Bagus kitab ini kerana di dalamnya terdapat hadis-ha­dis Rasulullah SAW yang boleh memberi kita pengajaran, pendidikan dan bimbingan untuk menjadi insan soleh dari sehari ke sehari. Hadis-hadis yang dipaparkan juga cukup ringkas, padat dan mudah dibaca.

Sedikit sebanyak corak penyampaian hadis dalam kitab ini memudahkan lagi pembaca memahami mesej yang mahu disampaikan oleh Rasulullah kepada umat baginda. Sememangnya dalam konteks pembacaan hadis ini, kita diminta untuk melaziminya sesuai dengan kedudukannya sebagai sumber hukum kedua terpenting selepas al-Quran.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita tidak membaca hadis apatah lagi al-Quran setiap hari tetapi itulah hakikat yang berlaku. Kita terlalu disibukkan dengan ba­nyak perkara lain seperti gajet, keluarga, rumah tangga termasuk tuntutan kerja di pejabat. Bukannya lama, 10 minit pun tidak sampai.

Kalam sendiri tidak terkecuali. Sibuk memanjang sampai al-Quran dan hadis langsung tidak sempat hendak baca. Harap-harap Kalam dapatlah meluangkan le­bih masa untuk membaca al-Quran dan hadis selepas ini. Semoga Allah SWT permudahkan.

Berbalik kepada Kitab 300 Hadis Bimbingan, Ke Arah Mencari Reda Allah, Kalam tertarik dengan satu hadis Rasulullah mengenai tuntutan agar kita bersifat memudahkan dan bukannya menyusahkan orang lain.

Hadis ini berbunyi seperti berikut; “Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Jika diperincikan lagi hadis tersebut, antara mesej Rasulullah ialah tentang kepentingan seseorang memudahkan saudaranya yang lain dalam apa jua urusan sekali gus meng­elakkan sebarang perbuatan yang bersifat menyusahkan.

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang ha­dis ini Kalam berbincang dengan seorang rakan yang tinggi pengetahuan agamanya. Katanya kepada Kalam, sifat untuk memudahkan orang lain sesuatu yang amat sukar dilakukan dan atas sebab itu Rasulullah memberi penekanan mengenai perkara tersebut secara khusus.

Rata-rata katanya, manusia lebih suka menyusahkan orang lain dan antara paling ketara adalah di tempat kerja. Sebagai contoh seorang bos yang suka memberi arahan tidak jelas, mengelirukan dan tidak konsisten. Kesannya, kerja yang dihasilkan oleh anak-anak buah tidak ber­kualiti. Lebih malang lagi mereka pula dipersalahkan oleh pihak atasan.

Dalam situasi lain pula, ujarnya, seorang bos yang meng­anggap anak-anak buahnya seperti ahli silap mata. Tahu segala isi hati, gerak geri dan fikirannya. Segala arahan diberikan secara senyap-senyap. Anak-anak buah langsung tidak sedar tentang arahan tersebut.

Akibatnya kerja-kerja yang diarahkan itu gagal dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan apabila diminta pihak atasan. Seperti biasa anak-anak buah terus dipersalahkan. Bos pula bersikap cuci tangan. Inilah senario yang sering terjadi.

Apa yang diperkatakan oleh rakan Kalam ini ada benarnya. Bukan setakat berlaku di tempat kerja tetapi turut terjadi di mana-mana hatta dalam keluarga sekalipun. Sebagai contoh seorang suami yang langsung tidak mahu bertolak ansur dengan isteri dalam urusan rumah tangga.

Itu yang menyebabkan rumah tangga menjadi tidak harmoni. Bayangkan ada jenis suami yang bersikap seperti raja. Langsung tidak membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Apa yang dia tahu perintah isteri buat itu dan buat ini, bermain gajet dan tonton televisyen. Isteri pun penat mencari rezeki.

Oleh itu buanglah sifat menyusahkan orang kerana perbuatan itu tidak membawa sebarang manfaat sebaliknya hanya akan mengundang kebencian orang lain. Itu yang Kalam se­ring tertanya-tanya ‘apa kebesarannya’ bersikap sedemikian.

Diharap dapatlah kita sama-sama menjadikan hadis ini sebagai panduan dan iktibar. Siapa lagi idola kita, kalau bukan Rasulullah SAW. Renung-renungkanlah.