“Boleh menangkah kali ini kat Teganu?” katanya bersahaja dan telahan saya dia mungkin merujuk kepada Pas melihatkan penampilannya yang seakan pengikut tipikal penyokong parti itu dan seorang pesara. Namun saya cuma mengangkat bahu memberitahu parti itu telah mengeluarkan manifestonya.

Ini termasuklah menyediakan peruntukan bagi membiayai caj wad kelas tiga di semua hospital kerajaan dan memberikan bakalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskin dan berpedapatan rendah yang mungkin boleh menarik sokongan.

“Caj tu cuma RM3 pernah dijanjikan dulu pada 1999, tak semua orang masuk wad tetapi masa memerintah selepas itu rasanya tak buat pun. Buat kelam-kabut kat hospital sahaja kerana ramai enggan jelaskan...kerana janji itulah.

“Apa sangatlah, sekarang pun boleh kata percuma, minta tandatangan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung dan Yang Berhormat, semuanya tak perlu bayar kalau benar kita sangat susah.

Kalau kelas lain tu pun berapa sangat, caj rawatan pun cuma lima peratus daripada keseluruhannya. Kalau yang berpenyakit kronik itu pula dah ada dananya.

“Yang air tu pula, kerajaan dah laksanakan, bukan sahaja kepada orang miskin tetapi kepada semua rumah kediaman, tak perlu umum lagi. Mungkin dah tak ada apa lagi (untuk dijanjikan),"ujarnya seakan mengharapkan suatu yang lebih besar. Dan saya cuma mengangguk.

Pas Terengganu menjanjikan 15 perkara dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dilihat ulangan daripada dua PRU lalu namun sebahagian besarnya mirip pendekatan telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Karnival perkahwinan kali pertama secara percuma di setiap Dewan Undangan Negeri salah satu daripadanya serta program seumpama itu, Karnival Perkahwinan Perdana telah dilancarkan oleh kerajaan negeri dua tahun lalu dan tahun lalu mencatat rekod perkahwinan terbesar di negara ini melibatkan dengan 271 pasangan.

Malah, setiap pasangan pengantin menerima satu set persalinan, pakej set persandingan, pakej bulan madu, wang simpanan bernilai RM1,000 dan jemputan jamuan seramai 50 orang bagi setiap pasangan dalam majlis yang dibayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Selain meringankan beban kos dan membimbing mereka yang melangkah ke alam baharu, kerajaan negeri yang dalam usaha mengukuhkan lagi institusi keluarga, turut menawarkan insentif RM1,000 bagi setiap ibu atau bapa tunggal yang ingin kembali berkahwin.

Pas turut menjanjikan Tabung Pinjaman Perumahan ketika kerajaan BN telah memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu dan pemberian lot rumah ketika permohonan berhubung urusan itu telah dibuka dengan lebih 5,900 telah diterima oleh pihak berkausa negeri.

Juga dimasukkan dalam manifesto adalah penyediaan 20,0000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun di samping penubuhan pusat pemulihan dadah secara holisitik, penubuhan pusat asuhan di setiap jabatan, tabung pinjaman usahawan dan kad Sejahtera bernilai RM500 setahun untuk golongan berpendapatan kecil.

Di samping itu, dilihat bagi mengekalkan sokongan pengikutnya, Pas menawarkan untuk mengembalikan tanah-tanah yang diagihkan semasa pemerintahan yang dikatakan diambil semula oleh kerajaan negeri selain membuka permohonan tanah baharu dengan pemberian terus memberikan geran kekal.

Pemberian tanah-tanah inilah dahulu di luar sedar parti itu. Ia antara punca menimbulkan keresahan rakyat dan apabila seakan tidak terkawal dengan keghairahan para penyokong untuk mendapatkan habuan - menguatkan lagi penolakan terhadap parti itu yang cuma bertahan sepenggal.

Ketika BN yang masih belum mengeluarkan manifesto khusus bagi negeri ini, sebahagian langkah kerajaan negeri dalam pelbagai pedekatan sentuhan terus kepada rakyat dituding sebagai meniru manifesto mereka.

Namun janji semata-mata tidak membawa kemana-mana tanpa diterjemahkan. Dalam politik, adalah lebih baik bersaing untuk membawa lebih banyak kebaikan kepada rakyat.