Dia bukan sahaja terkenal malah suka membuat kerja amal dan seolah-olah sebati dengan dirinya. Ketika baru sahaja dikenali sebagai artis, DJ Dave sudah mula melakukan kerja-kerja amalnya.

Lalu tidak hairanlah apabila dia dilantik sebagai Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) sebuah yayasan membela nasib artis-artis tempatan.

Tidak kira artis baharu atau lama, kebajikan mereka adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh DJ Dave bagi memastikan hidup golongan artis ini tidak terbiar.

Sebaik mendengar sahaja khabar berita kurang enak yang membabitkan golongan artis , DJ Dave akan melakukan tugasannya menyalurkan bantuan.

“Minggu ini sahaja tiga artis sudah saya temui iaitu Mariani, Mimiloma dan salah seorang anggota daripada kumpulan Satira yang kini berada di Raub, Pahang," kata DJ Dave.

Bukan itu sahaja, dia juga sebelum ini bersama 51 peserta termasuk sukarelawan, pakar perubatan dan petugas media telah mengikuti misi melawat pelarian Rohingya tahun 2012.

“Sekiranya saya diberi kesihatan dan peluang oleh Allah, saya akan terus melakukan apa sahaja projek kebajikan. Menolong orang yang sedang kesempitan adalah kepuasan saya.

“Tiada lain yang saya minta, bukan untuk masyhur mahupun mendapatkan nama, tetapi ia adalah keikhlasan dalam diri saya selama ini,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, tragedi yang menimpa negara seperti pesawat MH17 yang ditembak pengganas dan kehilangan MH370 membuatkan hati DJ Dave turut tersentak.

“Mana tidaknya, misteri kehilangan MH370 masih lagi belum diketahui berlaku pula satu lagi tragedi malang buat kita.

“Ketika dapat tahu kejadian tersebut, saya berada di Sabah. Saya terus terduduk dan berfikir bagaimana cara untuk saya menghulurkan bantuan kepada mangsa serta keluarga mereka.

“Saya terus mencipta satu lirik lagu berjudul Di Pertemuan Abadi. Lagu ini menceritakan tentang keadaan reda, pasrah dan harapan keluarga mangsa terhadap ketentuan Ilahi. Pendengar yang mahu menjadikan nada panggilan boleh membelinya daripada syarikat telko. Pembelian tersebut akan terus disalurkan kepada tabung bantuan untuk keluarga mangsa,” jelasnya yang kini berusia 67 tahun.

Penglibatan seni

Mengimbau sejarah penglibatannya dalam nyanyian, penyanyi berbangsa Sikh ini memulakan karier seni pada tahun 1971 dengan mendendangkan lagu-lagu Hindi. Malah beliau juga pernah digelar Mohd Rafi Malaysia.

Pada 1972, beliau muncul dengan album pertama Maafkanlah yang disadur dari lagu Hindi, Gustaakhi Maaf. Selepas itu beliau muncul dengan album Melayu pertama, Ku Tak Ingin Menangis Lagi, yang turut memuatkan dua lagu lain seperti Harum Bunga Di Taman dan Menangis Di Malam Gelita. Album ini merupakan album terbaik buat beliau, kerana melalui album ini nama DJ Dave mula mendapat perhatian dari peminat.

Pada 1974, beliau menghasilkan album kedua Berdansa Denganku, yang memuatkan lagu seperti Ingin Bersua, Joget Beristeri Dua dan Sinar Cinta. Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, DJ Dave sudah menghasilkan 40 buah album.

“Sebelum menjadi penyanyi saya sebenarnya pernah menjadi guru di sebuah sekolah di Batu Gajah, Perak selama setahun, ini adalah kerja pertama selepas tamat tingkatan lima,” katanya.

Selepas itu, DJ Dave bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pos Malaysia selama lapan tahun bermula 1967. Ketika itu, dia mula menunjukkan bakatnya dalam dunia nyanyian.

“Ketika itu tidak silap saya awal tahun 1970, saya dah mula menyanyi tapi menyanyi di majlis-majlis perkahwinan sahaja. Selepas itu pada 1972 saya mula mengorak langkah dengan menyanyi di RTM.

“Lagu Melayu pertama yang saya nyanyikan adalah Bila Kau Pergi nyanyian Saloma, selepas itu ramai peminat meminta saya menyanyikan lagu Melayu.

“Setelah berfikir panjang, pada 1975 saya nekad untuk berhenti kerja di pejabat pos dan meneruskan kareer nyanyian saya, dan Alhamdulillah saya mula dikenali selepas itu,” jelasnya.

Mungkin kegilaan terhadap filem-filem Hindi ketika itu telah membuatkan namanya semakin dikenali apatah lagi raut wajahnya juga seperti bintang-bintang filem dari India

“Mungkin sebab raut wajah saya yang seakan-akan pelakon dari sana, namun semuanya adalah ketentuan Allah, dan saya cukup bersyukur berada di tahap ini,” katanya.

Beliau juga merupakan artis pertama Malaysia yang melancarkan album Hindi berjudul Mar Gaye Oye di India, Disember 2005.

Sepanjang kariernya, DJ Dave pernah berduet dengan beberapa penyanyi wanita antaranya Sarena Hashim, Sharifah Aini dan Uji Rashid. Terbaru beliau berduet dengan Dayang Nurfaizah dalam lagu Segalanya yang pernah dinyanyikan bersama Liza Aziz pada konsert Journey Through Song.

Konsert itu diadakan sempena meraikan 40 tahun pembabitannya dalam arena muzik. Konsert tersebut telah berlangsung pada Jun 2012 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Turut menjayakan konsert itu ialah Uji Rashid dan Marsha, selain komposer S. Atan sebagai pengarah muzik. Konsert anjuran Shahdave Entertainment itu mendapat sokongan penaja daripada beberapa syarikat besar.