Langkah itu sejajar dengan keperluan pemahaman jelas mengenai kandungan khutbah dalam kalangan jemaah haji, umrah dan pelawat dari Malaysia dan negara-negara serantau yang bertutur bahasa Melayu.

Sememangnya kita menyambut baik inisiatif tersebut. Lebih-lebih lagi dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang berjumlah 30,200 tahun ini. Selain bahasa Melayu, menterjemah khutbah Jumaat yang disampaikan dalam bahasa Arab turut melibatkan sembilan bahasa lain antaranya bahasa Inggeris, Perancis, Parsi dan Urdu.

Sebelum ini, rakyat Malaysia yang menunaikan umrah dan haji turut berpeluang mengikuti khutbah Jumaat dalam bahasa Melayu melalui telefon bimbit di Masjidilharam mulai 21 Mac 2014. Bagi menjayakan program tersebut, dua anak Malaysia iaitu Mohd. Aswadi Ali dan Mohamad Nurul Hafiz Ab. Latif, yang kedua-duanya penuntut Universiti Umm al-Qura, Mekah ketika itu dipilih berkhidmat sebagai penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Para jemaah dapat mengikuti terjemahan tersebut melalui penggunaan telefon yang mempunyai aplikasi radio menggunakan frekuensi FM90.5.

Semua itu menunjukkan pentingnya untuk para jemaah mendengar dan menghayati maksud yang tersurat dan tersirat di dalam khutbah Jumaat. Memelihara syarat, rukun dan kaifiat hari Jumaat, adalah antara kesempurnaan dalam beribadah. Maka perlu diperingatkan yang khutbah Jumaat adalah rukun solat Jumaat. Tanpa khutbah, solat Jumaat tidak sah.

Antara perkara utama ber­kaitan khutbah Jumaat pula ialah mendengarnya dengan baik, te­nang dan jangan sekali-kali bercakap-cakap sesama jemaah kerana akan mensia-siakan Jumaatnya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila engkau katakan kepada kawan engkau ‘diamlah’ pada hari Jumaat sedang Imam berkhutbah, maka jadi sia-sialah (pahala Jumaat) engkau. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sememangnya antara cabaran utama yang perlu dilalui oleh jemaah semasa khutbah Jumaat adalah menahan ‘serangan’ me­ngantuk. Tambahan pula sebahagian besar masjid masa kini dilengkapi pendingin hawa.

Selalunya, apabila khatib mula naik mimbar, jemaah mulalah menguap. Kalau tak dilawan, nescaya ramai yang ‘khusyuk’ dibuai lena yang panjang. Hal ini amat berlawanan dengan perlakuan para sahabat baginda SAW. Apabila baginda naik atas mimbar, maka perhatian para sahabat tertumpu kepada isi khutbah Rasulullah SAW.

Sebab itu, kita disunatkan mandi sebelum datang ke masjid pada hari Jumaat. Ia bagi memberi ke­segaran tubuh badan dan supaya dapat menghayati khutbah yang disampaikan. Selain itu, kita juga disunatkan datang awal ke masjid supaya nama kita tidak tercicir daripada buku catatan malaikat yang mengawal pintu-pintu masjid pada penghulu segala hari itu.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari Jumaat maka di setiap pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat (pahala kedata­ngan solat Jumaat), yang awal akan mendapat pahala yang berganda, apabila imam telah duduk (atas mimbar) mereka menutup buku catatan dan mendengar khutbah; dan perumpamaan mereka yang paling awal datang seperti dia menghadiahkan (menyembelih) seekor unta, yang datang kemudian dari itu seumpama dia menghadiah­kan lembu, yang kemudian dari itu seumpama dia menghadiahkan bebiri, yang datang kemudian dari itu seumpama menghadiahkan ayam, dan yang datang terkemudian lagi seumpama menghadiah­kan telur. Maka apabila imam telah duduk (atas mimbar) ditutup buku catatan dan mereka (Malaikat) mendengar khutbah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun solat Jumaat orang yang tidak sempat dengar khutbah adalah sah, namun mereka kehilangan pahala yang besar.

Bekas Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah menjelaskan: “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka orang yang datang lewat - tanpa mendengar khutbah- sah solat Jumaatnya tetapi mereka terlepas fadilat mende­ngar khutbah yang amat besar pahalanya. Namun, jika orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang daripada 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar”. (al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, hlm 34-35)