Bahawa bangsa yang bertamadun dalam erti kata sebenar adalah bangsa yang tidak meminggirkan nilai peradaban atau budaya tinggi yang luhur, terpancar dari hati nurani yang tulus dan murni. Tegasnya, ketamadunan yang terbina semata-mata atas keghairahan mengejar material dan kedudukan sering ber­akhir de­ngan kekosongan dalam menikmati makna sebenar tentang damai, indah, selesa, ‘tanpa gangguan’ emosi dan fikiran.

Sementara itu, kemajuan yang sering diidam manusia adalah kejayaan membina kehidupan diri sendiri, berada dalam suasana keluarga yang bahagia, tinggal di persekitaran yang kondusif, iaitu perhubungan sesama masyarakat setempat yang mesra dan bersefahaman, saling hormat menghormati, sedia bantu membantu, selain mengharapkan alam sekitar yang nyaman dan bersih.

Malah banyak lagi situasi yang menjadi idaman setiap individu. Termasuklah suasana di tempat kerja, semasa dalam pemanduan, berada di dalam warung-warung kopi atau restoran, di dalam kende­raan awam, juga di mana-mana jua premis atau institusi. Malah, setiap warga negara mampu menilai sendiri suasana yang bagaimanakah yang mereka mahu dan idamkan dalam kehidupan dalam sesebuah negara.

Jika ditemui apa yang diidamkan ini, kehidupan akan menjadi lapang, meriah, menarik, melegakan dan menyamankan. Sebaliknya, jika ciri-ciri yang diidamkan ini gagal diperoleh, kehidupan menjadi sempit, rimas, serabut dan terganggu.

Bayangkan situasi di sebuah warung atau restoran, seseorang pelanggan akan rasa sempit suasananya, rimas dan terganggu jika terdapat seorang dua pemuda yang berbual dengan nada tinggi, sambil bergelak ketawa di dalam warung berkenaan. Itu pun belum dicampur suasana kebersihan, baik persekitaran dan bekas makanan serta tutur bicara kurang mesra oleh pelayan kedai.

Kata sesetengah penduduk kampung atau taman perumahan, jika terdapat seorang atau dua penagih dadah di kawasan berkenaan, sudah cukup membuatkan seluruh masyarakat setempat merasa sempit, resah, bimbang dan kecewa.

Masyarakat merasa terganggu dan sempit emosi jika terdapat hanya seorang dua yang merokok dengan menghembus asapnya sesuka hati di tempat-tempat awam tanpa menghiraukan pera­saan orang lain. Terdapat pula individu yang suka meludah dan ada juga yang berkomunikasi melalui telefon bimbit dengan bersuara nyaring.

Kenderaan awam menjadi sempit bukan kerana sesak de­ngan penumpang, namun hanya disebabkan bau badan atau pakaian sesetengah penumpang, membuatkan penumpang-penumpang lain rasa terganggu. Suasana di dalam tandas-tandas awam tentulah tidak ‘menyempitkan nafas’ jika semua pihak tahu menggunanya secara ber­disiplin.

Sebesar mana pun rumah atau kediaman bagi sesebuah keluarga, akan menjadi sempit dalam konteks kemesraan dan kasih sa­yang jika suasana harian dipenuhi dengan bahasa pertuturan yang kasar, kesat dan masing-masing bersikap hanya mementingkan urusan diri sendiri.

Memadai dengan terdapat seorang dua pegawai atau petugas bersikap suka memfitnah, memperlekeh, angkuh, menyombong diri dan gemar ‘menjatuhkan’ kawan, menjadikan suasana di sesebuah tempat kerja atau institusi itu menjadi sempit dari segi kemeriahan atau keseronokan untuk menjalankan tugas. Ramai kalangan petugas lain yang memiliki etika kerja yang baik dan komited akan merasa kecewa dan terganggu.

Kehidupan di dalam sesebuah negara juga akan dirasai sempit dan terganggu oleh warganya, jika suasana kemakmuran, keamanan dan kestabilan sering cuba digugat oleh mana-mana pihak. Malah pendekatan berpolitik secara terlalu suka bermusuhan, berbaur perkauman, mencerobohi hak dan kedudukan orang lain atau menyentuh sensitiviti agama pihak lain membuatkan perasaan dan citarasa murni majoriti rakyat kecewa dan terganggu.

Beberapa catatan di atas adalah contoh mudah yang terdapat dalam kehidupan harian masyarakat. Segalanya berkait rapat dengan ciri-ciri sistem nilai, budaya atau peradaban yang diamalkan oleh masyarakat itu sendiri. Ramai yang hanya tahu menyebut, namun tidak ramai yang mengambil pendekatan agar unsur-unsur kemurnian dalam sistem hidup beradab, berbudaya dan bertamadun tinggi ini di­amalkan dalam kehidupan.

Mencari penyelesaian terhadap contoh-contoh yang dipaparkan ini bukan memerlukan kos untuk dibayar atau biayai, namun memadai dengan kesediaan masyarakat secara umumnya mengubah sikap dan cara hidup, iaitu daripada tanpa menghiraukan gaya hidup beradab dan berbudaya tinggi kepada suasana kehidupan yang selesa, damai, indah dan menyenangkan semua. Para peneraju institusi perlu memainkan peranan berkesan dalam hal ini.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia tentu mengakui, sebaik rujukan bagi menemui citarasa sebenar dan lengkap dalam konteks kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara adalah dengan berpandukan Rukun Negara. Dan tentunya segala sesuatu yang dianggap sebagai unsur pembinaan budaya tinggi ini akan terkandung dalam resolusi sempena Kongres Budaya 2017 yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April ini.

Benar, hidup tidak selalu indah, tetapi yang indah itu biarlah sentiasa dipupuk, disuburkan dan dikekalkan dalam kehidupan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.