Bagi jemaah kumpulan pertama ini khususnya, mereka akan berada di Mekah kira-kira 30 hari sebelum wukuf. Maknanya, kumpulan jemaah haji yang terus masuk ke Mekah ada banyak masa untuk melakukan ibadat di Masjidilharam. Alhamdulillah bagi bakal-bakal haji yang telah menyempurnakan solat jemaah 40 waktu di Masjid Nabawi.

Kini, tumpuan mestilah kepada membanyakkan amal ibadat terutamanya solat berjemaah lima waktu di Masjidilharam, melakukan umrah, tawaf sunat dan sebagainya. Masa dan kesempatan berada di Mekah usah dipersiakan sementelahan kita menunggu berpuluh tahun baru dapat menunaikan haji.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat yang lain melainkan Masjidilharam. Dan solat di Masjidilharam lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain. (Riwayat Ahmad)

Justeru, jangan lepaskan peluang bonus ganjaran solat di Masjidilharam. Ikhtiarkan supaya jemaah haji tidak terlepas satu waktu solat pun di masjid dengan solat di hotel kecuali ada keuzuran. Walaupun ada pendapat ulama bahawa ganjaran 100,000 pahala itu turut meliputi tanah haram keseluruhannya, dengan solat di Masjidilharam, jemaah akan beroleh beberapa ganjaran lain.

*Telaga zamzam di mana airnya adalah antara yang paling berkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat orang yang meminumnya, insya-Allah. Selain itu, adanya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.

* Mekah sebagai tanah haram. Dalam sebuah riwayat Mus­lim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya negeri Mekah ini dijadikan Allah SWT sebagai ta­nah haram ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah adalah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Mekah kepada sesiapa pun sebelumku dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah).

* Tidak dimasuki dajal. Hal ini berdasarkan hadis Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua negeri akan dimasuki oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik daripadanya.

* Mendapat keamanan. Ini telah diisytiharkan oleh Allah SWT. Syeikh Al-Maghari berkata, seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah.

* Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun perkara itu tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.

* Kaabah. Ia adalah Baitullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Mengenai kelebihannya tidak syaknya lagi berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. (Ali-Imran: 96)

Selain itu, Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Rasulu­llah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini iaitu 60 rahmat untuk orang tawaf, 40 rahmat untuk yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah.