manan), Lakon Layar Terbaik, Jurukamera Terbaik (Zainal Osman), Penyunting Terbaik (Meor Hashim Manap) dan Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik (Datuk S. Roomai Noor).

Kejayaan seterusnya menjadi milik Rahim apabila pada festival berikutnya iaitu Festival Filem Malaysia Ke-6, filem arahannya Tsu Feh Sofiah (1981) sekali lagi mengondol lima anugerah Pengarah Terbaik, (Rahim Razali), Skrip Terbaik (Rahim Razali), Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik, Arshad Mahuri dan Pyanhabib.

Setelah meraih pelbagai kejayaan demi kejayaan dan kali terakhir mengarah filem Aiman Alone (1995), Rahim kini bersedia untuk muncul kembali menerusi arahan filem terbarunya bertajuk Melayu pada pada tahun 2018.

Rahim berkata, filem terbaru itu berkisar tentang kisah politikus Melayu dan penyatuan semula orang Melayu di negara ini.

“Filem Melayu ini tentang nasib kita bangsa Melayu menjurus ke arah penyatuan semula orang Melayu.

"Filem ini sebenarnya ialah sebuah kisah cinta dalam suasana hidup dan senario politik masa kini yang bakal menyatukan semula bangsa Melayu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Rahim, filem Melayu ini juga dihasilkan berdasarkan skrip yang ditulisnya sendiri menerusi perspektif tentang arena politik negara secara tidak langsung mengaitkan kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang Di Dunia!”

“Jadi, menerusi filem ini saya nak beri pandangan sendiri, tentang pergolakan politikus Melayu di negara kita dan penyelesaiannya dari sudut orang seni,” beritahu Rahim lagi.

Mengenai siapakah hero dan heroin yang bakal membintangi filem berkenaan, Rahim memberitahu sejak mula beliau memikirkan skrip filem tersebut, pelakon paling popular tanah air, Neelofa, berada dalam radar perhatiannya.

“Sedari mula lagi watak heroin, saya bayangkan untuk Neelofa. Pelakon utama lelaki, tak kisahlah,” katanya mengakhiri perbualan.