Baik di utara antara dua negeri bersebelahan dengan negara jiran, hal saling ‘tak ngam’ antara golongan muda dan tua selain perseteruan sesama komponen menjadi perhatian sejak awal tahun lagi.

Ini kemudian membawa kepada berita paling hangat di selatan yang kelihatan seperti adu domba politik paling klasik, sehingga Menteri Besarnya mencatat sejarah paling singkat berkhidmat.

Ini kemudian membawa pula kemelut dengan sultan yang dilihat ramai pihak sebagai perseteruan lama yang berulang kembali.

Tak cukup dengan Johor, di Melaka ada pula episod mengadu domba ‘berkompang’ kata diri lebih hebat dari pihak satu lagi yang dilantik kepimpinan pusat.

Masalah ini membawa pula ke Perak, katanya keadaan amat ‘huru-hara’ kerana ada pihak mengintai peluang nak rampas kerusi Menteri Besar kerana dikatakan bermasalah.

Itu belum Bersatu di Sabah yang mana kemasukannya sudah mencetus kontroversi bukan sedikit. Malah hingga wujud cerita bermasam muka sesama sendiri yang mampu menimbul polemik membuak sesama sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) jika tidak dikawal dengan baik.

Sarawak juga tidak terkecuali kerana kemasukan Bersatu dicemburui tetapi turut membuka mata banyak pihak kerana pilihan raya negeri bakal berlangsung.

Itu belum lagi soal pelantikan pengerusi Bersatu negeri yang masih belum ada, menimbul polemik mampukah melawan Gabungan Politik Sarawak (GPS) yang telah berkuasa sejak sekian lama.

Tekanan

Hakikatnya banyak yang mengata tentang kemampuan Bersatu sejak terpilih bersama sekutunya sebagai kerajaan.

Namun dalam era Malaysia Baharu ini penulis boleh katakan Bersatu adalah parti yang paling kontroversi, eksklusif, berani dan demokratik berbanding semua parti lain di negara ini.

Ialah apabila menjadi parti ‘paling bongsu’ berdasarkan sejarah penubuhannya, sudah tentu banyak kerenah dan hiruk pikuk yang perlu dilalui.

Apatah lagi terpalit stigma parti serpihan UMNO, sudah tentu banyak perkara sukar dipisahkan, imej dan budaya lama juga datang dari orang lama dalam parti.

Menjadi parti pemerintah dengan jumlah kerusi dimenangi paling sedikit menambahkan lagi tekanan diterima dari parti tertentu yang dilihat gagal mengimbangi darjah suhu politik yang semakin hangat.

Itu belum lagi cakap-cakap yang seolah betul, ada pihak tidak mahu presiden sebuah parti komponen menjadi perdana menteri, yang tentunya menggamatkan lagi suasana hingga ke peringkat antarabangsa.

Malah ada pula pihak yang meneropong, suhu Bersatu ini bakal menggelegak apabila sampai masa pemilihan parti mereka tidak lama lagi.

Boleh pecah termometer tengok suhu menjulat tinggi kerana semua pihak semakin gelojoh dan seronok melobi nak pegang jawatan parti.

Mimpi tangan gatal tak usah cakaplah. Dah mula ada pihak cuba melobi dan menjadi pak nujum siapa boleh lawan dan siapa boleh menang.

Begitulah kehangatan polemik dalam Bersatu yang semakin membuat orang dalamnya sendiri resah gelisah.

Terlepas

Belum lagi masyarakat umum yang adakalanya hanya mampu menggeleng kepala melihat kemelut demi kemelut melanda parti. Manakan tidak baru setahun jagung politik dah tahap mengalah UMNO.

Semua pihak memasang cita bukan kepalang. Memang tak salah nak bertanding tonjol diri sebagai pemimpin dan pelapis.

Apatah lagi kini masanya tiba untuk memetik ranum dan mencium harum selepas memenangi PRU lepas.

Tapi sayang rakyat menilai dan melihat ini sebagai sesuatu yang tidak sihat malah boleh mengakibatkan parti terpalit dengan drama dan hikayat berulang-ulang yang menjemukan.

Sudahlah fokus pada manifesto PRU lalu dilihat semakin tak diendahkan. Kini kemelut dalam parti pula semakin jelas dan berpuak-puak dan tidak memberi sebarang makna.

Rakyat bukan mahu melihat drama sebegini berterusan dan menjadi barah dalam parti sehingga mencarik kepercayaan rakyat yang mengundi mereka.

Kita faham malah hormat pendirian ahli dan kepimpinan partinya yang lantang dan mahu melaksanakan demokrasi seperti semahunya.

Tidak ada sesiapa melarang malah buatlah semahunya jika rasa diri layak dan berkeupayaan.

Tapi malangnya belum cukup setahun terlalu banyak polemik tanpa sebarang hasil kerja jelas, yang orang mengata tak baik juga.

Apatah lagi terlalu banyak berpolitik dan mengungkit kisah silam, ia tak membantu apa-apa melainkan hanya beri kesan negatif pada parti.

Hakikatnya ramai berharap mahu melihat Bersatu mampu main peranan dalam membela orang Melayu yang dilihat semakin terpinggir dan terhimpit, tanpa meminggir kaum-kaum lain.

Orang Melayu walau apapun fitrah politiknya akan tetap berharap politik akan membela dan menunjangi hidup mereka selagi hayat dikandung badan.

Janganlah sampai orang hilang kepercayaan dan merasa letih dengan politik tak ke mana kerana bimbang ditakuti banyak yang akan tergadai.