Walaupun hanya menerima bayaran RM80 sebulan namun Jamelah tidak kisah dengan bayaran tersebut. Tamat sahaja tingkatan lima, Datuk Jamelah terpilih dan diserapkan sebagai pekerja tetap Utusan Melayu pada tahun 1970 sebelum beliau berpindah pula ke syarikat penerbitan Berita Harian pada tahun 1977.

Pada tahun 1990, beliau menjadi wakil wartawan Berita Harian di Washington DC bagi membuat liputan mengenai perkembangan Perang Teluk. Selepas itu Datuk Jamelah menyertai Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebagai Editor akhbar Pengguna.

Mengenai kenangan manis bergelar wartawan, kata Jamelah, dunia kewartawananlah yang telah membawanya untuk mengenali dunia ini dengan lebih luas lagi.

“Walaupun usia saya belum mencecah 20 tahun namun saya cukup bertuah kerana dipilih untuk melanjutkan pelajaran di Berlin Barat, Jerman selama setahun lebih bersama seorang lagi wartawan akhbar The Star. Naluri ingin tahu sebagai wartawan telah membawa saya menyeberangi Berlin Timur. Pada hujung-hujung minggu pula saya gunakan waktu terluang ini untuk melawat daerah-daerah lain di Jerman dengan menaiki kereta api laju.

Setelah tamat pengajiannya, Jamelah tidak pulang terus ke tanah air sebaliknya peluang ini digunakannya untuk merantau ke negara-negara Eropah yang lain. Setelah berkahwin beliau merantau lagi ke Amerika Syarikat dan pernah menetap di Philadelphia, Pennsylvania dan Washington DC, ujar pemegang Diploma Kewartawanan dari Berlin International Institute of Journalism, Jerman dan Ijazah Pemasaran dan Penerbitan dari Philadelphia, Amerika Syarikat.

Hasil perkahwinan Jamelah dan Profesor Datuk Baharuddin Ahmad, pasangan ini dikurniakan lima orang cahaya mata, seorang perempuan dan empat orang lelaki.

Bagi menghargai jasa dan khidmat cemerlang beliau sebagai seorang sukarelawan di Amerika Syarikat, Jamelah telah menerima Anugerah Tertinggi daripada Gabenor Maryland, Amerika Syarikat pada tahun 1991. Beliau juga adalah penerima Anugerah World Muslim Rania Award 2017 dari OIC International Business Centre dan penerima Anugerah Tun Fatimah Dunia Melayu Islam (DMDI) 2017.

Jamelah juga merupakan seorang usahawan automotif yang berjaya dan telah banyak membantu kejayaan para usahawan dengan menganjurkan seminar-seminar keusahawanan secara sukarela.

Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia politik pada tahun 2008 dan merupakan satu-satunya wanita yang bukannya daripada kalangan Ketua Wanita yang bertanding untuk jawatan Exco Wanita Malaysia. Kemenangannya membuktikan bahawa wanita UMNO bijak memilih golongan profesional untuk mewakili suara mereka.

Barisan kepimpinan

Wanita berjiwa kental ini merupakan salah seorang Exco Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 2008 hingga sekarang. Selain itu beliau juga merupakan satu-satunya wanita dalam barisan kepimpinan KUB Malaysia Berhad yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah sejak Ogos 2013. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi A &W dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada Julai 2014.

Perjuangan Jamelah anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik dalam memartabatkan wanita di negara ini mungkin tidak sama dengan tokoh wanita lain. Dalam usia 65 tahun, beliau sebenarnya mempunyai pilihan untuk menikmati kehidupan dengan tenang bersama keluarga, sebaliknya beliau memilih untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

Jamelah cukup terkenal dengan sikap pemurah dan rendah dirinya menyebabkan ramai yang begitu menyenangi personaliti beliau.

“Sejak dulu hingga sekarang saya masih berpegang dengan prinsip emak saya bagi membantu orang. Pesan emak saya, jika kita tidak dapat menolong banyak, seseorang itu pun tidak mengapa - yang penting kita tetap menghulurkan bantuan walaupun sedikit. Amalan ini turut diterapkan kepada anak-anak saya. Jika ingin menghulurkan bantuan, saya akan mintak sedikit sumbangan daripada anak-anak saya.’’

Jika dilihat pada usianya dan kesibukan Jamelah yang bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat pasti ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia beliau kekal bertahan, sihat dan bertenaga sepanjang hari. Menyentuh mengenai dirinya Jamelah memberitahu, “Tidak ada apa-apa amalan yang saya amalkan. Cuma untuk sihat, saya akan pastikan saya dapat tidur yang mencukupi pada setiap malam.

"Untuk mendapat tidur yang lena saya tidak akan melayan panggilan di waktu malam yang saya rasakan akan menyusutkan kepala dan mengganggu emosi. Saya kena buat begitu bagi mendapat tidur yang tenang. Jika dilayan sudah pasti tidur kita akan terganggu memikirkan masalah mereka pula,’’ katanya sambil ketawa.

Jamelah cukup aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang mana beliau merupakan Pengerusi Biro Wanita & Pembangunan Keluarga PEMADAM Kebangsaan dan menjadi Ahli Majlis Penasihat Kebajikan Kanak-kanak Malaysia.

Meskipun begitu, beliau tidak pernah mendabik dada jauh sekali meninggi diri kerana segala bakti yang dicurahkan penuh ikhlas demi agama, bangsa dan negara tercinta.

“Bagi saya semua pelantikan dan jawatan yang diberi adalah tanda kepercayaan dan keyakinan kepada kaum wanita. Saya terima cabaran ini sebagai satu tanggungjawab bagi membuktikan bahawa wanita juga mampu bersaing. Apa yang saya curahkan bukanlah untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk wanita Malaysia juga. Tanggungjawab ini sebenarnya berat dan kejayaan saya memikulnya membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu melakukannya setanding kaum lelaki,’’ kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Menyentuh mengenai Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selaku Ketua Wanita UMNO, kata Jamelah, "Tok Ijat (panggilan mesra Shahrizat) seorang ketua yang mesra rakyat dan dia suka bergurau. Tapi dalam gurauannya terselit mesej yang cuba disampaikan dan kami banyak belajar daripadanya selaku seorang ketua yang berwibawa. Pada saya, dia masih kuat dan minat bekerja jadi tidak ada sebab orang bertanya siapa yang bakal menggantikan tempatnya.

Menurut Jamelah; "Selaku Wanita UMNO kami tahu kedudukan kami dan kami tidak pernah cemburu dengan Puteri. Sebaliknya sebagai 'ibu’ kami akan membimbing mereka dan kami harap janganlah pula mereka mengada-ngada hendak memijak kepala ibu mereka pulak,’’ katanya yang menerima gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2005 dan Jaksa Pendamai (JP) daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 2011.

Dalam usia 65 tahun, beliau sebenarnya mempunyai pilihan untuk menikmati kehidupan dengan tenang bersama keluarga, sebaliknya beliau memilih untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.