Bagi penduduk luar Perlis, pekan itu bukanlah satu tempat wajib dilawati jika berkunjung ke negeri paling utara di Semenanjung itu. Lainlah jika Kuala Perlis yang lebih dikenali meskipun terletak bersebelahan Sanglang.

Kuala Perlis menjadi tumpuan orang ramai yang hendak ke Langkawi, Kedah. Begitu juga terdapat gerai-gerai makan tersedia di situ menanti pengunjung yang gemarkan makanan laut yang segar dan murah.

Namun tanggal 22 Mac lalu telah melakar sejarah buat penduduk Sanglang dan rakyat Perlis amnya apabila sebuah projek mega telah dilancarkan di situ.

Sebuah projek yang bakal merubah landskap Sanglang, pekan kecil yang jauh daripada pembangunan dan seringkali dikaitkan hanya dengan aktiviti nelayan dan pesawah.

Projek dimaksudkan ialah pembinaan sebuah jeti bersepadu menelan belanja sebanyak RM500 juta, yang dirasmikan pecah tanahnya oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Projek itu disifatkan baginda sebagai pantas iaitu hanya mengambil masa kira-kira dua tahun selepas dirancang.

Jeti bersepadu yang hanya mengambil masa kira-kira dua tahun selepas dirancang itu ialah projek yang akan dijalankan secara usaha sama antara Perbadanan Menteri Besar (MBI), anak syarikat kerajaan negeri dengan sebuah syarikat swasta, Mutiara Perlis Sdn. Bhd.

Jumlah pelaburan itu hanyalah merupakan fasa pertama daripada tiga fasa oleh syarikat tersebut yang meliputi pembangunan pelancongan, kargo dan perikanan.

Secara keseluruhan, pelaburannya mencecah bilion ringgit. Pembangunan pelancongan dinyatakan tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan feri membawa kargo kenderaan beroda (Roro).

Jika segala perancangan berjalan lancar, tidak mustahil ia bakal menawarkan perkhidmatan Roro merentas sempadan sehingga ke Acheh, Indonesia dan Phuket, Thailand. Ini berdasarkan kedudukan geografi Sanglang itu sendiri terletak di sempadan antarabangsa iaitu Thailand dan Indonesia.

Perairan Sanglang dengan kedalaman sehingga 10 meter (apabila pembinaan jeti diunjurkan sejauh empat kilometer dari darat) turut menjadi faktor penyumbang kepada aktiviti itu.

Ini bermakna lebih banyak penumpang feri boleh dibawa sehingga menjangkau 1,000 orang dan 150 buah kenderaan pada satu-satu masa.

Ia juga sekali gus membolehkan lebih banyak pendaratan ikan dilakukan dengan kemasukan kapal-kapal besar dan berkelajuan tinggi mencecah 50 knot, termasuk dari negara jiran berbanding di Kuala Perlis yang cetek.

Tidak mustahil dengan kelebihan itu juga, nelayan Kuala Perlis yang pada masa ini hanya menangkap ikan di perairan berdekatan sahaja akan meneroka laut dalam sehingga ke Lautan Hindi pada masa depan.

Selain itu, jeti tersebut boleh membuka peluang perkhidmatan kargo pukal kering yang diperlukan oleh pihak industri di Perlis tanpa perlu ke pelabuhan di Pulau Pinang.

Antaranya arang batu yang diperlukan oleh sebuah syarikat simen di negeri ini dan bekalan gula mentah oleh kilang gula di Chuping.

Secara tidak langsung, ia turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk memperluaskan rangkaian perniagaan sehingga ke Eropah dan Asia Barat.