“Hanya wujud salah faham atau saya kena berterus-terang di sini
iaitu wujud skeptikal terhadap industri ini,” kata Pengasas Kumpulan
Sumber Manusia dan Latihan DHS Hospitality Academy, DR. SRI KUMAR
SIVAKUMARAN
kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL
baru-baru ini.
Dalam skop lebih terperinci lagi, jelas Sri Kumar, jika diperhatikan, tidak
ada bezanya antara kemudahan bilik disediakan dari satu hotel ke hotel yang
lain.
“Jenis deluxe, superior, suite atau studio, semuanya sama, tetapi yang
membezakannya adalah proses dan kualiti perkhidmatan hotel berkenaan.
Inilah makna industri hospitaliti,” kata beliau dalam temu bual sejam itu.

 

UTUSAN: Boleh kongsi penglibatan Dr. dalam industri hospitaliti ini?

SRI KUMAR: Realitinya, ramai yang masih tidak memahami industri ini. Perkataan hospitaliti sendiri berasal daripada bahasa Latin iaitu hospitare yang bermaksud bersedia menerima tetamu. Ungkapan ini merangkumi penyediaan keperluan asas kepada tetamu seperti makanan, minuman, penginapan, interaksi dengan pelanggan sehinggalah impaknya ke industri rekreasi dan pelancongan.

Industri hospitaliti ini bukan untuk mereka yang kurang berjaya. Saya sendiri bekerja di hotel sejak umur 18 tahun lagi. Bila saya kata nak ceburi bidang ini, orang tua saya tanya ‘Apa ! Kamu nak cuci tandas, potong sayurkah? Macam mana saya nak cakap dengan kawan-kawan nanti yang anak saya cuci tandas.”

Saya terdiam, dalam hati memang saya sebenarnya `tidak akan cuci tandas sampai mati’. Ya, benar, selepas tamat pengajian dari Johnson University di Amerika Syarikat pada 1993, saya kembali ke tanah air sebagai pegawai latihan di sebuah hotel, menjadi pengarah hotel dan itulah kehidupan saya sehinggalah di usia 48 tahun hari segalanya berlingkar dalam ruang lingkup industri hopsitaliti (perhotelan).

Sudah tentu ada banyak cabaran dalam industri ini?

Ya, kita sukar untuk menarik minat orang muda menceburi industri ini. Inilah masalah yang berlaku di Singapura, malah di `syurga kepulauan dunia’, Maldives. Orang muda tidak faham industri hospitaliti ini. Macam housekeeping dan waiter (pelayan), apabila anda bawa masuk mereka yang tidak ada kemahiran atau bakat dalam kerjaya ini seperti dari Asia Selatan, anak-anak muda tempatan akan tanya balik kita, “Kenapa saya perlu bekerja dengan orang ini?”

Satu cabaran lagi, anda perlu membayar ejen antara RM2,000 hingga RM10,000 untuk mendapatkan seorang pekerja asing. Soalnya, bukan isu kerja sehingga 12 jam sehari tetapi kualiti kerja mereka. Di sebaliknya pula, bila ambil orang tempatan, ada pula masalah lain, cuti sakitlah (MC) atau mereka tidak datang kerja sesuka hati.

Kalau diperhatikan, banyak hotel dibina, tapi hendak cari pekerja, cukup susah. Dianggarkan sekitar 5,000 hotel di negara ini. Di Iskandar Malaysia, Johor sahaja, saya difahamkan terdapat keperluan 200,000 tenaga kerja dalam industri hospitaliti ini. Di Kuala Lumpur pula, 30,000 diperlukan. Banyak institusi yang tawarkan diploma dalam bidang hospitaliti terutama perhotelan, tetapi orang tempatan hanya pandang sebelah mata.

Adakah minat dan keprihatinan dengan industri ini mendorong anda mewujudkan DHS Hospitality Academy?

Ya, DHS ditubuhkan selepas bertahun-tahun saya berada dalam industri perhotelan setelah memerhati cabaran dalam kalangan belia, graduan dan individu mengenai persepsi industri. Macam saya sebutkan tadi, ibu bapa hari ini skeptikal terhadap industri ini yang kononnya tidak begitu menguntungkan buat anak-anak mereka mengikuti pembelajaran berkaitan kerja-kerja perhotelan.

Basuh pinggan mangkuk, bersihkan tandas, buka pintu untuk tetamu dan memotong sayuran hanyalah tugas keseluruhan kisah industri ini. Individu yang masuk ke program hospitaliti pada dasarnya tidak memahami realiti industri kerana industri ini perlukan seorang individu untuk berdaya saing di kawasan operasi dan berpengetahuan dalam pengurusan asas.

Kemahiran interpersonal dan berkomunikasi penting untuk kelangsungan hidup individu. Apabila DHS diasaskan, ini adalah petunjuk yang diambil untuk memastikan pelajar kami bersiap sedia terjun ke industri ini. Saya berasa bangga untuk menyatakan bahawa kami telah membangun dan menempatkan kira-kira 600 pelajar dalam industri ini.

Bagaimana metodologi latihan di akademi ini?

DHS mengkhususkan diri pada pembelajaran asas kerja. Pembelajaran berasaskan kerja atau Work-Based Learning (WBL) ini suatu strategi pendidikan yang menyediakan pelajar dengan pengalaman kerja sebenar di mana mereka boleh menggunakan kemahiran akademik dan teknikal serta membangunkan kebolehpasaran mereka.

Ini adalah satu siri kursus pendidikan yang mengintegrasikan kurikulum sekolah atau universiti dengan tempat kerja untuk mewujudkan paradigma pembelajaran yang berbeza.

Kebanyakan program WBL adalah kursus universiti yang terakreditasi yang bertujuan untuk mencapai situasi menang-menang di mana kedua-dua keperluan pelajar dan industri untuk pekerja mahir dan berbakat, akan dipenuhi.

Apa antara bukti mereka dalam industri hopitaliti ini boleh berjaya?

Jika diambil kisah kejayaan DHS, pihak kami telah mengambil inisiatif berbincang dengan Subway Singapura di mana mereka bersetuju untuk mengambil pelatih Muslim yang dibenarkan memakai tudung, melakukan solat semasa bekerja dan diberi elaun latihan SGD$600 sebulan untuk tempoh enam bulan akan datang.

Kami juga mempunyai program untuk siswazah menganggur yang telah lulus daripada mana-mana bidang pengajian untuk ditempatkan di Singapura selama setahun dengan elaun SGD$2,400. Kami mempunyai 100 pengisian untuk program latihan siswazah ini.

DHS juga mempunyai program yang mencabar mana-mana individu secara fizikal di mana kami menaja seramai 22 individu dari Persatuan Orang Buta Malaysia dan diletakkan untuk kerjaya melalui Program Kerjaya Hafiz Wellness kami. Pelajar-pelajar ini ditaja sepenuhnya oleh DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd. yang boleh diikuti perkembangannya di Facebook: DHS Hospitality Academy HQ.