Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 31 inilah yang menjadi panduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melancarkan kempen #janganlebihlebih menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Sekalung tahniah kepada Hamzah dan pegawai-pegawai kementerian tersebut kerana melaksanakan inisiatif yang amat bersesuaian dengan seruan Allah SWT agar hamba-Nya tidak melakukan perbuatan melampaui batas atau berlebih-lebih dalam apa juga perkara dalam kehidupan mereka.

Sememangnya kempen tersebut amat tepat dan mungkin kali pertama dianjurkan oleh sebuah kementerian yang bertujuan mengingatkan rakyat negara ini khususnya umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berjimat cermat dan bukannya ­melakukan pembaziran.

Setiap kali Ramadan, kita sering mendengar cerita bagaimana pembazi­ran berlaku. Tawaran ber­buka puasa ala bufet de­ngan harga yang kadang ka­la cukup tinggi juga boleh dianggap satu pembaziran.

Ini memandangkan setakat mana sangatlah kita boleh mengisi perut dengan makanan yang beraneka juadah ketika mahu berbuka puasa. Memanglah se­belum berbuka, kalau bo­leh semua makanan kita mahu ‘telan’ tetapi selepas menjamah sedikit makanan perut kita sudah terasa kenyang.

Atas sebab itulah kempen yang dianjurkan oleh KPDNKK bukan sahaja soal berlebih-lebihan dalam berbelanja tetapi juga paling utama bagaimana kita menikmati juadah ketika berbuka.

Apa yang perlu difahami dan diingati oleh seluruh umat Islam di negara ini sepanjang Ramadan ialah ketika kita menyambut bulan suci itu dengan penuh ketenangan, ada saudara sesama Islam kita yang melaluinya dalam keadaan tidak tenteram.

Selain negara mereka dilanda konflik, mereka juga menghadapi masalah untuk mendapat bekalan makanan ketika berbuka. Renungkanlah bagaimana di sesetengah negara Islam, umat Islam berebut-rebut mendapatkan makanan yang diagihkan oleh pihak-pihak bersimpati.

Oleh itu, janganlah kita berlebih-lebih atau melampaui batas sama ada ketika mahu berbuka puasa atau meraikan Aidilfitri. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 67 bermaksud;``Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas atau tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara ­kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.’’

Pembaziran adalah perbuatan yang dilarang keras dalam Islam. Mereka yang membazirkan dianggap kawan syaitan seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Israan ayat 27 yang bermaksud; “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Justeru marilah kita bersama-sama menjayakan kempen #janganlebihlebih anjuran KPDNKK tersebut. Memang benar KPDNKK bukanlah sebuah jabatan yang menjaga hal ehwal Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Hamzah dan pegawai-pegawainya boleh dianggap satu jihad bagi memastikan umat Islam tidak terjerumus dalam lembah pembaziran.

Seruan Hamzah supaya umat Islam melakukan semua perkara dalam keadaan yang sederhana sama ada makan, minum, membeli barang keperluan mahupun menggunakan media sosial adalah bertepatan dengan ajaran Islam.

Adalah lebih baik jika di bulan suci ini kita berebut-rebut untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan bukannya melakukan perkara yang merugikan kita sendiri atau ‘menggantikan tugas syaitan’ dengan melakukan perbuatan yang dilihat melampaui batas.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadan, dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (hadis Riwayat Muslim).