Puasa memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam. Puasa pada bulan suci Ramadan merupakan salah satu dari lima Rukun Islam maka orang yang meninggalkannya atau mempersendakannya akan mendapat siksaan yang pedih di akhirat.

Puasa menurut bahasa bermakna menahan. Menurut syariat Islam puasa adalah suatu bentuk ibadah kepada Allah SWT dengan cara menahan diri daripada makan, minum, hawa nafsu, dan segala hal yang dapat membatalkan puasa mulai dari terbit fajar (shadiq) sehingga matahari terbenam dengan berniat terlebih dahulu sebelumnya.

Puasa fardu adalah puasa yang harus dilaksanakan berdasarkan ketentuan syariat Islam. Puasa yang termasuk di dalam puasa fardhu ialah puasa di bulan Ramadan yang dilakukan berdasarkan perintah Allah SWT dalam Al-Qur’an sebagai berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah ayat  183).

Puasa memiliki banyak manfaatnya untuk kesihatan fizikal dan mental. Selain dari membimbing kita menahan hawa nafsu dan membuat tubuh menjadi lebih sihat, puasa memupuk sifat sabar, disiplin, jujur, prihatin dengan fakir miskin dan mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah SWT.

Hari ini dengan mudahnya kita dapat melihat umat Islam mempersendakan kewajipan berpuasa ini. Ramai orang yang mengaku Islam tetapi makan dan minum secara terbuka dan terang-terangan di bulan Ramadhan tanpa rasa malu atau takut.

Umat Islam yang ditangkap tidak berpuasa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan mengikut undang-undang Syariah.

Umat Islam merujuk kepada umat Islam warga Malaysia dan juga umat Islam bukan warga Malaysia tetapi berada di Malaysia ketika bulan Ramadan. Penangkapan mereka yang makan di khalayak ramai ini bukanlah untuk menghukum tetapi untuk memastikan umat Islam menghormati bulan Ramadan.

Perbuatan tidak berpuasa yang sengaja dilakukan secara terbuka atau di tempat awam seolah-olah mencabar agama dan undang-undang. Berpuasa bagi yang mampu adalah kewajipan bagi setiap umat Islam. Maka tidak berpuasa adalah suatu dosa dalam hukum syarak.

Perbuatan ini merupakan satu kesalahan undang-undang jenayah syariah di Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri di Malaysia.

Hukuman yang sama turut akan dikenakan kepada penjual makanan yang didapati bersalah menjual makanan kepada umat Islam semasa bulan Ramadhan. Peruntukan undang-undang juga sangat jelas tentang ini. Contohnya di bawah seksyen 19(a) Enakmen Jenayah Syariah 1995 Negeri Selangor, mana-mana orang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan, menjual makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap kepada umat Islam, adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Bahagian III (Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 pula menjelaskan perbuatan tidak menghormati Ramadan dikategori kepada orang yang menjual dan orang yang tidak berpuasa.

Secara terperincinya, menurut seksyen 15, mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan:

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Undang-undang jenayah Islam mengutamakan konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan munkar (al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar). Konsep ini banyak membantu mengurangkan jenayah.

Ibadah puasa disebut oleh Rasulullah SAW sebagai amalan yang dapat mengekang hawa nafsu syahwat. Namun, dalam memastikan sesuatu tindakan itu dianggap jenayah, tiga elemen perlu dipenuhi iaitu pertama, elemen perundangan, di mana terdapat peruntukan undang-undang yang jelas melarang tindakan jenayah itu dan menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum.

Kedua, elemen perbuatan iaitu perbuatan yang menjadi kesalahan itu telah dilakukan. Elemen ketiga melihat kepada kelayakan pesalah iaitu melihat dari segi umur, keupayaan, dan tanggungan pesalah tersebut. Berikutan itu, umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa di tempat awam akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut undang-undang sedia ada.

Mereka yang ditangkap ini selalunya memenuhi tiga elemen berkenaan iaitu makan atau minum atau melakukan hal lain yang membatalkan puasa, tanpa alasan yang kukuh dan menyalahi undang-undang.

Setiap kali dalam bulan Ramadan, Jabatan Agama Islam terpaksa melakukan operasi mencegah kegiatan ponteng puasa berikutan kesedaran umat Islam yang masih rendah dan masih berterusan mencemarkan bulan Ramadan dengan perbuatan sedemikian.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengenakan tindakan undang-undang ke atas umat Islam yang tidak berpuasa. Kerajaan Arab Saudi telah memberikan peringatan awal berupa ancaman pengusiran bagi seluruh pekerja asing sama ada Islam atau bukan Islam yang dengan jelas melakukan perbuatan makan dan minum di hadapan umum di bulan Ramadan.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi juga mengeluarkan pernyataan yang sama setiap tahun bahawa orang bukan Islam perlu memahami perasaan umat Islam dan menghargai ritual umat Islam di bulan Ramadan.

Di Kuwait, pemerintah dan polis mengancam orang Islam yang didapati makan dan minum di siang hari di bulan Ramadan dengan hukuman penjara sehingga habis bulan Ramadan.

Pemerintah di Bogor, Indonesia, menguatkuasakan undang-undang ketat kepada penduduk Islam yang tidak berpuasa di bulan Ramadan di mana mereka ditangkap dan dikenakan hukuman.

Restoran hanya dibenarkan beroperasi pada pukul 4 petang sehingga 9 malam dan 2 pagi sehingga 4 pagi sepanjang Ramadan. Pusat hiburan diarahkan tutup sepanjang bulan Ramadan.

Dibandingkan negara-negara lain, Malaysia hanya mengamalkan perundangan asas sahaja yang sepatutnya sangat mudah diikuti oleh masyarakat umum.

Islam memberi kelonggaran dan pengecualian kepada mereka yang benar-benar tidak dapat berpuasa.

Orang yang dibolehkan untuk berbuka puasa sebelum waktunya adalah orang yang dalam perjalanan jauh (wajib qada puasa), orang yang sakit dan tidak dapat berpuasa (wajib

qada puasa), wanita hamil atau menyusui (wajib qada puasa dan membayar fidyah), wanita yang haid atau nifas dan orang tua atau sakit yang tidak sembuh-sembuh (wajib membayar fidyah beras atau bahan makanan lain)

Puasa merupakan momentum umat Islam untuk mengeratkan tali silaturahim dan menwujudkan kesedaran sesama insan. Keberanian ponteng puasa secara terbuka dan tanpa sebab menjadikan atmosfera berpuasa seperti sudah hilang nilai ibadahnya.

Hargailah dan hormatilah ibadah wajib puasa di bulan Ramadan yang mulia.

**Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Utara Malaysia