Ini suatu perkembangan menarik. Tepat pada masa dan suasana.

Mungkin ada pentafsiran atau telahan berbeza terhadap kewujudan jawatankuasa ini. Namun hadirnya tetap membawa mak­na besar kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini. Sekurang-kurangnya dapat ‘me­ngubat resah’ ekoran timbul se­macam ada kecenderungan ­ketara pihak-pihak tertentu mempolemikkan kedudukan Islam sebagai agama bagi negara Malaysia.

Dan yang pasti, penubuhan jawatankuasa ini selari dengan kedudukan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Jadi, memang ada sebab kukuh untuk umat Islam mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa ini.

Bermula dengan gara-gara mempersoalkan apakah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih relevan sehinggalah kepada zakat disaran supaya diperluaskan konsep pengagihannya. Pada masa sama, institusi-institusi tahfiz pula dicanang supaya ditutup konon dikatakan tidak membawa banyak manfaat, selain isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang menuntut diberi pengiktirafan.

Malah, banyak lagi hal yang mencakupi hal ehwal Islam se­macam menjadi fokus oleh sesetengah pi­hak untuk dinilai dan dikaji semula. Termasuk juga perkara mengenai liberalisme terhadap hukum halal dan haram, kandungan khutbah Jumaat dan isu murtad serta kebebasan memeluk mana-mana agama selain Islam.

Barisan keanggotaan Jawatan­kuasa Tertinggi Hal Ehwal Is­lam di bawah payung institusi Raja-raja Melayu ini terdiri dalam kalangan tokoh yang berkredibi­liti tinggi. Lima mereka terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, selaku Pengerusi dan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Perak, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti selaku timbalan pengerusi. Tiga lagi tokoh pula termasuk bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hasan; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut dan bekas Ke­tua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kewibawaan mereka diyakini umum. Dan masyarakat Islam de­ngan mudah menyandarkan cagaran tinggi terhadap tokoh-tokoh ini bagi memperkasa dan menambahbaik segala aspek memajukan Islam selain mempertahankan kedaulatan dan kesuciannya.

Suasana semasa negara terma­suk membabitkan penempatan keanggotaan di jawatan-jawatan penting dan strategik dalam kerajaan selain terpamer ke­ghairahan ketara sesetengah pihak dalam mencuit hak ehwal Islam dilihat sebagai antara punca yang mendorong penubuhan jawatankuasa ini, yang antara lain akan mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam, latar belakang penubuhan, bidang kuasa serta keberkesanan agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman syariah di peringkat Persekutuan.

Aspek perundangan dan saluran pembiayaan bagi hal ehwal Is­lam semakin menjadi bahan perbualan di kampung-kampung. Kelihatannya semacam ada resah dan kebimbangan. Di Kelantan mi­salnya, lebih 3,000 dalam kala­ngan mereka yang berkhidmat sebagai penggerak masyarakat yang turut terlibat dalam membangunkan bidang sosial dan keagamaan telah ditamatkan perkhidmatan sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan mengambil-alih peme­rintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Apa yang diharapkan, tidak ada mana-mana pihak cuba pula ‘merencatkan perjalanan peranan Ja­watankuasa Tertinggi Hal Ehwal Is­lam ini, sama ada atas alasan pertimbangan politik atau sebarang sudut kompromi yang tidak munasabah. Bertoleransi itu wajar tetapi jika dibiarkan keterlaluan (too much), dibimbangi kemurnian Islam akan terjejas, juga pengembangan syiarnya mungkin terbatas.

Sebaliknya, elok jika ada pandangan-pandangan bernas dapat dikemukakan terutama oleh para cendekiawan Islam tanah air dapat dikemukakan kepada jawatankuasa ini untuk dipertimbang dan dilaksanakan. Matlamatnya demi kemuliaan Islam dan kebaikan ummah.

Mungkin boleh disarankan agar jawatankuasa ini turut melihat secara serius aspek penghayatan terhadap syariat atau nilai-nilai asas keislaman sebenar, sesuai dengan Islam sebagai ‘cara hidup’ (Ad-deen). Ini termasuk pembinaan siasah diri, kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Semoga tidak timbul lagi hal-hal yang boleh mencemarkan imej Islam seperti suka bercakap bohong, memungkiri janji, mengabaikan amanah dan tanggungjawab serta meringan-ringankan hukum hakam agama itu sendiri.

Antara institusi-institusi yang boleh diterapkan nilai-nilai ini termasuk di dalam rumah tangga, di taman-taman didikan kanak-kanak (Tadika), di masjid-masjid atau surau, di maahad-maahad tahfiz, malah di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.

Api di dalam sekam tetap mem­bakar walau zahirnya tidak kelihatan!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.