Masakan tidak, mereka ini yang terlalu taksub dengan prinsip hak asasi manusia sanggup memutar belit nas al-Quran dan hadis semata-mata mahu menghalalkan perbuatan homoseksual yang jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Sedangkan apa yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 80 dan 81 jelas menggambarkan betapa keji, jijik dan melampaunya perbuatan seorang lelaki (kaum Nabi Lut) mendatangi seorang lelaki lain bertujuan melampiaskan syahwat masing-masing.

Kemudian Allah menimpakan azab terhadap kaum Nabi Lut itu atas perbuatan melakukan hubungan sejenis yang dirakamkan dalam surah Hud ayat 82 dan 83.

Dalam dua ayat berkenaan (Surah Hud ayat 82 dan 83) Allah berfirman: “Maka ketika datang keputusan Kami, Kami menterbalikkan negeri kaum Lut dan kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar secara bertubi-tubi. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhan mu, dan ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu.”

Berdasarkan ayat tersebut Allah telah memerintahkan bumi yang didiami oleh kaum Nabi Lut diterbalikkan lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi. Akibatnya berkecailah kota Sodom dan berkuburlah pengamal homoseksual dalam kalangan umat Nabi Lut.

Tidak cukup dengan itu kawasan berkenaan kemudian dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang terbakar bertubi-tubi. Semuanya ini bertujuan menggambarkan betapa dahsyatnya azab Allah terhadap mereka yang melakukan homoseksual.

Namun begitu amat malang apabila ayat-ayat al-Quran yang berbentuk peringatan ini langsung tidak memberi kesan kepada puak Islam liberal ini. Bahkan mereka mendustakan ayat berkaitan kisah kaum Nabi Lut itu melalui tafsiran yang mengelirukan.

Persoalannya, mengapa mereka berani sehingga ke peringkat ini? Tidakkah mereka takut atas pendustaan yang dilakukan itu? Jawapannya mudah sahaja. Sebabnya mereka tidak melihat azab Allah seperti mana dialami oleh kaum-kaum terdahulu termasuk kaum Nabi Lut.

Atas faktor itu mereka berani mencabar hukum Allah dengan cara memutarbelitkan tafsiran berhubung perbuatan homoseksual agar perbuatan jijik itu dilihat tidak salah di sisi agama. Sebenarnya mereka sedang melakukan satu perbuatan yang besar dosanya di sisi Allah kerana berdusta atas nama Tuhan Yang Maha Esa.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 116-117: “Dan janganlah kamu mengucapkan dusta yang disebutkan oleh lidah-lidah kamu, ini halal dan ini haram, untuk kamu ada-adakan dusta atas nama Allah, sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan dusta atas nama Allah tidak akan beruntung. Itu hanyalah kesenangan yang sedikit dan mereka akan menderita azab yang pedih.”

Secara peribadi penulis hairan dengan wujudnya jenis orang Islam yang sebegini. Apakah yang mereka cari dalam hidup ini? Adakah masing-masing merasakan mereka akan hidup selama-lamanya? Bukankah satu hari nanti nyawa mereka akan dicabut oleh malaikat maut atas perintah Allah?

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada menerbitkan kitab yang mengan­dungi beberapa hadis sahih berkaitan perlakuan haram lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antaranya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jika kamu dapati seseorang melakukan amalan kaum Nabi Lut, bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perlakuan itu.” Dalam satu hadis lain, Rasulullah menegaskan bahawa Allah melaknat sesiapa yang mendatangi binatang dan me­laknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Rasulullah menyebutnya sebanyak tiga kali).

Begitulah beratnya hukuman terhadap mereka yang melakukan perbuatan keji ini. Kepada puak berkenaan diharapkan mereka segeralah bertaubat. Jangan nanti ketika nyawa berada di halkum baru sedar bahawa perjuang­an mereka selama ini salah, sia-sia dan merugikan gara-gara termakan hasutan syaitan serta godaan nafsu.

Pada masa itu tiada gunanya mereka menyesal kerana ketika saat tersebut pintu taubat telah pun tertutup. Wallahualam.