Melalui portal itu juga, orang ramai boleh melaporkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya untuk diperiksa oleh MCMC dengan agensiagensi berkaitan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian, Keselamatan dan Pengurusan Media Baharu MCMC, Dr. Mazlan Ism ail, portal sebenarnya.my mendapat sambutan begitu menggalakkan apabila menerima kira-kira 6.7 juta kunjungan dalam tempoh tiga bulan beroperasi.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 berita palsu atau kandungan yang telah disahkan agensi-agensi berkaitan dimuat naik ke dalam portal berkenaan.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. AZRAIE MD. YU SOF baru-baru ini, Dr. Mazlan mengulas lanjut mengenai portal tersebut dan perancangan pihaknya dalam meningkat kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyebaran berita palsu.
 

UTUSAN: Apakah fungsi utama sebenarnya.my dan peranan yang dimainkan MCMC?

MAZLAN: Portal sebenarnya.my merupakan saluran pelaporan sekunder yang menghimpunkan maklumat secara setempat.

Dalam erti kata lain, ia bertindak sebagai pusat sehenti untuk orang ramai menyemak kesahihan sesuatu berita yang tular di media.

MCMC tidak akan mendahului kementerian atau agensi dalam pelaporan berita palsu.

Kandungan yang dimuat naik di sebenarnya.my adalah beri­ta-berita yang telah diberikan penjelasan oleh agensi-agensi berkaitan sama ada melalui ke­nyataan media, kenyataan di laman web rasmi atau kenyataan di laman media sosial rasmi mereka seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menyalurkan berita-berita yang mereka ragui ke portal ini untuk kita salurkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk ditentusahkan.

Ini memudahkan orang ramai yang kebanyakannya tidak pasti ke mana hendak salurkan berita berkenaan kerana kurang faham mengenai bidang kuasa atau pe­ranan sesuatu agensi.

Apakah skop berita yang diterbitkan di sebenarnya.my?

Di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Indonesia, mereka tidak mengira skop be­ri­ta, kesemuanya mereka siarkan.

Tetapi di sebenarnya.my, bukan semua berita yang MCMC terima untuk ditentusahkan akan disiarkan.

Kita akan menyemak dan menapis dahulu, hanya berita yang melibatkan kepentingan awam sahaja yang boleh ditentusahkan sebelum disiarkan di sebenarnya.my.

Isu-isu yang menyentuh peri­ba­di, agenda persendirian melibatkan syarikat, organisasi atau parti politik, isu sensitif berkaitan pemimpin dan yang seumpama dengannya tiada dalam skop berita sebenarnya.my.

Berapa lamakah masa diambil untuk sesuatu berita itu ditentusahkan oleh agensi berkaitan?

Mengikut perjanjian MCMC dengan kementerian atau agensi, sesuatu berita yang hendak ditentusahkan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam.

Namun, sekiranya kementerian atau agensi terbabit memerlukan masa yang lebih panjang di­sebabkan perlu membuat kajian selanjutnya, maka mereka perlu mengeluarkan kenyataan me­min­ta penangguhan.

Secara prinsipnya kementeri­an atau agensi perlu memberi jawapan dalam tempoh 24 jam.

Selain kementerian atau agensi kerajaan, adakah MCMC turut bekerjasama dengan pi­hak-pihak lain dalam menentusahkan sesuatu berita?

Buat masa ini memang kita hanya bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan sahaja.

Namun, kita ada perancangan selepas ini untuk menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) jika terdapat berita-berita palsu mengenai mereka seperti Tabung Haji, Felda dan lain-lain.

Sebagai contoh baru-baru ini tular berita palsu mengenai MISC Berhad akan mengadakan temuduga terbuka secara besar-besaran.

Bayangkan, ada individu yang datang dari jauh semata-mata hendak menghadiri temu duga itu tetapi bila sampai, temu duga itu tidak ada pun.

Bagi memenuhi matlamat menjadi pusat sehenti kepada orang ramai untuk menyemak kesahihan sesuatu berita yang tular di media, kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk GLC amat diperlukan.

Saya yakin GLC juga mahu memberikan penjelasan masing-masing jika terdapat berita palsu membabitkan mereka.

Apakah usaha yang dilakukan bagi mempromosi sebenar­nya.my?

