Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah adalah individu yang sentiasa menjadi sasaran setiap kali isu pilihan raya umum timbul. Dalam satu majlis bersama SPR baru-baru ini, beliau bercerita bagaimana demam pilihan raya memberi kesan kepada kehidupan seharian setiap orang termasuk beliau. Sementelah lagi Mohd. Hashim adalah individu penting dan sentiasa dekat de­ngan pilihan raya ini.

Pengerusi SPR itu bercerita, sejak setahun dua ini beliau merasa ‘sedikit tidak seronok’ apabila ber­tandang atau menghadiri maj­lis keramaian seperti bekwah, kenduri-kendara dan majlis per­kahwinan saudara-mara serta rakan taulan.

“Kalau dahulu, apabila kita hadir, kita saling bertanya khabar tentang diri, perkembangan keluarga, anak-anak dan cucu-cicit, sekarang tidak lagi. Mereka hanya bertanya bila pilihan raya, bila Parlimen mahu dibubarkan kerana ‘sayalah barangkali orangnya’ yang ‘lebih tahu’ mengenai bila tarikh pilihan raya. Begitulah penangan demam PRU-14!

Ketika semua pihak terlibat kelihatan bersedia untuk melaksanakan proses demokrasi yang amat ditunggu-tunggu itu, ada perkembangan menarik berlaku seminggu dua ini. Ada satu kempen dengan ‘hashtag undi rosak dan boikot pilihan raya’ sedang trending di dalam media sosial ketika ini.

Kempen #undirosak, #boikotpilihanraya, #takmengundi dan #protestpru itu dikatakan dige­rakkan oleh sekumpulan pengundi muda yang kononnya sudah ‘bosan, penat dan letih’ dengan perkembangan politik negara. Kempen itu mengajak rakyat negara ini terutama pengundi muda agar tidak keluar mengundi dan kalaupun keluar mengundi kertas undi perlu dirosakkan serta memboikot pilihan raya tersebut sebagai tanda protes.

Golongan ini dikatakan tidak bersetuju dengan segelintir calon parti pemerintah dan pada masa yang sama juga menentang keras parti pembangkang. Kumpulan ini juga tidak dapat menerima kedua-dua calon Perdana Menteri daripada parti pemerintah dan parti pembangkang.

Mereka juga percaya pilihan raya tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada rakyat. Lantaran itu kempen digerakkan. Sasaran mereka adalah pengundi muda. Kempen ini mendapat reaksi daripada parti-parti politik bertanding yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Fenomena kertas undi rosak adalah perkara biasa dalam pilihan raya walaupun tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu berlaku secara sengaja atau tidak. Sejarah pilihan raya di beberapa negara luar dan Malaysia sendiri me­nyaksikan beberapa kejadian kertas undi rosak ini berlaku. Sebagai contoh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, sebanyak 324,120 kertas undi rosak dan ditolak manakala pada PRU-13 pula 332,297 kertas undi rosak telah direkodkan iaitu 171,556 undi bagi kerusi Parlimen dan 151,741 untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Pertambahan jumlah kertas undi rosak ini sedikit membimbangkan lebih-lebih lagi apabila jumlah kertas undi rosak lebih besar atau hampir menyamai majoriti yang diperoleh pemenang. Pada pilihan raya umum yang lepas sekurang-kurangnya 13 kawasan Parlimen berhadapan dengan situasi sedemikian. Maka timbulkan pelbagai pandangan. Ada yang mengatakan jumlah undi rosak yang terlalu besar di satu-satu kawasan pilihan raya bukan disebabkan kecuaian pe­ngundi tetapi sengaja dilakukan sebagai tanda protes kepada calon atau parti bertanding.

Mengundi pada pilihan raya me­rupakan satu mekanisme de­mokrasi bagi memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat sa­ma ada di peringkat Dewan Rak­yat mahupun dewan undangan ne­geri. Setiap rakyat yang la­yak perlu melunaskan tanggungjawab tersebut dengan memilih calon pilihan masing-masing.

Menyempurnakan proses de­mokrasi juga merupakan satu pe­nghormatan kepada setiap pe­ngundi. Walaupun mungkin ti­dak bersetuju dengan satu-satu calon bertanding, mereka masih mempunyai pilihan untuk memilih calon atau parti yang ‘lebih baik sedikit’ daripada yang ‘tidak baik’ pada pandangan mereka.

Contohilah sikap segelintir rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara yang sanggup terbang beribu-ribu kilometer untuk kembali ke tanah air bagi menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Kempen #undirosak dan #boi­kotpilihanraya yang sedang digerakkan menerusi media sosial ini sedikit sebanyak menampakkan sikap tidak matang segelintir pengundi muda. Mereka adalah kumpulan yang pentingkan diri sendiri dan berpegang kepada falsafah bahawa pilihan raya tidak akan membawa kepada sebarang perubahan, satu pandangan yang sangat tidak betul.

Kempen sedemikian boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya tetapi juga negara. Mengundi adalah satu kerja paling mudah yang impaknya sangat besar kepada negara.

Alangkah rugi dan sia-sia bagi seorang muda yang menunggu selama 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi, menunggu lagi lima tahun sekali untuk satu pilihan raya umum, berdiskusi, berwacana, ‘bergaduh’ dalam media sosial atau di kedai kopi tentang politik dan keadaan semasa negara tetapi tidak melaksanakan tanggung jawab itu apabila tiba hari mengundi. Mereka mungkin hadir awal ke tempat mengundi tetapi sekadar untuk merosakkan kertas undi!

Apa motif sebenar kempen seumpama itu digerakkan tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun kempen ini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya malah turut melibatkan negara. Me­ngundi ada­lah hak setiap rakyat yang layak. Terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang sia-sia ini.