Semua peringkat terkena dengan segala kenaikan ini tetapi go­longan miskin serta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana paling terkesan. Rungut­an dan keresahan golongan ini menjadi pilihan utama pembahas. Meskipun nampak seperti sudah basi kerana diulang bahas dan di­sentuh pada setiap perhimpunan parti politik, isu kos sara hidup ini sentiasa relevan sampai bila-bila.

Peningkatan kos sara hidup yang mendadak dan begitu menghimpit dirasai oleh semua orang di semua peringkat. Golongan miskin, kumpulan berpendapat­an rendah dan bergaji sederhana antara kategori yang menerima kesan besar daripada kenaikan ini. Selain hanya mampu mengeluh dan marah, selebihnya mereka tidak terdaya berbuat apa-apa.

Dalam konteks masyarakat bandar, kumpulan bergaji rendah atau sederhana tergolong dalam kelompok miskin bandar. Walaupun kedengaran bergaji tiga, empat atau lima ribu ringgit, kehidupan mereka tidak banyak bezanya dengan mereka yang bergaji RM900 atau RM1,000 di luar bandar. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan lebih teruk.

Sebagai contoh di kawasan Lembah Pantai sahaja, peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini menyebabkan kira-kira 40 peratus penduduk di kawasan itu layak dikategorikan sebagai miskin bandar. Kebanyakan mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rak­yat (PPR) dan rumah kos rendah berhadapan dengan masalah kewangan yang meruncing menje­lang musim perayaan dan bermula penggal persekolahan baharu.

Kumpulan miskin bandar ini sebahagiannya terdiri daripada ibu tunggal hidup dalam keadaan daif. mempunyai anak yang ramai serta menghidap penyakit kronik.

Para pembahas mengetengahkan isu kemiskinan bandar dalam ucapan masing-masing setelah melihat isu ini tidak menampakkan sebarang perubahan dan ke­sudahan. Elok juga dibangkitkan setiap tahun, sekurang-kurang­nya pihak yang terlibat ‘sedar’ dan tidak terus ‘lena’ tentang tanggungjawab ini.

Program yang dijalankan bagi membantu golongan ini walaupun kedengaran ‘riuh rendah,’ hasilnya ‘tidak banyak.’ Sebagai contoh dalam isu penyediaan rumah mampu milik, berapa kerat sahaja yang layak. Rumah yang ditawarkan pula walaupun dikategorikan sebagai ‘mampu milik’ tetapi sebenarnya tidak ramai yang mampu. Harga yang ditawarkan juga tidak menepati konsep mampu milik.

Tidak banyak pemaju perumahan yang mahu membangunkan projek perumahan untuk golongan ini. Maklumlah projek seumpama itu tidak membawa pulangan besar kepada mereka. Lebih baik tumpukan sahaja perhatian kepada projek perumahan mewah yang untungnya sudah tentu berlipat kali ganda. Yang ada pun melaksanakannya secara ‘rela paksa,’ itupun setelah kerajaan menawarkan pelbagai insentif balasan.

Tidak tahu di mana silapnya, walaupun sudah ada macam-macam pengumuman kerajaan, projek perumahan untuk kumpulan ini nampak sangat perlahan. Kecuali segelintir pemaju yang memberi respons, selebihnya ‘liat.’ Kerajaan mungkin mendengar rintih dan denyut nadi rakyat tetapi tidak di pihak pemaju.

Itu belum lagi dikira kerenah birokrasi dalam mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi-institusi kewangan. Kumpulan daripada kategori ini seringkali bermasalah melepasi halangan ini. Kekangannya kerana bergaji kecil atau berpendapatan sederhana manakala sebahagiannya lagi tidak mempunyai slip gaji yang mela­yakkan mereka memohon.

Kalaulah begini keadaannya, sasaran untuk menyediakan rumah bagi golongan miskin bandar tidak nampak akan tercapai. Masalah ini akan berlarutan sampai bila-bila. Sepuluh atau 20 tahun akan datang pun belum tentu mereka dapat memiliki rumah sendiri.

Kesudahannya mereka kekal menyewa. Jangan terkejut kalau ada yang terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu bertahan dan melawan tekanan hidup di bandar-bandar besar. Memiliki rumah sendiri di kawasan bandar, pinggir bandar atau di luar kawasan bandar adalah impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan sampai bila-bilapun. Angan-angan ini mungkin dibawa sampai mati.