Itu sekadar cadangan. Bukan senang untuk diamalkan. Sebagai kerajaan yang mendukung amalan demokrasi sihat, sudah tentu kerajaan bersikap terbuka dan mahu memberi kebebasan kepada setiap warganya, termasuk penjawat awam menentukan pembentukan kerajaan.

Namun, ada baiknya jika cadangan berbentuk terus terang itu dilihat dalam pemahaman yang lebih jauh. Individu yang menyuarakan pandangan itu mempunyai asas tersendiri bagi menegakkan cadangan dilontarkan. Individu itu seolah-olah bosan melihat ada kalangan penjawat awam yang hanya tahu mengkritik, pada hal mereka adalah sebahagian daripada jentera yang menentukan kelicinan pentadbiran kerajaan.

Kata individu itu, jika ada kesalahan berilah teguran, cadangan, pandangan atau laporkan kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan atau diselesaikan mengikut lunas peraturan dan undang-undang yang ada. Tetapi apa dikesalkan, ada yang hanya membuat kenyataan berbaur fitnah, direkanya cerita atau menganyam andaian atau persepsi.

Lazimnya, masyarakat mudah terkesan dengan setiap patah perkataan dituturkan oleh seseorang penjawat awam. Mereka mudah percaya dan akhirnya tersimpul menjadi su­atu persepsi.

Ini lebih-lebih lagi jika kata-kata atau kenyataan itu terkeluar daripada mulut pegawai di peringkat kanan.

Terbangkit persoalan, apakah demokrasi membenarkan seseorang ‘menjual persepsi’, beralas andaian sesuka hati? Atau, apakah kebebasan bersuara bermakna penjawat awam boleh menyebarkan maklumat tidak tepat, atau sesuatu yang masih di peringkat ‘sulit’ mengenai hal-hal pengurusan dan pentadbiran kerajaan dengan sewenang-wenangnya?

Setiap penjawat awam sepatutnya menganggap diri mereka sedang sama-sama melayari sebuah bahtera de­ngan misi sama, iaitu memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Jadi, alangkah tidak wajar jika ada yang sengaja memburuk-burukkan kerajaan, sedangkan mereka memikul amanah kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Lalu, sikap sesetengah individu penjawat awam yang disifatkan sengaja tidak setia dengan misi kerajaan ini dianggap sebagai ‘pengkhianat’ yang cuba menebuk bahtera yang dihuni bersama, tanpa menyedari jika bahtera karam, akan tenggelamlah semua yang ada di dalamnya.

Tentu tidak adil jika setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK), ada penjawat awam dari sekitar Putrajaya atau ibu kota pulang ke kampung cuba mempengaruhi keluarga atau masyarakat setempat, menabur fitnah, cemuhan dan segala hal negatif terhadap kerajaan, sedangkan di situ mereka mencari rezeki dan memikul tanggungjawab untuk menentukan ketenteraman dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

Berbalik kepada sesi Konsultasi Program TN50, tidak dinafikan banyak juga idea bernas yang dilontarkan terutama golongan muda mengenai aspirasi mereka bagi menelusuri kehidupan masa depan. Antaranya, ada menyuarakan tentang perlunya transformasi cara berfikir dan bertindak tanpa keluar daripada acuan dan nilai-nilai ketamadunan bangsa.

Pun tidak kurang, terdapat pandangan dan cadangan agar sistem komunikasi dan teknologi digital perlu diberi perhatian, agar rakyat negara ini terus memacu maju seiring de­ngan perkembangan dalam aspek berkenaan, manakala, tidak kurang juga dengan suara yang memperingatkan semua, agar nilai-nilai keagamaan tidak diketepikan.

Ramai optimis jika negara terus stabil dan rakyatnya sedia mengiringi aspirasi transformasi yang bakal dirumuskan nanti, Malaysia akan gemilang dalam kalangan 20 buah negara terbaik di dunia. Dalam pada itu, tidak terfikirkah kita berapa banyak negara di dunia yang mengadakan sesi konsultasi bagi merangka dasar dan program masa depan rakyat sebagaimana dilakukan Malaysia?

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.