UKE: Berbuat baik kepada ibubapa adalah wajib apatah lagi ketika ibu bapa meningkat tua dan lanjut usia. Di peringkat usia sebegini wajib bagi anak berbuat baik kepada mereka atau salah satunya. Janganlah disusahkan mereka dengan bebanan yang menyusahkan mereka atau dan salah satunya dengan bebanan menjaga cucu.

Kadang-kadang ibu bapa tidak mampu menolak untuk menjaga cucu kerana kasihan kepada anak menantu dan cucu itu sendiri. Namun si anak perlulah bertimbang rasa dengan ibu bapa yang sudah penat menjaga anak semasa kecii dan kemudian dibebankan pula dengan cucu ketika mereka sudah tua.

Mungkin sekali-sekali boleh diterima tetapi sekiranya dianggap ibu bapa sebagai pengasuh tetap maka perbuatan itu adalah kurang wajar.

Carilah alternatif lain untuk mengasuh anak. Kurangkanlah beban ibu bapa apatah lagi ketika mereka dimamah usia. Di peringkat ini mungkin mereka sakit. Pada masa sama banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan seperti melakukan ibadat di usia tua.

Jika ibu bapa suka dan reda tidaklah menjadi masalah tetapi sebagai anak kita hendaklah memberi ketenangan dan keselesaan kepada mereka. Jangan beban ibu bapa dengan soal berak kencing cucu, kenakalan cucu, cucu menangis atau melayan kerenah cucu yang pelbagai ragam di usia tua mereka.