Kali terakhir isu ini dikatakan akan dibincangkan, namun sehingga kini tiada maklum balas. Sehingga kini tiada status berhubung isu PTPTN!

Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat pusingan U dalam isu ini sekali lagi? Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, bermula 1 Januari tahun ini, potongan PTPTN bagi peminjam berpendapatan RM2,000 akan bermula. Perkara ini dilihat tidak adil bagi graduan yang masih hidup terkapai-kapai dengan gaji yang dikira rendah untuk menanggung perbelanjaan harian dengan kos hidup yang kian meningkat. Adakah sehingga kini keputusan belum diambil lagi?

Kerajaan PH harus ingat, isu PTPTN yang merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan vote swing daripada pengundi muda. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kerajaan PH bercadang dalam manifestonya untuk memansuhkan pinjaman PTPTN kerana mahu memberikan pendidikan tinggi percuma buat semua pelajar universiti awam. Oleh kerana manifesto ini dilihat begitu menarik, maka kebanyakan mindset masyarakat telah kekal memikirkan bahawa PH akan tetap dengan manifesto untuk hapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma.

Pada PRU-13, ramai terpedaya kononnya hutang PTPTN akan dihapuskan. Kesannya, aliran kewangan PTPTN begitu teruk disebabkan ramai tidak mahu membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang (ketika itu) untuk hapuskan hutang dan PTPTN.

Apabila ramai yang tidak membayar, dana berkurangan menyebabkan potongan sebanyak lima peratus kepada pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 15 peratus pinjaman pelajar ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpaksa dilakukan. Ini satu daripada ‘jasa’ pembangkang ketika itu kepada rakyat kerana kutipan merosot sekitar RM50 juta sebulan iaitu hanya sekitar RM700 juta setahun ketika itu. Sedangkan PTPTN perlu mengutip semula pinjamannya sekurang-kurangnya RM900 juta setahun. Itulah kesannya jika ramai yang tidak membayar hutang pinjaman masing-masing.

Pada PRU-14, PH telah mengubah manifesto dan mengatakan PTPTN itu tidak akan dihapuskan. Sebaliknya, PH berjanji untuk membenarkan peminjam PTPTN menangguhkan bayaran balik jika gaji kurang daripada RM4,000 sebulan dan juga memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam. Tapi disebabkan mindset masyarakat masih berfikiran PH akan hapuskan PTPTN dan tidak sedar bahawa pemansuhan PTPTN tidak akan dilakukan. Anak muda mengundi PH disebabkan termakan janji manis mereka sewaktu kempen PRU-14 dan apabila janji tidak ditunaikan, itu sebenarnya yang dikatakan tidak amanah.

Keputusan kerajaan untuk melepaskan sekatan imigresen dianggap antara punca mengapa jumlah kutipan merosot dan menyebabkan bilangan mereka tidak membayar hutang sukar dikurangkan. Ini kerana dasar itu menggalakkan mereka tidak membayar hutang, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang bukan sahaja memahami masalah peminjam malah melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan pembayaran balik.

Banyak kali pusingan U dibuat dalam isu PTPTN ini. Sehingga hari ini, ramai masih berfikir bahawa janji PH adalah untuk mansuhkan PTPTN kerana itu yang diperjuangkan oleh mereka sejak lima tahun lalu. Janji PH untuk membenarkan peminjam PTPTN menangguhkan bayaran balik bagi gaji kurang daripada RM4,000 tetap tidak realistik. Sebarang janji yang ditabur mana-mana pihak dalam kempen pilihan raya perlulah mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk generasi akan datang.

Kegagalan menepati janji menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN sudah dijangka kerana cadangan itu pernah diperhalusi menerusi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan. Sejak dulu lagi yakni sebelum kerajaan PH memerintah, PTPTN sudah tahu bahawa sukar untuk melaksanakan dasar memulakan bayaran di tangga gaji RM4,000 kerana ia membebankan pihak perbadanan.

Pasca hampir enam bulan peralihan tampuk pemerintahan kerajaan, tiada dasar baharu digagaskan PTPTN, berbanding zaman terdahulu yang menyaksikan pelbagai pendekatan dan sesi sidang meja bulat dilaksanakan. Pembentangan pelbagai cadangan yang diperhalusi membolehkan PTPTN melaksanakan dasar bermanfaat untuk rakyat dan menjaga semua kelompok masyarakat.

Penangguhan bayaran balik juga boleh membuatkan PTPTN kekurangan dana, seterusnya membatasi keupayaan membiayai pelajar baharu.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Perpaduan Nasional, Parti Gerakan Rakyat Malaysia.