Pertamanya sudah tentulah penambahan kuota jemaah oleh kerajaan Arab Saudi termasuk yang diluluskan pada saat-saat akhir. Tidak kurang hebatnya apabila pada beberapa penerbangan terakhir, kerajaan Arab Saudi memilih Malaysia untuk menjalankan projek perintis pra pelepasan bagi jemaah haji Malaysia. Melalui projek ini, Imigresen Malaysia dan Arab Saudi duduk di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan keluar masuk jemaah.

Khabarnya, 50 orang pegawai Imigresen Arab Saudi datang ke Malaysia bagi menjayakan projek itu. Ini sesuatu yang mungkin tidak pernah berlaku di tempat lain. Semua perkara berkaitan urusan kaunter Imigresen yang sepatutnya dilakukan di Lapa­ngan Terbang Jeddah diselesaikan di KLIA sebelum berlepas.

Maknanya belum sampai destinasi, sudah ada jaminan jemaah masuk ke Arab Saudi. Di KLIA, sebaik sahaja pasport dicop oleh Imigresen Malaysia, pegawai Imigresen Arab Saudi melakukan proses yang biasanya dilakukan di kaunter Jeddah. Ini termasuk pengambilan cap tangan jari dan pemeriksaan visa. Satu pelekat Pre-Clearance Services (PCS) ditampal di atas lencana pe­ngenalan diri jemaah. Setibanya jemaah di Jeddah, mereka tidak perlu lagi melalui pemeriksaan Imigresen, sebaliknya terus keluar untuk mendapatkan bagasi.

Mereka tidak perlu beratur panjang seperti jemaah lain. Sebelum ini ada jemaah yang mengambil masa berjam-jam untuk melepasi kaunter Imigresen.

Begitulah teknologi yang cuba dimanfaatkan oleh kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menjadi pilihan untuk menguji projek pe­rintis ini. Ini satu pengiktirafan. Sedikit sebanyak ia adalah hasil hubungan akrab kepemimpinan Malaysia dan Arab Saudi. Mungkin juga ia ada kaitan dengan kecekapan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berjaya mengendalikan urusan jemaah. Begitu juga dengan disiplin jemaah Malaysia.

Pengalaman baru-baru ini me­nunjukkan betapa pantasnya pergerakan jemaah Malaysia. Ketika ramai jemaah dari negara lain terpaksa berehat dan beratur panjang di kaunter Imigresen, jemaah negara kita bagaikan VIP.

Mereka diarah berjalan terus dan mempamerkan lencana jemaah serta menunjukkan pasport untuk diambil kad pengesahan visa yang ada diletakkan di dalam pasport. Masalah­nya hanya ketika menunggu bagasi dikeluarkan. Di kawasan bagasi penuh dengan beg jemaah yang pesawat mereka tiba terlebih dahulu tetapi tidak dapat menuntutnya kerana masih di kawasan imigresen. Situasi ini sedikit sebanyak menyukarkan jemaah Malaysia untuk mendapatkan beg mereka.

Bagaimanapun isu ini sudah ada dalam pengetahuan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Johan Abdullah. Ketika sempat berbual dengan beliau ketika mengunjungi hotel penginapan dan pejabat Tabung Haji di Abraj Janadriyah, Mekah, masalah itu akan dibincangkan bagi memperbaiki kelemahan yang ada. Semuanya bergantung kepada kerajaan Arab Saudi yang mengambil langkah memper­kenalkan program itu. Apa pun masalahnya, kesediaan kerajaan Arab Saudi sudah cukup melegakan jemaah yang melalui ‘laluan VIP’ itu. Turut menarik perhatian ialah kesediaan kerajaan Arab Saudi membenarkan pembinaan kompleks haji di salah satu lokasi yang dianggap strategik untuk kemudahan jemaah Malaysia.

Apa juga yang boleh membantu jemaah akan diusahakan. Seperti kata seorang jemaah dari Pasir Gudang, Johor, kalau ada sedikit kesilapan Tabung Haji itu maafkanlah. Beliau merujuk pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadap Tabung Haji.

Jemaah itu yang memper­kenalkan diri sebagai Aziz turut menghargai perkhidmatan kesihatan yang disediakan selepas dimasukkan ke hospital kerana kekurangan air dalam badan.

“Saya dilayan seperti bapa mereka,” katanya merujuk jururawat yang datang dari pelbagai negeri di Malaysia untuk bertugas di Mekah. Secara keseluruhan, dia bersyukur dengan apa yang ‘diberikan’ oleh Tabung Haji dengan nilai kos haji yang diambil daripada simpanannya yang kurang daripada RM10,000. Bercakap me­ngenai kesihatan, bukan hanya satu klinik yang dibuka. Jumlah pesakit yang menemui doktor juga bukan sedikit, tidak kira orang tua, muda, lelaki dan wa­nita Farmasinya pula penuh de­ngan ubat dan tidak kedekut untuk memberi pelbagai jenis ubat.

Sama seperti di Malaysia, ubat percuma, tidak perlu dibayar walaupun SR1. Cuba bayangkan jika kemudahan itu tidak disediakan di ‘halaman rumah sendiri’. Berapa agaknya pelbagai kos yang perlu ditanggung jemaah jika terpaksa mendapatkan rawatan.

Peranan jemaah pula menghargai peluang yang diperoleh sebagai tetamu Allah. Jumlah RM10,000 bukanlah sesuatu yang besar bagi menampung kos keseluruhan bagi setiap jemaah. Ambil saja beberapa kos seperti tambang penerbangan, bilik hotel dan makan minum. Berbaloikah? Seperti kata Pak Aziz, tugas jemaah adalah untuk beribadat dan dalam melaksanakan ibadah itu, jemaah tidak boleh mengabaikan nasihat petugas Tabung Haji. Baginya, Tabung Haji mempunyai pengalaman setiap tahun. Jemaah pula perlu membantu menaikkan imej Malaysia. Banyak manfaatnya apabila orang luar menghormati kita.

Seperti kata Pak Aziz, mungkin dengan tahap disiplin yang ditunjukkan, siapa sangka suatu masa nanti, kerajaan Arab Saudi akan memberi keistimewaan lain. Seorang pesara yang menganggap dirinya hanya kuli, Pak Aziz berkata, yang menarik dalam menjalani ibadah ini apabila Tabung Haji mempertemukannya dengan rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai profesion di bilik yang sama. Ada juga yang jemaah yang ada gelaran Datuk, pegawai tinggi dan sebagainya. Di sini Tabung Haji tidak pilih sama ada orang kampung, orang bandar, berjawatan tinggi atau rendah untuk duduk bersama di dalam satu bilik berkongsi enam atau lapan orang.

Inilah kelebihannya bersama muassasah, kita semuanya sama, tidak ada darjat dalam menjalani ibadah. Hanya mereka yang me­rasai sendiri perjalanan ibadah ini tahu sejauh mana komitmen yang ditunjukkan Tabung Haji. Di sini sebenar­nya banyak mengajar kita erti kesabaran dan menghormati antara satu sama lain. Apa pun keadaannya, kita diajak untuk sentiasa bersyukur. Selamat menjalani ibadah korban. Terima kasih Tabung Haji.