Kematian Zulfarhan akibat didera oleh kadet lain termasuk dikatakan dicederakan dengan seterika wap menyedarkan kita betapa masalah buli di negara ini masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

Dalam kes ini dilaporkan pihak polis telah pun menahan 36 orang penuntut berusia antara 20 dan 21 tahun bagi membantu siasatan. Justeru eloklah kita biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dan tidak wajar untuk kita membuat sebarang spekulasi mahupun kesimpulan secara membuta tuli tanpa fakta sahih.

Jadi penulis tidak berhasrat untuk mengupas secara terperinci tragedi tersebut sebaliknya ingin memberi fokus kepada masalah buli di negara ini secara keseluruhannya yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya wajib di sekolah berasrama mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).

Kejadian buli bukanlah isu baharu dalam masyarakat kita. Sudah acap kali pihak media mendedahkan kejadian buli yang berlaku di sekolah mahupun IPT.

Malah sudah ada beberapa kes serius sebelum ini yang turut meragut nyawa mangsa namun jelas masih ramai yang belum ambil iktibar dan sekali lagi kita terpaksa menjadi saksi kepada satu lagi tragedi buli yang meruntun jiwa.

Penulis masih tidak dapat membayangkan perasaan kaum keluarga terutamanya ibu bapa mangsa yang terpaksa menerima kenyataan anak kesayangan mereka sudah tiada lagi.

Dalam hal ini penulis berharap kita tidak lekas menuding jari menyalahkan semua pihak sebelum mencari punca sebenar. Dalam kes Zulfarhan ini misalnya hampir semua pihak cuba menuding jari kepada pihak IPT tersebut lebih-lebih lagi apabila ia berpaksikan ketenteraan yang sering mengutamakan aspek disiplin diri yang tinggi.

Perlu diingatkan setiap IPT sudah ada prosedur standard operasi (SOP) masing-masing yang sangat jelas untuk menangani gejala buli seperti ini.

Malah hukuman yang ditetapkan di bawah Akta Universiti dan Kolej (AUKU) juga sangat jelas iaitu seringan-ringan diberi amaran sehingga sekeras-kerasnya boleh dibuang dari universiti bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.

Pengalaman penulis sendiri di Universiti Putra Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pihak kami tidak pernah lupa untuk mengingatkan dan memberi amaran keras kepada semua pelajar ketika mula-mula mendaftar masuk ke universiti.

Setiap pelajar baharu diingatkan dengan jelas agar tidak terlibat dengan buli dan diberi tunjuk ajar bagaimana untuk bertindak mahupun melaporkan sesuatu kejadian buli. Dan dari semasa-semasa juga pihak universiti mengeluarkan pelbagai peringatan susulan dalam bentuk poster terutamanya melalui media sosial rasmi tentang larangan terbabit dengan gejala buli.

Jadi dalam kes ini adalah tidak wajar untuk menyalahkan IPT semata-mata tanpa merujuk kepada punca sebenar kejadian tersebut. Bukan niat penulis mahu mem­bela mana-mana pihak tetapi berdasarkan pengalaman, penulis cukup yakin IPT terbabit juga mempunyai SOP yang jelas dan telah memberi peringatan yang sewajarnya kepada semua penuntutnya sejak hari pertama lagi.

Namun jika terdapat sebarang kelemahan dalam aspek SOP sedia ada ia wajar dibuat penambahbaikan supaya kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi.

Secara prinsipnya kita tidak mahu masyarakat terus melabel IPT dan sekolah asrama di negara ini tidak selamat. Penulis bimbang persepsi ini akan merugikan semua pihak dan ia satu penilaian yang tidak adil sama sekali.

Benar kita tidak akan berkompromi dalam hal buli malah mengharapkan pihak berkuasa dapat membawa individu yang terlibat dalam kes Zulfarhan ini ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman setimpal, namun jangan sesekali terlalu cepat menuding jari menyalahkan pihak IPT mahupun sekolah.

Malah dalam kes Zulfarhan ini peranan klinik swasta yang merawat mangsa sebanyak dua kali serta perkhabaran betapa adanya penglibatan seorang bomoh juga tidak boleh dikesampingkan begitu saja.

Perlu diingatkan mana mungkin pihak universiti mampu memantau gerak geri setiap pelajar mereka di sepanjang masa iaitu 24 jam sehari? Hal ini sangat mustahil untuk dilakukan.

Sepatutnya pihak klinik tersebut mengambil tanggungjawab sosial dengan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa dengan segera.

Apapun bagi penulis sasaran utama dalam mana-mana kejadian buli ialah pembuli itu sendiri. Kita perlu melihat apa latar belakang pembuli terbabit. ­Kebiasaannya mereka ini ­datangnya dari keluarga yang bermasalah termasuk pernah didera oleh ahli keluarga semasa kecil. Hal ini kerana agak tidak logik apabila pelajar-pelajar cemerlang yang layak masuk sekolah ber­asrama dan IPT boleh bertindak sangat agresif, kejam dan di luar batas kemanusiaan.

Misalnya dalam kes Zulfarhan adakah kehilangan laptop boleh menjustifikasikan sekumpulan pelajar universiti dan kadet tentera untuk mendera dan membunuh orang lain? Penulis yakin kumpulan pembuli ini pasti ada masalah diri yang mendorong mereka bertindak di luar batasan.

Nasib malang yang menimpa Zulfarhan dan beberapa orang mangsa buli sebelum ini sewajarnya membuka mata kita untuk bertindak lebih agresif bagi menangani isu ini.

Penulis mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga Zulfarhan dan diharap ini akan menjadi kes buli terakhir di negara ini. Tegasnya bagi penulis buli tidak bermula dan berpunca dari IPT sebaliknya sifat ingin membuli itu lahir dalam diri setiap seorang pelajar yang terpalit dengan pelbagai masalah diri dan keluarga. Jom kita lancar kempen perangi buli habis-habisan.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.