Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kebergantungan bumiputera kepada kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) masih perlu berikutan terdapat pihak yang telah lama memonopoli pasaran.

Bahkan, katanya, jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin semakin melebar

AHMAD YAZID OTHMAN
AHMAD YAZID OTHMAN 

walaupun ramai yang sudah pun terkeluar daripada garis kemiskinan tegar.

“Sektor industri bumiputera kita masih pada tahap industri berpendapatan rendah. Kerajaan juga perlu mengkaji kenapa dan bagaimana untuk memastikan sektor swasta tidak didominasi golongan tertentu dan tidak monopoli oleh kartel yang menguasai pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyata­an bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin pada program ‘Luncheon Talk Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan bersama Tun Daim Zainuddin’ di Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat sini semalam bahawa semua pihak perlu menerima hakikat bahawa DEB gagal mencapai matlamat.

Kata Daim, hampir 50 tahun pelaksanaan DEB, majoriti masyarakat Melayu masih ‘kais pagi makan pagi’ dan kajian mendapati 75 peratus daripada kumpulan B40 ialah Melayu malah, masih ramai Melayu yang mengharapkan subsidi kerajaan,

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah memberitahu, jika DEB masih wujud pada waktu ini, pelaksanaannya juga akan lebih gagal kerana berlaku banyak campur tangan politik.

Katanya, kepentingan Melayu dan bumiputera juga tidak akan terbela kerana terdapat beberapa pemimpin politik dalam Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia.

“Kalau masih berterusan keadaan politik yang kacau-bilau dalam kalangan menteri-menteri PH, nasib Melayu dan bumiputera tidak akan diperjuangkan dengan seadil-adilnya,” katanya.