Tak sudah dengan itu, baru-baru ini heboh mengenai berita seorang guru sekolah tahfiz ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah seksual terhadap pelajarnya yang berusia 14 tahun.

Bukanlah niat wacana ini untuk menzalimkan sekolah tahfiz di Malaysia dengan satu tanggapan yang cetek. Pandangan penulis adalah jauh beza dengan cadangan untuk menghapuskan sistem persekolahan tahfiz keseluruhannya.

Pokoknya di sini, daripada 1,238 sekolah tahfiz di seluruh negara, kebanyakannya berdaftar dengan kerajaan. Hanya 80 daripadanya atau 6.5 peratus diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, justeru wujud masalah besar di sini. Pada hemat penulis, kita tidak boleh membutakan mata kita kepada masalah ini. Bagai denai gajah lalu, berita-berita yang buruk tak boleh disembunyikan, kelak akan tersebar juga.

Sistem persekolahan tahfiz ditubuhkan pada 1966 ketika Tunku Abdul Rahman melangsungkan secara rasmi di Masjid Negara. Faktor penyumbang utama kepada penubuhan kelas tahfiz adalah penyusunan Majlis Peninjauan Al-Quran Nasional yang diadakan setiap tahun sejak 1960.

Wujud juga golongan guru agama yang menyandarkan pertumbuhan pesat sekolah-sekolah tahfiz sejak beberapa dekad ini kepada kerajaan negeri Kelantan. Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat menubuhkan sekolah tahfiz pertama di negeri itu pada 1992.

Dengan dukungan kerajaan negeri, lebih 100 sekolah tahfiz ditubuhkan. Sehingga kini pelbagai model pendidikan tahfiz yang wujud di seluruh negara termasuklah Model Pendidikan Islam Ulul Albab yang mengetengahkan pendidikan seimbang di antara didikan agama dan silibus Kementerian Pendidikan.

Sehingga Januari 2018, terdapat lebih daripada 36,000 pelajar di 547 sekolah tahfiz yang berdaftar dengan jabatan-jabatan agama negeri. Namun tiada angka yang diketahui bagi pelajar sekolah-sekolah tahfiz yang tidak berdaftar. Bagi para pelajar sekolah tahfiz yang berdaftar, mereka akan dapat memperoleh Sijil Tahfiz Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran negeri. Sijil ini akan memperkasakan mereka bagi melanjutkan pengajian ke luar negara.

Hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah kekhuatiran mengenai batasan sukatan pelajaran akademik yang terhad. Batasan ini sudah pasti akan mengekang peluang masa depan para pelajar tahfiz kelak. Bertitik tolak daripada hal ini, beberapa universiti awam seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi pemudah cara dengan menyediakan laluan kemasukan kepada graduan tahfiz berdaftar untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Langkah itu selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, ilham bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menghasilkan sekurang-kurangnya 125,000 graduan tahfiz yang mahir dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan dan seni bina menjelang 2050. Ini juga terzahir dengan cadangan untuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pentadbiran sekolah-sekolah tahfiz diperkemaskan lagi.

Usaha ini turut ditambah nilai dengan cadangan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menyatakan wujud keperluan untuk campur tangan dan memastikan kurikulum sekolah tahfiz lebih seimbang dan setara dengan sekolah kebangsaan. Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah melibatkan sekolah tahfiz boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENULIS ialah seorang peguam serta Timbalan Pengerusi #Tagupimembaca.