Ghairah sangat golongan ini memanipulasi isu dengan cuba menggambarkan tanah di negara ini digadaikan kepada China sehingga maklumat sebenar dan fakta tepat diketepikan.

Sebelum ini, sekeping gambar papan tanda nama Jalan Qinzhou di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, Kuantan ditularkan sedangkan ia dinaikkan atas dasar kerjasama Program Bandaraya Persahabatan.

Sebagai tanda persabahatan, nama bandar Kuantan akan turut tercatat di sebatang jalan di Qinzhou, China. Ia juga salah satu cara untuk menarik lebih ramai pelabur dari China sekali gus mempromosikan Kuantan sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia.

Tidak dilupakan bagaimana pelaksanaan projek MCKIP dijadikan sebagai subjek untuk menyerang kerajaan. Berulang kali isu itu dimainkan dan sudah berbuih mulut pemimpin kerajaan memberi penjelasan dengan fakta meyakinkan bagi menjawab dakwaan yang dikemukakan. 

Namun pembangkang apa peduli, janji ada isu untuk dimainkan walaupun dakwaan-dakwaan itu dibuat secara semberono dan berunsur tafsiran.Mungkin juga mereka berasa gelisah dengan kebijaksanaan kerajaan melaksanakan projek MCKIP yang berjaya merekodkan komitmen pelaburan bernilai berbilion ringgit.

Projek MCKIP yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 membolehkannya untuk muncul sebagai hab industri berorientasikan eksport dan teknologi tinggi yang mampu berkembang pesat berikutan kedudukannya yang hampir dengan Pelabuhan Kuantan.

Komitmen pelaburan yang kukuh dan daya saing oleh MCKIP dalam menarik minat pelabur antarabangsa untuk melabur di taman perindustrian itu memberi manfaat ekonomi seperti wujudnya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

Bagaimanapun, pembangkang buat seolah-olah tidak faham manfaat projek tersebut dan konsep pelaburan dengan menyerang kerajaan menerusi dakwaan yang lebih menjurus kepada unsur tafsiran semata-mata.

Tidak perlu dinyatakan apa motif mereka apabila menimbulkan isu pelaksanaan projek MCKIP memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 sudah hampir tiba.

Hakikatnya, dalam soal ini Kerajaan Negeri Pahang berjaya menangkis serangan pembangkang itu menerusi penjelasan yang konsisten dan meyakinkan.

Berikut dinyatakan sekali lagi ringkasan klarifikasi Sekretariat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang terhadap isu-isu utama yang dibangkitkan dalam projek MCKIP:

ISU: MCKIP sebagai ‘kota tertutup’ - rakyat dan pelawat tidak dibenarkan masuk

KLARIFIKASI: 

* Pembinaan tembok konkrit tidak melibatkan keseluruhan MCKIP tetapi hanya meliputi kawasan persendirian Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (Alliance Steel) bagi mengelakkan pihak-pihak tidak mempunyai kaitan memasuki tapak berkenaan. 

* Pembinaannya juga memenuhi tuntutan polisi syarikat tentang Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) bagi memastikan tahap keselamatan tapak projek. 

ISU: Rakyat tempatan tidak mendapat manfaat dalam tawaran peluang pekerjaan 

KLARIFIKASI: 

* Terdapat pekerja tempatan dan asing di MCKIP yang mana pekerja asing mempunyai Permit Kelulusan dan dibenarkan berada di tapak projek hanya dalam tempoh pembinaan siap pada akhir tahun depan. 

* Sepanjang tempoh beroperasi kelak, dianggarkan kilang berkenaan mempunyai bilangan pekerja berdasarkan nisbah 70 peratus rakyat tempatan manakala 30 peratus sahaja warga asing.

* Mereka diberikan kontrak sementara yang sah untuk tempoh antara tiga dan lima tahun sebelum tempat mereka diisi oleh pekerja tempatan.

* Lebih 4,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada penduduk tempatan semasa fasa operasi.

ISU: Bahan-bahan pembinaan diimport dan kontraktor-kontraktor tempatan tidak dilibatkan

KLARIFIKASI:

* Tidak semua bahan diimport

* Alliance Steel bukan sahaja membeli atau menyewa bahan-bahan pembinaan bernilai kira-kira RM200 juta daripada syarikat-syarikat tempatan, malah kontrak bernilai kira-kira RM530 juta lagi diberikan kepada mereka khususnya kontraktor-kontraktor pembinaan.

ISU: Kedai dan restoran di dalam MCKIP menyediakan keperluan kepada pekerja asing - usahawan tempatan tidak mendapat manfaat

KLARIFIKASI:

* Memandangkan MCKIP terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuantan, kedai dan restoran dibuka di dalam tapak Alliance Steel bagi memudahkan ribuan pekerja situ mendapatkan barangan keperluan atau makanan.

* Terdapat pasar raya milik tempatan, Tunas Manja Group (TMG) di dalam MCKIP 

ISU: Mata wang yang digunakan untuk transaksi di dalam MCKIP

KLARIFIKASI:

* Ringgit (RM)

ISU: Cukai ke atas syarikat/pekerja asing

* Seperti mana-mana entiti korporat lain di Malaysia, mereka tertakluk kepada cukai pendapatan korporat dan peribadi yang sedia ada.

Realitinya, sudah terang lagi bersuluh isu yang dibangkitkan pembangkang itu tersasar kerana pelaburan menerusi MCKIP memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak malah menjana perkembangan ekonomi dengan lebih pesat.

Cukup-cukuplah mencari populariti murahan. - UTUSAN ONLINE