Walaupun ada 1001 kenangan sepanjang tahun lalu, kita tidak ada masa untuk bernostalgia, lantaran tugas dan tanggungjawab terhadap diri, kerjaya dan rumah tangga yang perlu diberi perhatian. Hidup perlu diteruskan.

Seperti biasa apabila muncul tahun baharu, ramai yang menanam azam baharu, walaupun tidak ramai yang mahu mengimbas kembali status azam lama yang ditanam pada awal tahun 2017. Sudah tercapaikah? Atau masih di takuk lama?

Bagi penulis sendiri seperti awal tahun lalu, azam 2018 rasanya masih sama, dan mungkin akan dikekalkan pada tahun-tahun mendatang.

Penulis berazam mahu menjadi insan yang lebih baik. Titik.

Terlalu umum? Mungkin. Sebab penulis sendiri tidak tahu apakah kayu ukur yang boleh digunakan untuk menilai pencapaian azam penulis itu. Yang pasti, penulis mahu bergerak ke arah itu.

Jika dari segi fizikal kita boleh mengukur perubahan diri, bagaimana hendak mengira aspek dalaman yang bersangkut soal hati, emosi dan perasaan? Doa penulis mudah-mudahan di tahun 2018, hati ini lebih bersih, emosi lebih terkawal dan perasaan menjadi lebih tenteram.

Walaupun bak ungkapan popular Inggeris, easier said than done. Belum pun sebulan kita menempuh tahun 2018, sudah bermacam-macam peristiwa berlaku yang awal-awal lagi mampu mengganggu emosi.

Paling tragis, kematian remaja lelaki berusia 15 tahun akibat ditimpa kerusi yang dihumban dari tingkat atas rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Kuala Lumpur, pada 16 Januari lalu.

Bayangkan, seorang remaja yang tidak berdosa diragut nyawanya gara-gara sikap tidak bertamadun penghuni rumah pangsa membaling kerusi dari tingkat atas ke bawah. Bukan kerusi plastik tetapi kerusi pejabat dengan kaki besi dan beroda, yang mungkin sahaja beratnya beberapa kilogram. Bayangkan sahaja impaknya apabila terjatuh di atas kepala?

Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku di depan mata ibu mangsa. Sedangkan mereka baru sahaja ke kedai dan sedang berjalan pulang ke rumah bersama-sama. Tiba-tiba, tidak semena-mena anak kesayangan itu sudah tidak bernyawa. Bukan kerana dia terlibat dengan aktiviti membahayakan, merempit atau berpeleseran dengan basikal lajak tetapi hanya kerana dia berjalan di pekarangan kediamannya.

Sehingga kini pesalah yang menghumban kerusi sehingga ‘membunuh’ remaja itu belum ditangkap walaupun sehingga kini sudah puluhan saksi dipanggil memberi keterangan.

Untuk mengharapkan orang yang terlibat tampil ‘mengaku salah’ melakukan tindakan ‘membunuh tanpa niat’ itu nampaknya jauh panggang dari api.

Hakikatnya, menghumban, mencampak dan membaling objek dari tingkat atas ke bawah sudah menjadi lumrah di kawasan rumah pangsa. Bukan hanya di PPR Seri Pantai tempat kejadian yang meragut nyawa remaja India itu bahkan di tempat-tempat lain juga.

Hasil tinjauan wartawan Utusan Online, sebutlah apa sahaja yang terlintas di kepala, semuanya pernah ‘melayang’ dari tingkat atas flat atau rumah pangsa ini. Segala macam sampah daripada perut ikan, lampin bayi, kuah dan nasi basi, tukul besi, cermin tingkap bahkan kucing pun.

Mungkin orang sahaja yang belum dibaling hidup-hidup. Tetapi jika hendak diambil kira, bayi yang baru lahir pun pernah dijumpai di tingkat bawah rumah pangsa dipercayai dihumban dari tingkat atas.

Sikap ‘baling batu sembunyi tangan’ ini jelas menunjukkan tidak adanya rasa tanggungjawab dalam diri kebanyakan penghuni rumah pangsa.

Buatlah secanggih dan secantik mana pun rumah-rumah pangsa ini namun jika mentaliti penghuninya masih seperti tinggal di kawasan setinggan, tidak memberi apa-apa makna.

Agak malang dalam pada negara kita kini hanya dua tahun sahaja untuk bergelar negara maju dengan segala kemudahan kelas pertama, ada lagi penduduk yang masih mengekalkan mentaliti dunia ketiga.

Peribahasa menyebut malang tidak berbau. Namun kejadian malang yang menimpa remaja berusia 15 tahun di PPR Seri Pantai, Kuala Lumpur, itu sebenarnya sudah berbau agak lama jika diimbau sikap tidak bertamadun yang ditunjukkan oleh segelintir penghuni rumah pangsa terbabit.

Sudah tiba masanya kempen kebersihan dijalankan secara bersungguh-sungguh di kawasan penempatan berkenaan. Wajibkan penglibatan semua penghuni tanpa ada pengecualian.

Apa kata tanam azam untuk menjadikan tahun 2018 sebagai tahun menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan rumah pangsa, tidak kiralah di mana jua.

Rasanya tidak salah jika mereka yang enggan bekerjasama memastikan kebersihan terpelihara, didenda atau dikenakan tindakan lebih tegas termasuk ‘diarah keluar’ atau ‘mengosongkan’ unit kediaman mereka. Rasanya masih ramai lagi warga kota yang dalam senarai menunggu untuk memasuki PPR dan mereka ini tentu sahaja bersedia menandatangani perjanjian agar mematuhi peraturan kebersihan baharu bagi menjamin insiden malang 16 Januari lalu tidak berulang.

Bertindaklah segera. Jangan tunggu sehingga ada lagi nyawa melayang kerana esok lusa kita tidak tahu entah apa pula yang dihumban dari tingkat atas dan menimpa kepala. Mungkin peti sejuk, mesin basuh atau set sofa.