Bagi memastikan portal ini diketahui masyarakat, MCMC te­lah menjalankan pelbagai aktiviti promosi.

Antaranya mengadakan liputan media iaitu dengan menyi­arkan artikel-artikel mengenai portal ini, selain memasang iklan di kaunter juruwang di 135 buah setesen minyak Petronas di seluruh negara.

Kami juga menjelajah ste­sen-stesen radio tempatan, dan sehingga kini sebanyak 27 temu bual eksklusif di radio telah dijalankan.

Portal sebenarnya.my turut dipromosi sebanyak enam kali menerusi rancangan bual bicara di stesen-stesen televisyen.

Aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan ialah mengadakan per­tandingan video Pengguna Internet Bijak yang dibuka kepada ahli-ahli Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara.

Bertemakan ‘Tidak Pasti Ja­ngan Kongsi’, setiap peserta perlu menerbitkan video berdurasi dua minit dan hadiah yang ditawarkan berupa wang tunai berjumlah RM1,000.

Kami juga ada menerbitkan risalah atau bahan promosi se­perti grafik untuk dimuat naik di laman sosial.

Selain mengambil kesempatan memberi taklimat mengenai protal tersebut semasa acara advokasi lain dijalankan, MCMC turut mengambil pendekatan melatih kakitangan mempraktikkan amalan memeriksa kesahihan sesuatu berita.

Kami juga mengadakan akti­viti bagi menjangkaui golongan berbahasa Mandarin dan Tamil.

Selepas aktiviti memperke­nalkan sebenarnya.my, apakah langkah seterusnya yang akan diambil?

Bermula sejak pelancarannya pada Mac lalu hingga perte­ngahan Jun, kita hanya fokus kepada aktiviti-aktiviti mempromosi portal sebenarnya.my.

Sekarang masuk fasa di mana kita akan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kesan-kesan penyebaran berita palsu terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Kita juga akan mendidik mereka mengenai tip-tip untuk me­ngenal pasti berita palsu.

Fasa memberi kesedaran kepada orang ramai ini dijangka di­mulakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selepas itu kita akan masuk pula ke fasa mendidik masyarakat menjadi warga digital yang bertanggungjawab demi keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Ini bagi menyokong inisiatif Negaraku sebagai usaha menye­marakkan lagi semangat cintakan negara sempena bulan kemer­dekaan pada Ogos nanti.

Bolehkah MCMC memberikan contoh kesan-kesan buruk akibat penyebaran berita palsu?

Secara umumnya, berita palsu boleh menyebabkan kerugian ke­pada syarikat-syarikat pernia­gaan, merosakkan kredibiliti kerajaan serta mendatangkan suasana tidak selamat dalam kalangan rakyat.

Sebagai contoh, sebelum ini tular di media sosial dakwaan mengenai kad bayaran tanpa sentuh atau payWave boleh diklon dan maklumatnya dijual kepada pihak ketiga.

Kementerian Kewangan telah menyangkal dakwaan tersebut.

Kes itu membuatkan rakyat ragu-ragu untuk menggunakan kemudahan berkenaan dan menyukarkan usaha Bank Negara dalam menggalakkan transaksi tanpa wang.

Baru-baru ini dalam bulan Ramadan, tersebar luas amaran kononnya buah kurma dari negara Asia Barat dijangkiti virus ‘Corona’ (coronavirus) berikutan terdapat banyak kelawar yang tinggal di pokok kurma.

Berita itu bagaimanapun dinafikan Kementerian Kesihatan yang telah membuat semakan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tidakkah berita ini mendatang­kan kegusaran kepada orang ramai, lebih-lebih lagi kurma begitu sinonim dengan bulan Ramadan.

Sebelum ini, ada juga cerita mengenai kes penculikan kanak-kanak yang organ mereka dijual di pasaran gelap yang tular di media sosial.

Berita palsu ini telah menye­babkan masyarakat berasa bimbang apabila anak-anak me­reka berada di luar rumah. Anak-anak balik lambat dari sekolah difikirkan telah kena culik.

Berita sebegini mengundang suasana panik, akhirnya masyarakat berasa tidak selamat.

Selain Malaysia, boleh jelaskan bagaimana trend penyebar­an berita palsu di negara-negara lain?

