Antara janji utama Pakatan Harapan ialah meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancakkan pertumbuhan ekonomi secara adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963, menghapuskan GST, menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa, dan menghapuskan kutipan tol.

Meneliti manifesto Pakatan Harapan, reaksi segera saya ialah manifesto tersebut bukan sahaja bersifat kitar semula, tetapi adalah manifesto utopia yang membelakangkan realiti semasa.

Ini kerana memang mudah untuk menabur janji, tetapi apakah semudah itu untuk melaksanakannya? Apakah di negeri yang dikuasainya, Pakatan Harapan telah melaksanakan apa yang telah dijanjikannya?

Misalnya, berapa rumah kos rendah dibina di Pulau Pinang dan Selangor, dan cekapkah institusi pentadbiran di kedua-dua negeri pembangkang ini? Realitinya tentu tidak kerana masalah rumah, air dan kebersihan adalah antara isu-isu asas utama yang gagal diselesaikan kedua-dua negeri ini.

Begitu juga dengan pendidikan, Pakatan Harapan dahulunya mengkritik PTPTN dan berjanji untuk menghapuskannya, tetapi dalam manifestonya, pakatan itu menyatakan sekadar menangguhkan pembayaran sehingga peminjam berpendapatan RM4,000.

Jika lantang menuduh kerajaan tidak bertanggungjawab kerana tidak menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar di peringkat tertiari, mengapakah pula Pakatan Harapan tidak berjanji untuk menghapuskan terus PTPTN?

Ini menunjukkan Pakatan Harapan sedar bahawa apa yang dibuat kerajaan BN hari ini adalah terbaik dalam mengurus pendidikan negara, selain Pakatan Harapan sendiri tahu bahawa janjinya untuk menghapuskan PTPTN adalah tidak praktikal dan sukar untuk dilaksanakan.

Jika dalam soal pendidikan, berbanding dengan kerajaan Selangor yang mengenakan yuran tinggi kepada pelajar Unisel, kerajaan BN adalah lebih prihatin dalam aspek ini.

Kerajaan BN tidak mengenakan yuran tinggi kepada pelajar dan menampung melebihi 90 peratus kadar yuran akademik universiti awam (UA).

Kerajaan BN juga dalam Bajet 2018 turut memperuntukkan biasiswa sebanyak RM2.2 bilion bagi memartabatkan pendidikan tinggi. Ini menunjukkan kerajaan BN peka dan sensitif dengan realiti pendidikan negara berbanding pembangkang yang hanya pandai menanam tebu di tepi bibir untuk menagih sokongan rakyat.

Hanya berjanji

Dari segi BR1M, dahulunya Pakatan Harapan mendakwa BR1M adalah ‘dedak’ dan ‘rasuah’ kerajaan BN untuk mendapatkan sokongan rakyat, tetapi apabila mengumumkan manifestonya, pakatan itu sendiri meletakkan pemberian BR1M sebagai antara janji utamanya sekiranya dipilih menjadi kerajaan.

Jika ini janji manifesto Pakatan Harapan, di mana salahnya BR1M? Tentunya tidak salah kerana kerajaan BN melaksanakan BR1M ini adalah sebagai social safety net untuk mengatasi kesusahan rakyat dan menggerak ekonomi runcit negara.

Alhamdulillah, dengan Pakatan Harapan turut berjanji untuk meneruskan BR1M ini, maka ini membuktikan tindakan kerajaan BN selama ini adalah betul dan pembangkang hanya mengkritik semata-mata tanpa asas.

Apa yang utopianya dengan janji politik Pakatan Harapan dalam manifestonya? Yang utopia ialah Pakatan Harapan berjanji mengubah struktur dan sistem pemerintahan negara.

Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan AUKU bagi membolehkan pelajar terlibat dalam politik. Pakatan berjanji untuk menghapuskan akta-akta drakonian termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Ternyata Pakatan Harapan terkeliru dan terdesak dengan manifestonya ini kerana tidak melihat fakta yang terpampang di hadapan mata.

Tidakkah Pakatan Harapan tahu kerajaan BN telah pun meminda Seksyen 15 AUKU untuk membolehkan pelajar terlibat dalam politik?

Tidakkah Pakatan Harapan tahu kerajaan BN telah menghapuskan ISA? Tidakkah Pakatan Harapan sedar negara kita kekal aman dan makmur ekonominya kerana kita mengawal kebencian kaum dan hal-hal yang boleh menggugat keselamatan negara dengan mengawal penerbitan yang bersifat menghasut dan perkauman?

Tidakkah Pakatan Harapan tahu kesemua ini adalah reformasi institusi yang dilakukan oleh kerajaan BN sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM lagi? Begitu juga dengan tol dan GST, Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskannya.

Malangnya, Pakatan Harapan tidak menjelaskan cara untuk memperoleh semula pendapatan negara. Oleh itu, di manakah rasionalnya memansuhkan semuanya jika Pakatan Harapan sendiri gagal mengemukakan cara mendapatkan semula sumber pendapatan untuk kelangsungan pembangunan negara?

Meneliti lebih lanjut manifesto Pakatan Harapan, saya dapati mereka hanya berjanji merubah hal-hal yang utopia, tetapi gagal menyelesaikan perkara asas yang diperlukan rakyat. Contohnya, Pakatan Harapan mendiamkan saja cara menyelesaikan masalah air dan kebersihan PBT di Selangor, tidak menyentuh tentang kemajuan sukan, dan aspek pelancongan juga di kesampingkan.

Manifesto Pakatan Harapan memasukkan janjinya untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak, tetapi tidak menjelaskan bagaimana kaedah untuk mencari formula dan mekanisme yang sesuai supaya Perjanjian 1963 diikuti dan federalisme tetap kukuh dan utuh.

Memang jika diteliti manifesto Pakatan Harapan setebal 138 halaman, ia nampak indah dan cantik, tetapi realitinya cantiknya sekadar kek icing yang comel di luar tetapi rapuh di dalam.

Bagi saya manifesto Pakatan Harapan adalah menu lama yang umpannya tidak dimakan ikan. Manifesto Pakatan Harapan adalah retorik dan utopia semata-mata serta sukar dilaksanakan.

Ini berbeza sekali dengan dasar kerajaan BN yang praktikal, pragmatik dan berpijak di bumi nyata. Inilah yang membezakan kerajaan BN pimpinan Najib Razak dengan pemimpin pembangkang.

Pepatah ada menyatakan, "seorang ahli politik hanya memikirkan pilihan raya yang akan datang, tetapi seorang negarawan melihat kepada generasi masa depan."

Dan kerajaan BN pimpinan Najib tentunya memikirkan kesejahteraan hidup rakyat dan generasi akan datang.

PENULIS ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia.