Kolum pojok Tumpang lalu kali ini membawakan kisah Datin [email protected] Ram, seorang pereka dalaman (Interior Desig­ner and Builder- ID) yang berjaya menyahut cabaran hingga me­nempa nama di peringkat antarabangsa.

Kalau mendengar bagaimana anak jati Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang ini mendapat dorongan, ia agak unik yang segalanya bermula dari ikatan kekeluargaan yang erat.

Semasa kecil bapanya, N. Selvaraju (mendiang), seorang tukang kayu juga gemar menternak ayam itik.

“Biasalah kalau pelihara ayam itik, tentu perlu disediakan rebannya.

“Saya perhatikan bapa bertukang, dari situ saya dapat idea, macam best dan sejak itu tercetuslah minat dari bangku sekolah hingga di universiti nak ceburi bidang reka bentuk dalaman ini secara profesional, “ kata wanita yang baru menginjak umur 41 tahun ini ketika ditemui Tumpang lalu baru-baru ini.

Fasih bertutur dalam sembilan bahasa - Jerman, Jawa, Tamil, Hakka, Hokkien, Kantonis, Mandarin selain bahasa Melayu dan Inggeris, Jenny yang berdarah kacukan India-Cina (ibunya, Wong Siew Yong, 78) membe­ritahu, cabaran yang ditempuhnya bukan mudah dalam bidang yang dikuasai orang lelaki ini.

Tanya Tumpang lalu kepada Jenny, kekuatan seseorang ID terletak pada apa?

“Ketelitian kerjanya, iaitu kehalusannya. Saya tidak pernah kompromi soal ini. Penghasilan sesuatu reka bentuk dalaman bukan semata-mata bersandarkan kepada keuntungan tetapi lebih kepada soal ketelitian, seni halusnya dan ak­hirnya kepuasan pelanggan.

“Demikian juga pada jenis kaca dan kekemasannya yang perlu dikendalikan dengan betul dan cara potong paling tepat.

“Ada spesifikasi tertentu yang kena sensitif. Cara pelanggan termasuklah kalangan VVIP (orang kenamaan penting) tunjukkan kepuasan adalah mereka akan sambung khidmat kita selepas lihat hasil projek pertama selain menawarkan jenama terkenal untuk dibawa ke Malaysia,” kata Jenny yang sejak 2011 sentuhannya turut ditagih produk-produk berjenama antaranya Tory Burch, Michael Kors, Victoria Secret, TWG, Bath & Body Work White Barn-Flagship dan Bath & Body Work.

Untuk memuaskan hati pe­langgan, kata Jenny bukanlah sesuatu yang mudah.

“Dari ruang yang kosong, setiap inci penting. Kalau siapkan premis yang berjenama antarabangsa, katakan dari Amerika Syarikat, biasanya mereka akan hantarkan barang-barang. Ada ketikanya saiz yang kita terima lain seperti mana dalam lakaran. Pihak saya tak boleh hantar balik barang itu.

“Masa yang diberi agak singkat (suntuk) kerana banyak kerja perlu dilakukan, 30 hari paling minimum untuk siapkan satu-satu stok atau maksimum enam minggu untuk kunci diberi kepada pelanggan,” katanya.

Bagaimana ilham itu datang, tanya Tumpang lalu lagi? Kebiasaannya kata wanita yang mempunyai dua cahaya mata itu, beliau dan suami gemar menghadiri festival atau pameran untuk reka bentuk dalaman di luar negara, dengan destinasinya Jerman, Itali, Hong Kong dan China.

“Elemen material dalam bidang ini penting, ada kalanya ketebalan permaidani bukan lagi menjadi trend sekarang, malah yang nipis pun sangat tinggi standardnya seperti mana cantuman material dan architecture,” jelasnya.

Ilham bagi Jenny biasanya datang secara tiba-tiba termasuk apabila menginap di hotel-hotel di Eropah.

“Pada masa sama, aspek pencahayaan akan memberikan faktor wow kepada sesebuah ruang. Tanpa pencahayaan yang betul dan baik, sesebuah bangunan dengan seni bina state of the art dan bernilai ratusan juta ringgit pun akan nampak seperti struktur murah,” kata Jenny.

Jenny menarik perhatian ba­gaimana sentuhan ID yang tepat boleh mencetuskan persepsi yang prestij terhadap kekukuhan se­sebuah syarikat.

“Pemilihan material kena be­tul. Boleh, kalau nak bina ruang seperti biasa, tetapi kenapa harus kombinasikan kaca dan cermin? Kerana ini akan hasilkan ruang yang eksklusif. Segalanya tampak eksklusif,” tambah Jenny lagi.

Jenny percaya wanita Malaysia mempunyai bakat untuk terjun meneroka bidang ini lebih jauh lagi.

“Sahutlah seruan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) yang baru-baru ini menggesa golongan wanita yang sering dilabel insan lemah untuk berani mengetepikan stigma itu supaya mereka mendapat keadilan sewajarnya.

“Seperti mana bidang ID ini yang didominasi orang lelaki, sesiapa pun nak ceburi bidang ini perlu ada semangat yang kuat. Jangan buat separuh jalan. Pendapatannya pun bagus dan saya amat galakkan wanita terlibat. Sekarang kita ada hak yang sama, tak perlu duduk dalam pejabat,” katanya.

Tambah Jenny: “Jangan kita tahu sedikit tapi kita tak bersedia. Saya sendiri pun bukan belajar sambil bekerja tapi kita kena yakin sehingga saya sendiri boleh pengerusikan (kendalikan) me­syuarat dan berkongsi idea de­ngan mereka yang lebih pakar, tua dari saya dua dekad.

“Semangat kena kuat, gigih. Malah staf-staf saya, semuanya Melayu di pejabat di Cyberjaya ini juga saya ingatkan mereka perlu ada disiplin dan semangat supaya boleh kuasai bidang ini.”

Apa perancangan masa depan?

“Saya nak kembangkan syarikat dan anak syarikat untuk teroka lebih jauh dalam projek-projek utama dalam negara termasuklah antarabangsa. Lebih banyak perancangan besar, lebih tinggi cabaran yang perlu ditempuh dan saya kena hadapinya, saya juga nak kongsi pengalaman ini dengan anda wanita semua,” ujar Jenny menutup perbualannya dengan Tumpang lalu.