Seperti yang diketahui, penyebaran berita palsu bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi turut melanda seluruh dunia.

Dunia memandang serius perkara ini sehinggakan bebe­rapa tindakan telah diambil pihak-pihak tertentu bagi memben-dungnya.

Pada Februari lalu, dua gergasi internet iaitu Facebook dan Google telah beker­jasama bagi membantu pengguna menapis berita palsu ketika pilihan raya di Perancis.

Syarikat media sosial dan teknologi maklumat (IT) itu telah melancarkan perisian yang membolehkan pengguna menekan butang amaran apabila mengesyaki sesuatu berita atau bahan maklumat itu palsu.

Amaran itu kemudian dinilai oleh pihak ketiga dan organi­sasi media termasuk Agence France-Presse (AFP), akhbar L’Espress dan Le Monde serta beberapa ste­sen te­levisyen Perancis.

Facebook melaporkan telah menyekat kira-kira 30,000 akaun palsu yang digunakan untuk menyebarkan berita palsu ketika pilihan raya di Perancis.

Pada Mei lalu, Facebook meneruskan kempen membanteras berita palsu itu di United Kingdom yang mengadakan pilihan raya umum baru-baru ini.

Kempen besar-besaran tersebut melibatkan akhbar di Britain untuk memberi amaran kepada pengguna mengenai bahaya beri­ta palsu sebagai satu usaha membendung penularan maklumat tidak sahih di platform media sosial.

Usaha sama telah dilaksanakan di Jerman dan Perancis dalam akhbar seperti Bild, Süddeutsche Zeitung, Le Monde dan Les Échos.

Adakah negara lain turut mempunyai portal seperti sebenarnya.my?

Ya, terdapat beberapa negara terlebih dahulu mengambil inisiatif mewujudkan portal seper­ti sebenarnya.my.

Di Ukraine, sekumpulan sukarelawan terdiri daripada pensyarah, graduan, pelajar, war­tawan, editor pakar IT dan penterjemah telah melancarkan portal stopfake.org bagi menentusahkan maklumat dan propaganda yang disebarkan di media.

Para penyelidik di Indiana University, Amerika Syarikat pula mem­bangunkan enjin carian Hoaxy iaitu satu program yang me­nunjukkan bagaimana berita palsu menular di laman sosial.

Di rantau ini, Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia menggera rakyat republik itu supaya memeriksa maklumat yang diperolehi melalui media sosial dan tidak berkongsi berita palsu.

Laman web www.turnbackhoax.id ditubuhkan oleh kumpulan bebas Masyarakat Anti-Fitnah Indonesia (Mafindo) dan mereka melancarkan kempen besar-besaran melalui media sosial, aktiviti lapangan, tinjauan awam risalah dan lain-lain.

Singapura pula melancarkan portal yang diberi nama Factually untuk menangani masalah berita palsu dalam talian.

Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkali-kali mengingatkan tentang bahayanya penyebaran beri­ta palsu.

Oleh kerana berita palsu termasuk satu kesalahan dalam Sek­syen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak meminta MCMC untuk mencari jalan menanganinya.

Bermula dari situ, MCMC mewujudkan sebenarnya.my se­bagai platform membendung beri­ta-berita palsu.

Apakah nasihat MCMC kepada orang ramai apabila mereka menerima berita yang meragui?

Pertama sekali sudah tentu kita meminta supaya masyarakat tidak membuat berita palsu dan menyebarkannya.

Masyarakat perlu sedar akan kesan-kesan penularan berita pal­su ini kepada sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Dalam masa sama, MCMC mahu masyarakat supaya tidak berkongsi apabila menerima berita yang diragui atau tidak pasti. Ini selari dengan tema sebenarnya.my iaitu ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’.

Jika ada menerima sebarang berita palsu, salurkan dahulu kepada portal sebenarnya.my atau dapatkan kepastian terus daripada agensi-agensi berkaitan.

Ini merupakan jihad MCMC dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya jangan membuat fitnah dan menyebarkannya.

Allah SWT telah menyebut dalam al-Quran bahawa fitnah itu lebih teruk daripada membunuh.

Harapan saya suatu hari nanti portal sebenarnya.my akan menjadi tidak lagi relevan. Sebab apa? Sebab ketika itu sudah tidak ada lagi fitnah atau berita palsu.