Mereka menganggap apa yang beliau lakukan boleh mencemarkan nama UMNO. Justeru tidak hairanlah Jamal ‘diserang’ dari pelbagai sudut. Beliau dikecam dan dituduh ‘tidak sihat’, merapu dan mahu mencari publisiti murahan.

Namun begitu apa pun yang dikatakan orang tidak pernah menjadi ‘kudis’ kepada Jamal.

Sebaliknya, beliau menganggap itu hak mana-mana juga pihak memberi pandangan, apa yang penting beliau tidak akan menghentikan tindak tanduk yang dilakukan selama ini dalam berhadapan sesuatu isu.

Dalam pertemuan hampir dua jam dengan penulis di kediamannya baru-baru ini, penulis cuba menyelami pemikiran dan mendapat jawapan daripada Jamal sendiri berhubung tindak-tanduknya. Berikut antara perkara atau isu yang penulis bualkan dengan beliau;

Tingkah laku ketika demonstrasi

Walaupun dilihat melakukan perkara aneh termasuklah memakai tuala, memecah botol arak dan meja judi, namun bagi Jamal apa yang dilakukan bagi menunjukkan protes dengan cara lebih tegas supaya mesejnya sampai kepada pihak-pihak berkenaan.

“Contohnya, saya memakai tuala, memang saya dituduh macam-macam tetapi saya berjaya menyampaikan mesej sehingga ke Amerika Syarikat (AS) bahawa Selangor di bawah pentadbiran Kerajaan PKR tidak mampu menyelesaikan masalah air.

“Begitu juga dalam soal judi haram, apabila saya melakukan sidang akhbar dan memecahkan meja sebagai tanda protes, ia menarik perhatian pihak berkuasa untuk bersungguh-sungguh me­merangi gejala tersebut. Hasilnya premis-premis judi ditutup,” katanya.

Turut menarik perhatian ialah tindakan beliau mewujudkan kumpulan baju merah bagi menentang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang, Bersih.

Langkah itu berjaya ‘menggerunkan’ Bersih untuk tidak mengadakan demonstrasi, jika mereka tidak mahu berhadapan dengan kumpulan baju merah.

Jual ikan untuk perangi orang tengah

Satu lagi tindakan yang menarik perhatian apabila Jamal mengadakan jualan ikan murah untuk orang ramai. Beliau menjual ikan kembung yang menjadi isu disebabkan harga mencecah sehingga RM20 sekilogram, hanya RM5 sekilogram.

“Mungkin saya tidak dapat memenuhi permintaan semua orang untuk membeli ikan tersebut ke­rana saya hanya menjualnya pada hujung minggu tetapi apa yang ingin saya dedahkan ialah kenaikan harga ikan dan barang bukan disebabkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi berpunca daripada peranan orang te­ngah.

“Selain itu, saya ingin menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa kenaikan harga barang hanya berlaku setiap kali menjelang pilihan raya dan saya tidak menolak kemungkinan ia adalah ‘permainan’ parti-parti pembangkang tertentu yang bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan BN,” katanya.

Restoran hidang makanan percuma

Jamal mengakui apabila beliau membuka restoran untuk menghidangkan makanan percuma kepada orang ramai khususnya mereka yang tidak berkemam­puan, ada pihak-pihak mempersoalkannya. Ia memandangkan kos untuk menguruskan restoran itu bagi tempoh sebulan mence­cah RM100,000.

“Mereka mempersoalkan sumber kewangan saya dan me­minta Lembaga Hasil Dalam Ne­geri (LHDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan. Silakan... saya tidak ada masalah, tetapi mereka tidak tahu bahawa restoran ini berkonsepkan sedekah.

“Saya tidak menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai, sebaliknya barangan. Kalau ada yang mahu menyumbang, saya minta mereka beli bara­ngan seperti beras, minyak masak, gula, ikan, ayam dan sebagainya. Hasilnya, sekarang ini saya ada stok barangan khususnya beras yang kini mencecah bertan-tan, malah komitmen untuk me­nyumbang barang-barang lain pun sudah ada daripada pembe­kal,” katanya.

Kata Jamal, walaupun sasaran awal hanya 1,000 orang sehari menjamah di restoran tersebut tetapi kini ia meningkat kepada 2,000 orang hingga 3,000 sehari, namun beliau tidak bimbang dan sebaliknya menjelaskan biarpun 10,000 orang seharipun, mereka masih mampu menampungnya dengan izin Allah SWT.

Tidak mahu jadi wakil rakyat

Bagi Jamal, jawatan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar sudah mencukupi. Biarpun ada yang mendakwa apa yang beliau lakukan adalah bertujuan untuk meraih populariti bagi memudahkan laluan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti tetapi dengan tegas Jamal menolak andaian itu.

“Saya tidak pandai bersandiwara dan saya sama sekali tidak berniat untuk bertanding dalam PRU. Biarlah orang lain bertan­ding. Sebagai Ketua Bahagian saya akan pastikan calon yang dipilih bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di kawasan Sungai Besar mencapai kemenangan.

“Pada masa sama saya turut mengingatkan pemimpin-pe­mimpin UMNO di Selangor, apa yang penting bukan soal siapa jadi calon kerana kemenangan parti lebih utama. Prinsip saya mudah, ‘kalau menang, menang semua, kalau kalah, semua lingkup’,” katanya.

Kesimpulan sesiapa sahaja boleh menilai apa juga yang Jamal lakukan termasuklah mengecam beliau, tetapi dari sudut lain, Jamal jauh lebih baik daripada sesetengah ahli politik termasuk dalam kalangan UMNO sendiri. Apa maksudnya? Belajarlah bermuhasabah untuk mencari jawapannya.